Antara hal yang tersusah untuk ditelan dan dicerna ke dalam minda kehidupan kita itu, adalah penerimaan secara menyeluruh terhadap diri kita. Baik dari segi keberadaan kita pada waktu sekarang, apa yang kita lakukan, di mana posisi kehidupan kita yang sekarang. Kerana kita menjalani hidup sehari-hari, pasti sesekali kita melihat kiri dan kanan. Di kiri dan kanan itu, ada kawan atau sahabat yang kehidupannya tidak sama seperti kita. Mungkin pada kacamata kita, kehidupan mereka lebih baik daripada apa yang kita ada. Di kiri dan kanan itu, ada teleskop yang kita guna untuk mengukur sejauh mana kita telah pergi dalam kehidupan kita sebagai seorang anak atau juga sebagai seorang kita.
Bukan sekali dua kita bersoal jawab dan mempersoalkan diri sendiri; apa yang kamu lakukan, wahai diri? Kenapa masih di sini? Kenapa tidak jauh pergi kamu seperti orang-orang yang kamu kenal? Kenapa keberadaanmu seakan-akan beban dan tidak menyenangkan? Dan pertanyaan yang lain seperti; sampai bila kamu hendak begini? Adakah kesudahan kehidupanmu nanti tidak meninggalkan kesan bahagia sekurang-kurangnya terhadap keluarga atau orang-orang yang menyayangimu dan yang kamu sayangi?
Pertanyaan-pertanyaan yang sangat menyakitkan, kan?
Dalam sekian berbillion manusia di atas muka bumi ini, kenapa kita yang seorang individu ini terasa seperti tersekat pada posisi kehidupan kita yang sekarang? Kadang-kadang kita merasakan bahawa kita tiada jalan keluar, sekarang atau beberapa tahun akan datang. Segala pertanyaan tersebut bermain-main dalam minda, siang dan malam. Dan wajah kita, tingkah kita, mempamerkan wajah yang biasa kepada semua orang. Namun tidak jiwa kita. Kerana jiwa itu, sedang menanggung ketakutan, rasa rendah diri, rasa tidak berfungsi sebagai seorang manusia. Bukan sahaja kepada diri sendiri, tapi juga kepada keluarga dan dunia.
Persoalan-persoalan ditransformasi menjadi tayangan masa depan setiap hari.
Adakah kamu juga sedang menghadapi segala pertanyaan-pertanyaan tersebut dalam hidupmu? Adakah kamu juga merasa kewujudanmu seperti tidak membawa makna apa-apa kerana menurutmu belum mencapai sesuatu yang membanggakan dalam hidup?
Kawan, kamu tahu.. Tidak mengapa jika kamu sedang bergelumang dengan sekian banyak pertanyaan yang kamu sendiri tidak dapat jawab seperti sekarang. Kamu tahu, kamu tidak bersalah kerana berada di posisi kamu yang sekarang, walau kamu sering menyalahkan diri kerana kamu menyangka bahawa hari ini, kamu sepatutnya sudah berada pada satu tahap dalam kehidupan yang tidak memerlukan kebergantungan kepada sesiapapun.
Kamu tahu, tidak mengapa jika kamu merasakan hal-hal yang membuatmu merasa rendah diri. Merasa tiada keistimewaan dalam hidup. Kamu merasakan bahawa tiada kebolehan pada diri kamu yang boleh membawa kamu keluar dari posisi kehidupan kamu yang sekarang. Kamu tahu, tidak salah jika kamu merasakan bahawa dirimu itu tidak berguna. Kerana semua itu adalah luahanmu kepada dirimu sendiri.
Kerana apa saya mengatakan tidak mengapa dan bukannya salah kamu? Kerana hakikatnya sehingga saat ini, kamu masih ada, hidup dalam perjuangan. Sehingga sekarang kamu masih kekal bernafas sehingga hari ini. Masih boleh melayari blog ini yang hidup segan mati tak mahu, membaca entri yang ditulis oleh seseorang yang juga berada dalam perjuangan hidup. Kamu memilih untuk terus berjuang, memilih untuk terus hidup. Dan tidak memilih jalan yang sebaliknya. Kerana saya percaya, kamu juga sedang bertahan dengan prinsip; kepahitan apapun yang berlaku sehingga hari ini, tidak akan kekal selamanya. Pasti kita akan merasa silih gantinya kemanisan dan kepahitan hidup, selagi nyawa dikandung badan.
This too, shall pass. Tetaplah kuat dengan caramu sendiri. Tetaplah bertahan dengan segala rasa yang sedang berkecamuk dalam jiwamu. Tetaplah mengukir senyum walaupun dalam kepahitan. Kerana senyuman yang wajah kamu ukirkan ketika jiwa merasai kelelahan, adalah hadiah kepada diri sendiri yang tidak tertukarkan. Senyumlah sesekali, walau kamu berada seorang diri. Tiba setiap waktu, mengadulah kepada Tuhan. Heningkan segala perasaanmu di hadapan Dia. Tanpa satu apapun yang kamu tinggalkan untuk Dia dengari.
Tetaplah berusaha walau kamu merasa hendak menyerah. Tuhan tidak pernah berjanji bahawa dunia ini akan mudah. Tidak pernah pula Baginda Nabi membawa sabda kehidupan, bahawa umatnya dipenuhi dengan harta kaya raya. Namun semoga, saya dan kamu yang terus berusaha, akan merasa dengan ketercukupan hidup dan memperolehi hal-hal yang sangat dimaknai dalam hidup.
Akan ada waktunya nanti, yang akan kita alami banyak kali; di mana kita meragui diri kita dan keupayaan sendiri dan meyakinkan bahawa kita tidak boleh. Tetapi saya harap, kamu tidak menyerah tanpa mencuba. Dan jika setelah mencuba, kamu masih tidak dapat menyempurnakan apapun hal itu, janganlah kamu merasa terhina. Padahal kamu berjaya dalam definisi hidupmu bahawa kamu telah berusaha mencuba.
Hei.. kamu berharga. Walau tiada seorang manusia yang menghargaimu.
Kamu seorang yang bermakna. Walau tiada seorang manusia memahamimu.
Teruslah bertahan,
teruslah mendekat kepada Tuhan.
Suhana Amiril
05112021