Skip to content

Category: Hidup

Hutang Hati

fly_away

“Kalau hati itu sudah berhutang pada cinta, harus dibayar dengan apa?”

Pertanyaan itu terbiar tanpa dijawab. Bukan kerana saya tiada jawabannya. Tapi kerana saya sedang malas mahu melayan pertanyaan sedemikian, yang saya kira hanyalah mahu memancing suasana mengenai percintaan. Tambahan pula, saya sedang mengerjakan sesuatu. Masih berada di daerah ini, dan tidak saya khabarkan aktivitiku, bukanlah bererti saya berjimba goyang kaki sepanjang waktu.

Namun malam ini, pertanyaan itu mengetuk minda. Fikir saya, perlu saya nukilkan tentangnya. Anggap saja ini jawaban.

Kamu tahu, seorang manusia boleh jatuh cinta dengan sekelip mata. Ada juga manusia yang rumit untuk jatuh cinta walau sudah berjumpa dengan ramai manusia. Perbezaan hati antara dua manusia ini benar-benar wujud. Besar bukan perbezaannya?

Belajar pengalaman dari sekeliling dan sedikit pengalaman sendiri, tahulah bahawa hati yang menuntut bayaran kerana cinta, tidak selalu dapat dilunaskan. Ada hati yang hanya mencinta, tapi tidak memiliki. Ada hati yang saling mencinta, tetapi tidak tahu bagaimana untuk menjaga cinta.

Hati yang telah jatuh cinta, bukan lesen terbesar untuk menjadi ukuran bahawa kita sudah bersedia menjaga cinta. Seperti apa yang aku katakan di atas tadi, ada yang saling mencinta tetapi tidak tahu bagaimana untuk menjaga cinta. Lalu akhirnya cinta yang telah mempertemukan dua hati yang asalnya tidak mengenali, terpisah lebih jauh lagi. Serta percayalah bahawa ada hati-hati yang bertemu bukan kerana cinta, tetapi kerana mereka pandai menghadirkan cinta dan menjaganya dengan rapi, mereka hidup bahagia dengan penuh kesederhanaan.

Untuk hati yang menuntut hutang, ada dua hal penting yang perlu difikiran sedalam-dalamnya. Pertama, pastikah kamu dengan hati kamu yang mahu dipertemukan dengan hati yang lain? Kedua, relakah kamu berkorban jatuh dan bangun untuk menjaga dan melestarikan cinta? Dua persoalan kecil untuk difikir-fikirkan.

Kerana bila hatimu menuntut dari hati yang lain, secara logiknya kamu bakal menjaga bukan hanya hatimu. Tetapi kamu perlu menjaga dua hati. Keseronokan mendapatkan hati yang lain, bukan juga penentu kebahagiaan. Tetapi bergantung kepada kesediaan dan kefahaman hidup kamu sendiri. Jawaban kepada persoalan itu juga tiada jawaban yang khusus, kerana hal itu terserah kepada diri sendiri. Orang lain tidak akan dapat menentukan dan membuat pilihan untukmu.

Apabila kamu menuntut cinta dari hati yang lain, jangan sia-siakan. Jika hatimu pernah merasa sakit ketika disakiti, maka hati yang lain juga begitu. Jika benar niat dan tujuan kamu, tatanglah sejujurnya kasih dan cinta itu.

Tetapi oleh kerana pertanyaan itu diajukan kepada saya, maka saya ada jawaban mengikut pertimbangan serta pendapat saya sendiri. Jadi ya, apa kamu terima atau tidak itu bukan soalnya. Asal kamu tahu jawaban saya ini.

Jawaban saya utuh. Hutang hati, tidak semestinya dilunasi.

Pagi Dengan Mimpi-Mimpi

coffeemorning

Pagi tadi usai subuh bila mentari sudah mulai keluar dari persembunyiannya, seperti rutin biasa setiap pagi, saya turun ke bawah menghidupkan alat pemanas dan penyejuk yang berada di bahagian dapur. Maksudnya itu, bila nanti air sudah panas agar bisa terhasil air kopi asli dari kampung. Asal kamu tahu ya, hari-hari itu terasa tidak lengkap dan enak jika tidak meminum kopi.

Laptop, tetikus, buku nota dan pen saya bawa ke luar rumah dan meletakkannya di atas meja. Dengan semangat bahawa mesti ada sesuatu yang perlu dihasilkan hari ini.

Begitulah, pagi-pagi hidup saya ini dihiasi dengan mimpi-mimpi. Kadang-kadang saya bersoal kepada diri sendiri, untuk sebahagian mimpi-mimpi yang didambakan, apa nanti dapat untuk dikecapi? Jujurnya, saya tidak suka memikirkan kemungkinan untuk gagal selagi belum mencuba. Makanya, sehingga saat saya untuk nanti merealisasikan mimpi-mimpi itu, biar saya pegang erat-erat semangat yang ada. Walaupun ya, tidak dinafikan, fikiran seorang manusia yang normal itu pasti akan terusik dengan namanya kegagalan. Tapi ayuhlah.

Hidup ini untuk mencuba!

Selamat Bersemadi Catatan Pertama

coffee_and_books

Dunia takkan aman tanpa agama.

Bukanlah agama sebenarnya yang membuatkan kewarasan akal dikuasai oleh tindakan tercetusnya peperangan atau permusuhan. Tetapi wang, harta, kekayaan, kuasa dan kemegahan diri atau bangsalah yang menyebabkan pembunuhan dan hilangnya kasih sayang.

Dan diri ini, hanyalah seseorang diantara jutaan manusia yang ingin hidup dalam keamanan, kewarasan dan kedamaian akal dan jiwa di dunia.