Kita Ada Timezone Sendiri

Pada akhirnya, apa yang telah kita kecapi sebenarnya adalah berkaitan tentang apa yang kita ingini. Definisi bahagia itu, terletak pada apa yang menenangkan jiwa dan kehidupan kita. Kerana itu, perbuatan sering kali iri dengan perasaan dengki terhadap kehidupan atau pencapaian orang lain itu tidak pernah membuatkan diri punya jiwa yang lapang dan juga bahagia. Cemburu dengan pencapaian dan motivasi diri orang-orang yang berjaya itu tidaklah sama seperti iri yang disertai hasad dengki. Cemburu yang demikian, membuat kita mahu mencontohi semangat orang lain tanpa perlu merubah sifat dan diri kita.

Tidak semua yang dilakukan oleh ramai orang itu adalah sesuai buat diri kita. Tidak semua apa yang dikecapi oleh orang lain itu pula dikecapi oleh kita, dan tidak semua yang kita kecapi pula dikecapi oleh orang lain. Kerana hidup kita, adalah hidup kita. Hidup orang lain, adalah kehidupan mereka. Tidak akan sama.

Ada orang mampu menghafal 30 juzuk alQuran, ada orang yang baru berusia belasan tahun sudah mempunyai beberapa buah syarikat perniagaan, ada orang yang berumur 25 tahun sudah menggenggam ijazah kedoktoran, ada orang yang baru berusia awal 20-an sudah mendirikan rumahtangga dan mempunyai anak-anak. Tetapi asal kau tahu, tidak semua orang di atas dunia ini mempunyai perjalanan hidup yang sama seperti yang telah saya tuliskan satu persatu tadi.

Jika kita tidak jadi seperti mereka, adakah kita seorang yang tidak berguna?

Jawapannya, sudah tentulah tidak! Kita semua mempunyai ruang masa sendiri dalam kehidupan. Ruang masa itu adalah lingkungan waktu yang kita miliki untuk mencapai apapun dalam kehidupan meski lari dari kebiasaan. Bila perjalanan hidup kita dari segi kejayaan dan pelajaran tidak sama seperti kebanyakan orang, janganlah merasa bahawa kita sudah berada di penghujung dunia. Kerana di luar sana, masih ramai orang yang sedang berjuang dengan cara mereka sendiri.

Tidak pernah diletakkan syarat untuk berjaya itu, seseorang perlu berumur sekian dan sekian. Dan tidak pernah sebarang syarat yang tercipta bahawa untuk berjaya itu hanya orang kaya atau berharta sahaja yang boleh, manakala yang miskin dan kurang harta tidak boleh untuk berjaya. Kita bukan hidup di zaman purba.

Mungkin kita pernah melihat seseorang yang umurnya muda dari kita sudah mencapai banyak kejayaan dan kelulusan dalam hidupnya. Atau dalam situasi yang lain, rakan yang seumur sebaya dengan kita sudah dan sedang melangkah jauh dalam kehidupannya, sedangkan kita tidak banyak kejayaan tercipta seperti orang-orang itu tadi. Dengan itu, mulalah kita rasa rendah diri. Kita semakin fikir bahawa kita ini hidup macam tiada makna. Bahkan kita merasa bahawa hidup kita ini akan sentiasa di bawah. Maka, apakah sebenarnya kita ini malang?

Nahhh, bukan. Mari saya ajak kita berfikir sekejap.

Apa yang kita lihat pada orang lain itu, dan bagaimana perjalanan kehidupannya yang kita lihat pada mata kasar.. itulah yang kita katakan RUANG MASA atau TIMEZONE mereka. Dan zon masa setiap orang berbeza satu sama lain. Kita takkan dapat tiru gaya hidup orang lain atau zon masa mereka. Kerana kehidupan kita tidak sama seperti orang lain. Faham tak ni? Begini, maksud saya. Setiap dari kita mempunyai cerita yang berbeza dalam kehidupan.

Paling mudah, begini.. Tidak semua kejayaan orang lain yang kita lihat itu adalah ditakdirkan untuk kita. Apa maksud saya? Maksud saya, kejayaan kita mungkin dalam bidang dan ruang waktu yang lain daripada orang lain. Walaupun nanti, kejayaan kita itu tidak dilaung-laung oleh orang ramai, apatah lagi diraihkan dengan meriah. Kerana kalau kau mahu tahu, definisi kejayaan pada setiap orang itu pun berbeza. Percaya? Silakan untuk percaya. Ada pada sesetengah orang, kejayaan itu apabila dia beroleh wang yang banyak dari perniagaan. Ada pada sesetengah orang, kejayaan itu adalah apabila dia dapat menggenggam diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran dalam hidup. Dan ada pada sesetengah orang yang jiwanya bahagia dengan kehidupan yang sederhana, kejayaan itu ialah apabila dia dapat menjalani kehidupannya dengan berdikari sendiri serta cukup makan, pakai, dan mempunyai rumah untuk berteduh.

Bahkan ada banyak lagi definisi yang berbeza dimata manusia!

Jadi bagaimana dengan diri kita? Pada saya, mudah. Tanya pada diri, apa perjuanganmu dalam hidup. Jangan cakap tentang perjuangan dalam skop besar seperti perjuangan untuk ummah. Tetapi perjuanganmu untuk dirimu dalam skop yang lebih kecil. Dan tanyakan lagi kepada dirimu, apa yang mahu kau kecapi itu adakah untuk kepuasan dan membuatkan kehidupanmu menjadi lebih baik, atau hanya sekadar supaya kau disanjung-sanjung kerana kejayaan tersebut?

Cuba lihat di sekelilingmu, banyak kejayaan demi kejayaan orang lain yang tidak didendang pun. Tetapi mereka berjaya dengan cara dan usaha mereka.

Selagi kau berusaha dan bekerja dengan caramu sendiri dan bukannya sekadar duduk goyang kaki dan berlagak seperti kaya dengan harta yang tiada, maka kau akan mencapai kejayaan dalam hidup. Dan kejayaan, tidak perlu pun masuk dalam berita dalam TV atau suratkhabar. Melainkan jika kau mengharap yang demikian, maka kau kena usaha lebih! Jangan memalukan diri sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *