Skip to content

Month: January 2017

Ada Sinar di Sekeliling Kita

Jadilah kau orang yang walau hanya baru berjumpa dan duduk semeja beberapa jam, minit atau saat, yang sudah tentunya kau tidak tahu mengenai cerita hidupnya dan dia pun tidak mengetahui cerita hidupmu. Namun ketika kamu meminta diri untuk ke tujuan masing-masing, kau berkata,

“Gembira berkenalan denganmu/Nice to meet you.”

Boleh jadi orang yang kau baru berjumpa itu sedang serabut batinnya kerana berhadapan dengan ujian dan isu yang banyak dalam hidupnya. Tetapi ketika mana bertemu dengan orang yang tidak tahu mengenai dirinya, dan cuma berbalas kata-kata yang tidak sampai tiga ratus patah kata, menyantuninya dan memberikan senyuman kepada; dia mendapat sebuah sinar yang membuatkan batinnya gelap dan serabut, menjadi tenang. Fikirnya, sekurang-kurangnya ketika berjabat tangan, dan berbual sekadar berbasah-basi, membuatkan dia senang.

Formula dalam kehidupan, mudah.

Kita suka orang yang menyantuni kita dan orang lain. Kita suka orang yang menyapa kita apabila terlihat kita walau dari kejauhan. Kita suka orang tersenyum, yang mana senyuman dan matanya kelihatan ikhlas kepada kita. Kita suka orang yang boleh masuk dengan kita, berkata baik, serta menghormati kita.

Kita jangan tunggu orang buat terlebih dahulu kepada kita. Tapi kita buat terlebih dahulu kepada orang lain. Saya sendiri, kita semua sering terlupa mengenai hal ini. Kita suka bila yang melakukan itu adalah orang lain, tetapi kita lupa bahawasanya kita yang perlu melakukannya terlebih dahulu. Sangat sama sebenarnya dengan konsep tangan yang memberi itu lebih mulia dari tangan yang menerima.

Mana tahu, senyuman yang kita berikan kepada strangers itu sebenarnya memberikan harapan baru dalam hidupnya yang menyangka bahawa kehidupan ini tidak ada keadilan dan tidak ada kebaikan dari orang-orang sekelilingnya.

Saya pasti, setiap dari kita pernah mendapat inspirasi dari kehidupan orang lain atau perbuatan orang lain. Kalau kita pernah terinspirasi oleh seseorang dengan cara yang tidak disangka-sangka oleh kita, kenapa kita tiada keinginan untuk menjadi salah seorang yang memberikan inspirasi kepada orang lain? Sekurang-kurangnya dalam hal jujur kepada diri sendiri dan jujur kepada Tuhan.

Selamat Jalan 2016!

2 Januari 2017.

Masih lagi hidup, dipinjamkan nikmat nyawa oleh Allah. Mungkin kerana masih banyak dosa dan urusan yang belum selesai? Boleh jadi juga kerana Allah itu sangat kasih pada seorang kita, lalu memberi peluang untuk hidup dan menyedari hakikat bahawa seorang kita bakal mati. Maka cepat-cepatlah sedar untuk mendekatkan diri kepada Allah, membuat yang terbaik dalam hidup.

Tahun 2016 Masehi sudah berlalu. Sekarang kita semua berada dihari kedua dalam tahun 2017. Terkenang-kenanglah kita kejadian pada tahun sebelum ini. Terbayang-bayang kita akan hampir semua perkara yang kita telah lalui. Yang manis, yang pahit, yang gembira dan yang sedih, yang ketawa juga yang menangis. Setelah semua itu, ternyata kita masih hidup lagi pada hari ini. Oh, kita akan kata pada diri sendiri lagi seperti ini; ternyata segala kesulitan yang terasa seakan menghempap aku itu tidak mematikan aku. Bahkan, menguatkan aku pada sudut kecekalan hati dan minda. Oh, kita berkata lagi kepada diri kita sendiri; bukan dugaan atau masalah itu yang kuat sebenarnya, ternyata aku yang terlalu lemah.

Begitulah kita manusia. Walau sedar bahawa ujian yang dihadapi itu pada akhirnya akan menguatkan kita, selalu sahaja kita rasa tertampar jika menerima cuitan dari Allah. Macamlah sebelum itu, Allah tak pernah beri kita bahagia.