Entah semangat apa yang datang pada tengah malam begini. Terasa benar banyak kata yang mahu diabadikan di sini pada waktu yang sama. Dua tin kopi wonda menjadi hirupan tadi pastinya sedang bekerja untuk menahan mata dari kantuk. Atau boleh jadi juga kerana bunyi salakan anjing yang entah apa-apa sahaja mencuri perhatiannya. Jadi biarlah saya berbicara sendiri di sini.
Saya membayangkan suatu pagi yang baru mulai tersenyum malu-malu kerana asyik bercanda dengan hujan semalaman. Tatkala kedinginan masih menyelimuti permukaan bumi, dan ada manusia masih malas membuka mata dengan penuh manja berselubung disebalik selimut pilihan. Tanah-tanah dan jalan raya yang masih basah kedinginan serta aroma hujan yang mempunyai istimewanya sendiri. Lebih enak apabila dalam bayangan saya itu, saya membancuh kopi segar sambil berbicara dengan kedinginan dan memberitahukan bahawa betapa berterima kasih saya kepadanya kerana akur dengan aturan Tuhan lalu memberi sekelumit kebahagiaan kepada manusia yang entah bersyukur entah tidak.
Pada saya, tentu saja pagi seperti itu adalah pagi yang sempurna. Ia tidak melarat sampai ke tengahari. Hujan yang pada hari itu memahami bahawa pagi yang mentah seperti itu, adalah waktu untuk manusia berpergi-pergian untuk bekerja dan melaksana tugas masing-masing. Berpergian sambil tubuh dibaluti kedinginan yang menyegarkan, adalah suatu nikmat kau perlu berterima kasih kepada Tuhan.
Kau nampak? Alam juga akur dengan Tuhan.
Sebenarnya alam dunia ini indah juga ya, jika tidak dihiasi dengan kehidupan nista dan kekerasan. Boleh saja sebenarnya semua manusia itu dalam keadaan yang baik-baik, seadanya hidup dan menghimpun senyum untuk diberikan kepada orang lain. Saling membahagia dan menghormati. Hidup selayaknya sehingga pulang kepada Tuhan. Tapi berbalik kepada alam nyata di dalam nyata, hakikat hidup di dunia perlu disedari bukan begitu. Ada bahagia dan ada duka.
Saya itu, kalau diberi kesempatan semasa kelahiran saya berpuluh tahun yang lalu semasa masih bayi dan sudah mengerti dan mengingat akan butir bicara, biar saya siap-siap diberikan penerangan tentang hidup ini bagaimana.
Dan biar siap-siap dibekalkan pesan,
..bahawa nanti seiring waktu kau sebagai manusia tidak akan selalu bahagia. Akan banyak hal yang datang melewati perjalanan takdir hidupmu, dan mahu tidak mahu kau perlu berhadapan dengannya. Ada waktu kau akan merasa marah, ada jam kau akan merasa bahagia, dan ada saat-saatnya harimu hanya dihiasi airmata. Kau perlu sedar bahawa kau akan merasai kesakitan. Dan kesakitan yang paling sakit adalah apabila kau tidak mampu lakarkan kesakitan itu dengan perbuatan zahir, tetapi hanya sekadar mengalirkan airmata dan mengetap bibir sendiri.
..kau bisa saja jadi jahat atau baik dalam hidupmu. Dan ketahuilah, itu adalah pilihanmu. Pengalamanmu dalam hidup mungkin bakal membentuk jiwamu untuk berada dalam kebaikan atau kejahatan. Namun tetap saja, itu adalah pilihan dirimu sendiri. Tahulah kau bahawa kau semakin dewasa, makin banyak yang kau akan mengerti soal hidup ini. Dan kebaikan dan kegembiraan hidup ini tidak selalu berpihak kepada kau. Pastinya ada waktu kau akan mendapat sisa kebahagiaan dan kegembiraan orang lain saja. Tapi tenanglah, itu yang bakal kau lalui berpuluh tahun akan datang. Dan kau bakal biasa dengan keadaan demikian.
Tapi hakikatnya, tiada pesan-pesan begitu untuk seorang bayi yang baru lahir yang masih tiada mengerti apa-apa kecuali menangis bila lapar dan diam bila selesa. Tiada nasihat begitu kepada seorang bayi yang lahir yang bukan atas permintaan dan pilihan bayi itu sendiri. Yang pastinya, mungkin saja kelahiran bayi tersebut pada saat itu sedang membuah senyum manusia sekeliling. Kerana lahir lagi seorang manusia yang bakal menjalani kehidupan roller coaster ini.
Yang di atas ini, hanya pertanyaan-pertanyaan dalam anganan.
Yang pastinya kehadiran seorang manusia ke muka bumi itu bukan sesuatu yang sia-sia. Lagi pula, bukan kau seorang saja yang ada di atas muka bumi ini. Jadi kau perlu terasa lega sikitlah sebab ada ramai lagi manusia yang entah apa sahaja yang sedang dilaluinya setanding dengan apa yang kau lalui, atau apa yang kau lalui tidak setanding dengan apa yang manusia lain lalui.
Jadi esok-esok bila kau keluar dari rumah dan bertemu ramai manusia di jalanan, kau ucaplah syukur kepada Tuhan. Amati wajah mereka satu demi satu, katakan pada diri sendiri bahawa mereka yang kelihatan biasa-biasa yang sedang berjalan itu, yang sedang sibuk bekerja itu, yang sedang berusaha dengan caranya itu, itu adalah manusia yang sedang menjalani takdir hidup mereka masing-masing.
Seperti kau yang sedang berjalan pada takdir hidupmu.