“Kalau hati itu sudah berhutang pada cinta, harus dibayar dengan apa?”
Pertanyaan itu terbiar tanpa dijawab. Bukan kerana saya tiada jawabannya. Tapi kerana saya sedang malas mahu melayan pertanyaan sedemikian, yang saya kira hanyalah mahu memancing suasana mengenai percintaan. Tambahan pula, saya sedang mengerjakan sesuatu. Masih berada di daerah ini, dan tidak saya khabarkan aktivitiku, bukanlah bererti saya berjimba goyang kaki sepanjang waktu.
Namun malam ini, pertanyaan itu mengetuk minda. Fikir saya, perlu saya nukilkan tentangnya. Anggap saja ini jawaban.
Kamu tahu, seorang manusia boleh jatuh cinta dengan sekelip mata. Ada juga manusia yang rumit untuk jatuh cinta walau sudah berjumpa dengan ramai manusia. Perbezaan hati antara dua manusia ini benar-benar wujud. Besar bukan perbezaannya?
Belajar pengalaman dari sekeliling dan sedikit pengalaman sendiri, tahulah bahawa hati yang menuntut bayaran kerana cinta, tidak selalu dapat dilunaskan. Ada hati yang hanya mencinta, tapi tidak memiliki. Ada hati yang saling mencinta, tetapi tidak tahu bagaimana untuk menjaga cinta.
Hati yang telah jatuh cinta, bukan lesen terbesar untuk menjadi ukuran bahawa kita sudah bersedia menjaga cinta. Seperti apa yang aku katakan di atas tadi, ada yang saling mencinta tetapi tidak tahu bagaimana untuk menjaga cinta. Lalu akhirnya cinta yang telah mempertemukan dua hati yang asalnya tidak mengenali, terpisah lebih jauh lagi. Serta percayalah bahawa ada hati-hati yang bertemu bukan kerana cinta, tetapi kerana mereka pandai menghadirkan cinta dan menjaganya dengan rapi, mereka hidup bahagia dengan penuh kesederhanaan.
Untuk hati yang menuntut hutang, ada dua hal penting yang perlu difikiran sedalam-dalamnya. Pertama, pastikah kamu dengan hati kamu yang mahu dipertemukan dengan hati yang lain? Kedua, relakah kamu berkorban jatuh dan bangun untuk menjaga dan melestarikan cinta? Dua persoalan kecil untuk difikir-fikirkan.
Kerana bila hatimu menuntut dari hati yang lain, secara logiknya kamu bakal menjaga bukan hanya hatimu. Tetapi kamu perlu menjaga dua hati. Keseronokan mendapatkan hati yang lain, bukan juga penentu kebahagiaan. Tetapi bergantung kepada kesediaan dan kefahaman hidup kamu sendiri. Jawaban kepada persoalan itu juga tiada jawaban yang khusus, kerana hal itu terserah kepada diri sendiri. Orang lain tidak akan dapat menentukan dan membuat pilihan untukmu.
Apabila kamu menuntut cinta dari hati yang lain, jangan sia-siakan. Jika hatimu pernah merasa sakit ketika disakiti, maka hati yang lain juga begitu. Jika benar niat dan tujuan kamu, tatanglah sejujurnya kasih dan cinta itu.
Tetapi oleh kerana pertanyaan itu diajukan kepada saya, maka saya ada jawaban mengikut pertimbangan serta pendapat saya sendiri. Jadi ya, apa kamu terima atau tidak itu bukan soalnya. Asal kamu tahu jawaban saya ini.
Jawaban saya utuh. Hutang hati, tidak semestinya dilunasi.