Fitnah Bersalut Dusta

Terpalit dengan kedustaan
sungguh menyakitkan
lebih lagi apabila kedustaan itu —
dari seseorang yang tidak asing
lembut berjalan di benangan sutera.

Jiwa manusia itu —
pengajaran.
Boleh jadi kerana nafsu dunia
boleh jadi memang kerana jiwanya.

Yang terkesan,
pasti terkesan selamanya.
Parut yang tercipta,
jadi penghuni ingatan waspada setia.

25122019
10224C

Biarkan Sepi Menjawab

Di dunia itu, tiada kesempurnaan. Apatah lagi dimata manusia, pasti segala yang diusaha sedayanya penuh dengan cacat celah. Meski mungkin seseorang sudah bermandi darah, badan berseni parut, jiwa tenggelam dalam larut pengorbanan, tetap saja tidak akan pernah sempurna. Ya, begitulah.

Adakalanya seseorang menjadi orang yang menyoal atau dipersoal. Kedua situasi itu, menagih jawapan. Entahkan kebenaran yang dipinta atau cuma hanya kepuasan hati melihat situasi membara dengan sinar. Perlukah diberi penerangan?

Kamu tahu, kadang-kadang manusia tidak layak untuk sebuah penerangan atau jawapan. Begitu juga kamu, tidak semua situasi perlu kamu menjelaskan diri kamu. Apa lagi dalam hal-hal remeh berupa fitnah atau cakap-cakap belakang yang darjatnya terlalu basi untuk dipandang. Biarkan kebasian itu berlalu, banyak waktu diam adalah pilihan yang sangat terbaik.

Boleh jadi kamu akan sakit hati seketika. Senyumkan saja. Jangan berdendam.