Jam sekarang lagi tiga belas minit mahu menginjak ke pukul dua pagi. Sedang hujan lebat di luar. Dan kopi sedang menemani malamku kini. Kopi ditengah malam, ya kalian tidak salah baca. Suasana malam seperti ini, ada bahasanya tersendiri. Kalau tidak, masakan malam seperti ini adalah waktu untuk kita belayar dalam percintaan dengan Tuhan. Bukannya tidak ada yang namanya waktu siang untuk berkasih-kasihan dengan Tuhan, tapi waktu siang itu kesibukannya sering saja lebih mengenai duniawi. Dan sesiapa yang berusaha diwaktu sepertiga malam, bangun dan menyegarkan diri bertemu dengan Dia, ganjarannya juga bukan alang-alang. Berbeza diantara yang berusaha dan tidak.
Tahniah kepada yang sudah sebati dengan diri amalan bangun malam, dan menyediakan waktu tambahan buat dirinya bersama dengan Allah. Dan semoga terus berusaha kepada yang selalu menyesal bangun-bangun sahaja sudah kedengaran azan subuh. Tidak dilupakan kepada dalam kalangan kita yang bangun sahaja untuk solat subuh tengok-tengok matahari sudah tersenyum sinis kepada kita. Maka marilah kita sama-sama berHUHU. Eh silap! Marilah kita terus berusaha memaksa diri untuk memperbaiki permulaan hari kita bersama Allah.
Saya sebenarnya mahu ceritakan sesuatu..
Ada sesuatu yang berlaku semalam yang membuatkan saya rasa sedikit menyesal. Semasa sedang menunggu dalam kereta yang didiamkan di tepi jalan pejabat pos, ada seorang pak cik yang membawa plastik berisi kerepek (mungkin). Saat pak cik tersebut sampai di pintu belah pemandu, dia tersenyum memberikan isyarat adakah saya berminat mahu membeli isi yang ada dalam plastik tersebut? Saya hanya membalas dengan senyuman, dan menggeleng tanda tidak mahu. Dia masih tersenyum, lalu berlalu pergi. Dan mata saya mengiringi perjalanan pak cik tersebut ke hujung jalan sehinggalah beliau memasuki pagar Taman Tun Razak.
Rasa menyesal tiba-tiba mengisi ruang jiwa. Sambil berkata banyak kali,
“Ampuni aku, ya Allah! Ampuni aku, ya Allah!”
Boleh saja saya membeli kerepek yang dijualnya, dan menggembirakan sedikit hatinya kerana jualannya laku dibeli. Dalam hati seperti mahu mengejar pak cik tersebut, dan saya membuka laci dihadapan saya. Sekali lagi saya kata, “Ampuni aku, ya Allah!” Saya langsung tidak membawa duit masa keluar dari rumah tadi.
Sebelum kalian kata, “Apalah jalan tak bawa duit..” Sebabnya saya cuma bawa kad pengenalan, dan keberadaan saya di pejabat pos pun untuk ambil dokumen yang ditinggalkan untuk pembaharuan insurans dan cukai jalan. Pagi tadi, katanya offline. Jadi memang selepas ambil dokumen-dokumen tersebut, saya bercadang untuk balik rumah terus. Tetapi kejadian itu benar-benar SESUATU.
Bila saya ceritakan kepada seseorang, katanya kenapalah tidak beli walau sebungkus? Dan apa yang mampu saya katakan?
Sebenarnya bila koreksi diri, itu adalah antara kesempatan-kesempatan kecil yang selalu saya terlepas. And I’m feel no good about that though. Seperti kesempatan mahu membuatkan sesuatu tetapi ditunda-tunda, akhirnya entah bila sesuatu itu hendak dibuat. Sama seperti, bila hendak menulis atau membaca serta update blog tetapi banyak kali juga tewas. Peristiwa yang sudah terjadi atau masa yang sudah berlalu, mana mungkin akan dapat diulangi lagi. Dan bila kita tidak buat yang sepatutnya kita buat, maka itu adalah kerugian.
Ya, tidak kiralah hal-hal itu kecil atau besar. Terasa bahawa, bila melalui kejadian seperti itu.. memang adalah ujian dari Allah. Mungkin mahu tengok kita grab or drop peluang yang ada sama ada kecil atau besar. Kalau kita grab atau drop, Allah tidak rugi apapun. Tetapi kalau kita grab, kita beruntung insya-Allah. Kalau kita drop, kita mungkin akan menyesal atau belajar banyak hal dari perkara tu.
Kalian pernah mengalami hal yang sama? Mengenai hal-hal kecil yang penting tetapi terabai kerana mungkin kita sering terlepas pandangan bahawa tidak semua hal yang kecil itu kesannya adalah kecil. Sebaliknya banyak hal-hal kecil yang sebenarnya membawa kewujudan mengenai hal yang besar.
Teringat saya firman Allah ini,
“Barang siapa berbuat kebaikan sekecil apa pun perbuatan baik itu, dia akan menyaksikan hasilnya. Begitu pula yang melakukan perbuatan buruk, sekecil apa pun perbuatan buruk itu, dia akan menyaksikan hasilnya.”
(Surah al-Zalzalah: 7-8)
See? Pada pandangan Allah, yang kecil atau besar itu sentiasa ada dalam perhitungan-Nya. Baik yang berbentuk kebaikan atau keburukan. Jadi, pilihan ada dalam tangan kita sebenarnya. Tinggal kita yang mahu melakukan yang mana satu. Dan apa kecenderungan kita itu sedikit sebanyak menggambarkan bagaimana kesihatan iman dan jiwa kita. Bolehlah periksa. *menangis di tepian katil*
Dalam surah al-Baqarah ayat 148, Allah ada berfirman, “..Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan. Di mana saja kamu berada, pasti Allah akan mejgumpulkan kamu semuanya…”
Tiada Allah syaratkan kepada kita untuk menyuruh kita berlumba-lumba dalam bentuk kebaikan yang besar. Tetapi Allah mendorong, memberi sokongan dan harapan untuk menyeru kita berlumba-lumba dalam kesempatan kebaikan yang ada, dan kita bersemangat pula untuk melakukan hal itu. Kita selalu terlupa barangkali, bahawa kesempatan untuk kebaikan itu bukanlah kerana orang lain. Tetapi kerana diri kita sendiri. Jika baik, maka kebaikan juga akan kembali kepada kita. Jika buruk perbuatan kita, maka keburukan itu juga akan kembali kepada kita.
Kalau pernah terasa kebaikan yang kita lakukan tidak dihargai, maka jangan difikir-fikirkan lagi. Kebaikan itu adalah tanggungjawab kita kepada orang dan diri kita. Sedang kesan kebaikan itu kepada orang lain, maka itu adalah urusan Allah. Sama ada dihargai atau tidak, kita berlepas tangan daripadanya. Allah sahajalah yang layak untuk menilai dan memberikan ganjaran. Dan untuk diri kita, kita lupakan kebaikan yang kita buat. Dan kita teruskan bertaubat atas tiap-tiap kejahatan kecil atau besar pernah kita lakukan. Itu tanggungjawab terhadap diri.
Sedang saya menyesali diri sendiri dan berazam sekiranya saya terjumpa pak cik itu lagi, saya pasti akan beli kerepek yang dijualnya. Semoga Allah mengampuni.