NOTA #5: Penulisanku Untuk Diriku

Setiap orang itu unik. Dengan keunikan itu perlu dihormati. Iyalah, selagi mana uniknya setiap dari kita tidak mengganggu ketenteraman orang sekeliling dengan cara yang negatif. Setiap orang berhak untuk dihormati. Kerana tiada sesiapapun yang suka dibenci dan dicaci. Begitu pulalah dengan pekerjaan yang dilakukan oleh setiap dari kita, asalkan halal dan tidak menyalahi kehendak Allah.

Di atas ini ayat bunga-bunga saja sebenarnya.

Siapa dalam kalangan kalian suka menulis? Pasti ada sebab kenapa kalian suka menulis dan membaca. Dan terkadang sebab-sebab itu, ada yang kalian dengan mudahnya boleh kongsikan kepada umum. Malah ada juga sebab-sebab yang hanya kalian sendiri sahaja yang faham, kan? Saya kira, memang sebenarnya apa-apa sahaja yang dilakukan setiap orang itu walaupun pekerjaannya sama, tapi sebab dan niat kita itu berbeza-beza, dan itu hanya kita dan Allah sahaja yang tahu. Ada masa kita terkeliru dengan niat sendiri, malahan!

Untuk hal berkaitan penulisan, beberapa kali saya menerima soalan. “Best tak menulis?” Jujurnya, mahu saja saya tanyakan kembali, adakah mahu mendengar jawapan saya dari A sehingga Z? Tapi selalunya saya jawab, “Menulis tu macam terapi untuk aku..” Kadang-kadang saya jawab dengan senyuman tersipu-sipu.

Jujurnya, saya itu merindukan semangat menulis pada suatu waktu dahulu. Saya merindukan rasa ghairah saya untuk menulis, dan tinggal dalam penulisan mentah saya pada zaman itu. Kerana bila saya menulis, saya menulis untuk memujuk dan menasihati diri sendiri. Itu antara salah satu cara untuk membahagiakan diri sendiri. Berkongsi dengan orang lain itu, adalah niat yang kedua dengan harapan kalau ada kebaikan walaupun sikit pada penulisan saya, semoga Allah menemukan penulisan saya dengan pembaca yang faham dan membaca dari hati.

Saya rindu dengan perasaan tidak terlalu menghiraukan bahawa penulisan saya itu nanti apakah ada pembaca atau sebaliknya? Yang saya tahu, saya mahu menulis semahunya mahu membahagiakan jiwa sendiri. Saya seperti yang pernah diperkatakan oleh Lord Byron,

“If I don’t write to empty my mind, I go mad.”

Apakah pada waktu dahulu saya tidak memasang niat untuk menjadi penulis yang ada karyanya diterbitkan dalam pasaran buku? Ada, dan niat itu datang apabila hadirnya pembaca dalam hidup saya yang menyantuni penulisan saya dengan hati.

Bila saya menulis dengan tulisan berbaur nasihat, ketahuilah bahawa nasihat itu terlebih dahulu untuk diri saya sendiri terutamanya. Dan jika ada hati yang terkena dan tersentuh dari arah yang positif, itu adalah kerana Allah yang mengizinkannya. Dan jika ada sebarang penulisan saya yang membuahkan sesuatu yang negatif, itu adalah kerana kelemahan saya sebagai seorang saya.

Semoga Allah cintakan kita dengan lebih..

NOTA #4: Berlumba Kita Untuk Siapa

Memikirkan kehidupan ini adalah pertandingan semata-mata, berlumba-lumba untuk lebih segalanya daripada orang lain; lebih kaya, lebih cantik, lebih kacak, lebih rumah besar, lebih kereta besar, lebih pangkat tinggi dan lebih segala-galanya di dunia. Menurut kita, si pemenang yang berlumba dan ternyata mempunyai lebih segalanya, apa hadiah terbaik yang mesti dimenanginya? Kemasyhuran dan pujian seluruh manusia? Apakah dengan cara begitu, baru lengkap kesempurnaan dan keberadaan kita sebagai manusia dimuka bumi ini?

Adakah kita mahu terlihat lebih daripada yang lain kerana kita sedang berebut piala sanjungan dalam kalangan manusia. Yang mahu diri kita disebut-sebut dan dipandang setinggi dan sejauh langit didongak?

Agak lucu kan manusia?

Percaya atau tidak, ada mereka yang kita bertemu dan mereka itu memang kelihatan dengan sosok tubuh yang selalu berjuang dan terbaik dalam segala perbuatan mereka, tapi bicara mereka sangatlah lembut dan tingkah mereka membuatkan kita merasa kasih. Dan kita juga bakal bertemu dengan manusia yang wajah dan lidah mereka, selalu memperkecilkan kita dengan bicara halus mereka. Dan yang peliknya, mereka itulah yang tidak pernah ada untuk kita.

Adakah kita sebenarnya manusia dewasa ini masih lagi seorang anak kecil yang mahu berlumba-lumba dalam kebendaan dan merasa sombong dengan hasilnya? Tidakkah kita boleh mempunyai hati yang akan merasa gembira dengan pencapaian dan kebahagiaan orang lain, dan kita tetap bersyukur dengan apa yang kita ada serta bukannya mencemburui apa yang bukan kita punya.

Serius.. Pada saya itu, manusia yang paling bermanfaat itulah manusia yang paling kaya. Bukti kejadian zaman demi zaman, manusia yang bermanfaat itu tidak semestinya yang jutawan. Bahkan sering saja manusia yang paling bermanfaat itu adalah mereka yang kenderaannya cumalah kedua kaki yang ada, kekayaannya adalah kekayaan hati, kemurahannya adalah kemurahan senyuman. Dan perginya sosok itu, sentiasa disebut-sebut oleh manusia sekeliling.

Hari yang baik pada bulan ramadan ini, katakan kepada diri kita sendiri bahawa jangan sesekali menjadi yang angkuh dengan kejayaan dan harta yang dimiliki. Segala kepintaran, kecekapan diri, kebijaksanaan dan lain-lain jika diambil semula oleh Allah dalam sekelip mata sahaja, maka hilanglah semua itu. Ya, semoga kita sentiasa mendoakan diri kita sendiri, keluarga kita serta anak-anak keturunan kita supaya dijauhi dari sifat-sifat keji yang akan membusuk dalam kehidupan itu.

Apa khabar puasa kita sehingga hari ini, kawan?

NOTA #3: Cuba Fikir

Baru tiga hari kita berada dalam bulan ramadhan. Namun perasaannya masih dalam keadaan semacam yang sukar diungkap. Saya sukakan suasana dan cuaca ramadhan ini. Sepanjang hari berpuasa, terasa seperti berada di daerah baru walaupun sebenarnya masih juga berada di daerah kelahiran tercinta ini. Mungkin petanda sudah tiba waktunya aku berkelanan, mungkin? Apa-apalah.

Sedari semalam, ada perkara yang bermain-main diminda saya. Tentang bagaimana sebenarnya saya hidup bertuhan? Biar saja saya kongsikan di sini, semoga yang membaca ini akan cuba turut berfikir sama.

Tentang hakikat hidup yang sebenarnya, kita tidak akan selalu mendapatkan apa yang kita inginkan. Tentang hidup yang pada hakikatnya kita lebih terasa apabila disakiti, berbanding kita gembira apabila bahagia. Tentang hidup yang apabila kita dalam fasa diuji oleh Allah, kita merasakan kadang-kadang Allah itu dekat dan kadang-kadang Allah itu jauh. Betul, kan? Ada waktu-waktu dalam hidup kita, kita sering merasakan bahawa kekuasaan Allah itu di mana saat kita betul-betul memerlukan Dia? Ditambah lagi, kita juga akan bertanya kenapa Allah mengizinkan dan meletakkan kita dalam kondisi yang kita akan merasa tangis berbanding tawa? Kenapa Allah tidak hadir menghapus duka?

Wah, ini benar ya! Jika kerja merintih hiba itu, berikan saja kepada manusia. Nescaya manusia akan merintih sepanjang masa, dan itu termasuklah saya sendiri.

Dalam berjuta-juta manusia yang hidup diatas planet bumi ini, kita masih merasakan bahawa kitalah yang paling malang dan paling lemah apabila menerima ujian dari Allah. Ribuan manusia yang berhadapan dengan nasib diantara hidup dan mati seperti di Syria sana, kita masih merasakan bahawa kitalah yang paling terseksa. Berapa ramai orang di luar sana yang tiada rumah dan hidupnua hanya menjadi gelandangan, kita tetap merasa bahawa kita tidak bertuah. Itu kan, manusia kalau diberi tugas untuk merintih-rintih akan nasibnya sendiri pasti tidak akan gagal berbuat demikian. Pasti sangat, akan dapat dilakukannya.

Tapi saya percaya pada hal bahawa kita tidak berhadapan dengan situasi yang sama. Cara kita dididik tidak sama. Dan pastinya, kita berasal dari latarbelakang yang berbeza dan membesar dalam situasi yang pastilah tidak sama. Hal-hal demikian, sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada bagaimana kita memandang kehidupan kita ini dan bagaimana penerimaan kita terhadap setiap hal yang terjadi dalam hidup. Makanya, tulisan di atas tentang merintih-rintih itu, sesuai jika kita bicarakan kepada diri sendiri. Cuba saja, ya?

Pada saat kita merasakan bahawa Allah tidak mempedulikan kita dan segala yang berlaku dalam kehidupan kita, pernah tidak kita bertanya kepada diri sendiri sejauh mana sudah ikhlas kita dalam mentaati Allah?

Kita merintih-rintih bahawa Allah itu seakan-akan tidak adil dalam memberikan kebahagiaan kepada hamba-Nya, pernah tidak kita bertanya kepada diri sendiri bahawa berapa banyak kali dalam hayat kita ini kita betul-betul bersyukur Allah masih memberikan kita nyawa untuk hidup?

Kononnya disaat kita berada pada titik paling lemah dalam hidup, kita merasa bahawa Allah tidak hadir disisi kita padahalnya saat itulah saat yang paling kita memerlukan dia. Pernah tidak kita fikir untuk bertanya dengan sejujur habis kepada diri sendiri, akrab seperti apa kita dengan alQuran?

ATAU, setidak-tidaknya pernahkah kita untuk mahu berfikir?

Allah tidak memberikan kita dengan sesuatu yang kita inginkan, kerana mungkin Allah akan memberikan kita sesuatu yang kita perlukan dan yang terbaik dalam hidup kita. Dan jujurlah, kadang-kadang mungkin Allah memberikan kita sesuatu yang tidak pernah kita idamkan dan tidak pernah kita fikirkan, adalah kerana Allah mahu menjaga kita dari hal-hal yang tidak baik untuk diri kita.

Allah lebih tahu apa yang kita perlu, berbanding yang kita mahu..

NOTA #2: Kerana Manusia?

Sering saja jika kebaikan atau pemberian yang kita lakukan kepada manusia lainnya adalah kerana manusia, pasti nanti akhirnya kita akan kecewa sendiri apabila kita sudah tidak sehaluan atau ternyata orang yang kita kenali itu hanya mempergunakan kita untuk kepentingan dirinya sendiri. Kerana apa? Kerana kita sendiri sebenarnya mengharapkan sesuatu dari manusia. Paling tidak kesannya, adalah kita terluka dan mungkin akan mengungkit-ungkit pemberian kita.

Tapi lihat ya.. Mungkin saja posting saya ini sepertinya bakal melibatkan soal keikhlasan. Tapi, nope! Kalau ada pun, biarkan saja untuk kita koreksi diri kita. Kerana bukan tujuan saya dalam post ini untuk berbicara soal keikhlasan.

Jika kita melakukan sesuatu kebaikan atas dasar mahu perhatian dan penghargaan dari manusia dan dahagakan puji-pujian dan bukannya melakukannya kerana mahu membahagiakan jiwa dan Allah, maka nanti apabila kita tidak dihargai kita akan sedih dan makan hati sendiri. Kerana ternyata ekspektasi kita untuk mendapatkan hal-hal tersebut dari manusia tidak dipenuhi.

Jika kita melakukan kebaikan kerana mahu mendapat tempat dalam kalangan manusia agar disanjung-sanjung nama kita, dan bukannya kerana mahu meraih perhatian Allah, maka hati kita akan hancur saat dimana manusia tidak memandang kita dengan pandangan yang kita mahu. Boleh jadi kita akan kecewa dengan diri sendiri yang mana, akibat paling buruk adalah kita kufur kepada Allah.

Berbalik kepada diri kita sendiri, layanilah orang lain, hargailah orang lain, ingatilah orang lain, dan doakanlah orang lain, sebagaimana kita mahu orang lain memperlakukan kita. Saya pasti benar, tiada sesiapa pun dalam kalangan kita yang mahu dilayani dengan buruk, dimaki dan dicaci dengan perkataan-perkataan kurang elok. Kena ingat seperkara, Allah sedang memerhati. Apa-apa sahaja yang kita lakukan dan tuturkan kepada orang lain, baik atau pun buruk,

..kita akan menerima hal yang sama.