Menulis Kerana Apa?

Berpagi-pagian membaca di Taman Tun Razak semalam, seorang pak cik menyapa sekilas semasa beliau bertukar tempat duduk yang berada beberapa meter di belakang saya, ke tempat duduk yang berada lebih kurang lima belas meter di hadapan saya. Fikir saya, beliau berpindah ke tempat yang lebih mendung dan terlindung. Misi pendek pagi semalam cuma satu, mahu menghabiskan pembacaan. Tercapai, dan saya puas hati dan bahagia.

Pak cik yang menyapa saya itu, seperti gelendangan yang membawa sebuah beg galas dan kertas gulung yang kurang saya dapat amati. Mungkin tikar, dan juga mungkin lukisan. Tetapi bila saya merenggangkan kaki dan tangan serta bersiap-siap untuk balik, saya dapat lihat pak cik tersebut mengeluarkan sebuah buku tulisan dan pen. Lalu beliau menulis sesuatu. Fikiran saya terus mencipta teori. Mungkin pak cik tersebut adalah seorang penulis yang mencari ilham dengan cara terjun ke dalam gaya kehidupan watak yang ingin dituliskannya?

Terus kagum memenuhi jiwa ini. Walaupun itu sekadar teori saya sendiri. Tapi sejujurnya, saya cukup kagum kepada penulis yang tekad mahu terjun ke dalam kehidupan watak yang sedang dituliskannya semata-mata mahu menjiwai watak-watak dalam tulisannya. Tujuannya satu, untuk menghidupkan penulisannya dan mahu para pembacanya merasai pengembaraan perasaan apabila membaca karya yang dihasilkan olehnya. Penulisan yang praktikal melebihi teori.

Hari ini tidak sempat untuk ke taman itu. Mungkin akan ke taman itu sekali lagi pada esok hari. Tempat yang tenang dan damai. Memang tidak silap percaturan saya untuk ke sana. Dan semoga bertemu pak cik itu lagi sekali.

Semasa dalam perjalanan balik, saya berjalan melawan arah cahaya matahari yang bersinar dengan penuh megah. Dan pagi itu, membuatkan saya berfikir. Kenapa sebenarnya saya mahu menulis atas sebab lainnya? Tapi persoalan itu tidak terjawab. Namun selepas isyak semalam, soalan itu timbul kembali dalam fikiran.

Dua puluh atau empat puluh tahun akan datang, kalau Allah masih pinjamkan umur yang panjang, maka saya akan menjadi seorang yang tua. Kudrat saya juga akan berkurang pastinya. Mata saya entah pada waktu itu masih boleh melihat atau tidak. Daya ingatan saya entahkan masih tersisa atau saya akan melupakan segalanya. Saya rasa kalau saya ada harta pada waktu itu untuk diwariskan kepada ahli keluarga, harta itu akan berkurang. Dan jujurnya, saya tidak merasa mewariskan harta peninggalan akan memberi kesan yang lain dalam kehidupan.

Tapi itu pun, kalau waktu itu saya ada hartalah. Kalau tiada? Hahaha.

Kalau pun saya ada harta pada masa itu, harta itu tidak ada manfaatnya untuk saya bawa mati. Tetapi penulisan, lain halnya. Aksara demi aksara yang pernah dituliskan, akan terus hidup. Selagi mana ada orang yang menyimpan dan membaca, selagi itu penulisnya seperti masih hidup walau jasad sudah sebati dengan tanah. Penulis dan karyanya akan hidup dalam kehidupan si pembaca karyanya. Biar tidak jadi yang terkenal seantero dunia, cukup tulisan yang menyentuh beberapa hati dan mendatangkan manfaat.

Paling kurang pun, kalau ada jodoh untuk kahwin dan punya anak, biar tulisan-tulisan jadi tatapan anak cucu cicit, anak-anak buah dan saudara mara yang mengenali. Dan waktu itu, semoga perbuatan membaca tidak ditelan oleh arus kemajuan zaman. Semoga generasi yang mendatang lebih mencintai buku. Dan mereka akan berkata, “Oh, nenek atau moyang kami ada menulis karya rupanya!”

Hahaha.

Umur semakin pendek, banyak mana pula kebaikan yang saya sudah lakukan? Kalau saya mati, biarlah saya meninggalkan kenang-kenangan berbentuk penulisan kepada mereka yang mengenali dan kisah terhadap saya. Biar apabila mereka membaca tulisan picisan saya, mereka mengingati saya dengan jiwa.

Pada saya itu, itu adalah antara salah satu untuk saya memaknakan kehidupan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *