Masih Adakah Esok Untukku

“Dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (al-Baqarah: 177)

Kamu.

Aku mungkin tahu bagaimana rasanya perasaanmu. Yang merasa penat, selalu berair mata. Yang merasa diri terbatas untuk hal-hal yang mahu kau lakukan. Yang hatimu gusar menjadi bersarangnya diantara dilema untuk sebuah cita-cita dan kebahagiaan dengan sebuah tanggungjawab dalam kehidupan.

Aku juga mungkin bisa mengerti apabila rasa rendah diri menyapa kau dalam senyap. Bisik-bisik minda yang menyatakan kau tiada apa-apa berbanding yang lain. Rasamu yang terlalu sangat mahu tampil yang terbaik buat insan-insan yang kau sayangi. Tetapi akhirnya, kau menangis sendirian dan sedar kau masih belum cukup kuat untuk berdiri. Aku tahu rasamu, kau mahu menjadi yang berbakti.

Aku tahu bagaimana impianmu tidaklah sebesar menakluk dunia. Cukup hidup aman yang jauh dari kota sibuk dengan penghuni yang berlumba-lumba untuk kelangsungan hidup. Aku tahu benar mahumu untuk hidup di pinggiran desa, yang kau impikan biar dekat dengan pantai dan lautan dan kau bisa berkarya sebebasnya. Namun sekali lagi, tukul-tukul prioriti datang memecahkan impianmu. Tidak, bukan salah perkara prioriti itu. Dan aku tahu bahawa kau sedar, semahu apapun kau dengan impianmu, ada yang perlu kau lupakan.

Apapun sebabnya, aku pasti itu tidak bermakna kau lali dan penat dengan impian-impianmu. Dan bukan juga sebagai tanda kau bacul untuk tidak berani menggapai yang kau mimpikan. Tapi tidak mengapa ketika kau merasa bahawa tiada satu orang pun yang memahami perjalanan hidupmu.

Kerana tidak semua, orang luar itu perlu fahami dan ketahui.

Untuk hal-hal yang kau sabarkan dalam hidup, percayalah dan yakinlah bahawa Allah tidak pernah tidak menghitung untuk segala sesuatu yang kau korbankan. Kerana sampai masa, pasti Dia akan tunaikan impianmu dengan cara Dia sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *