Aku itu jujurnya, sangat cemburu kepada orang yang sabar dan suka berlemah lembut. Sehingga kini, aku suka untuk berbicara soal sabar. Kerana pada sabar, ada ketenangan. Walau tidak kurang juga yang melihat sabar sebagai satu kelemahan, tapi aku sentiasa percaya bahawa sabar yang kerana Allah, pasti nanti akan diiringkan oleh-Nya dengan banyak hikmah dan pelajaran hidup.
Petang ini mari kita bicara soal sabar, ya.
Apa khabar puasa kalian? Semalam adalah hari yang menandakan sudah seminggu kita berada didalam bulan puasa. Bagaimana sabar kita menahan dahaga? Bagaimana sabar kita menahan amarah? Bagaimana sabar kita memperbanyakkan ibadah? Bagaimana sabar kita menghabiskan tarawih? All is well, ya?
Setuju tidak jika aku katakan bahawa sabar itu boleh hadir dalam pelbagai bentuk? Sabar dengan hati, sabar dengan mulut, sabar dengan mata dan anggota yang ada pada badan kita. Juga melalui perbuatan kita. Bukan perkara mudah menghadirkan sifat sabar dalam diri. Bukan juga perkara mudah untuk mengekalkan sabar dalam tindak-tanduk kehidupan. Mungkin juga kerana itu, pada pandangan Allah, sangat istimewanya orang-orang yang sabar itu. Dan Allah tidak pernah mengecewakan orang-orang yang bersabar kerana-Nya.
Jika ditanyakan kepada aku yang banyak lompong ini, yang pastinya bukan seorang yang sangat-sangat penyabar, “Bagaimana untuk menjadi sabar?” Pastilah aku akan jawab, “ya sabar saja. Buat apa mahu memeningkan kepala dan membuat diri sendiri stress? Biarkan saja orang-orang itu, atau hal dan perkara tersebut. Sudahlah, jangan difikir!” Sesuai juga jawapan ini kan. Tapi bagi orang-orang yang sabarnya kerana Allah dan yakin Allah ada dalam setiap langkahnya, jawapannya tidaklah seremeh jawapan saya tadi itu.
“Sabarlah kerana Allah. Apapun yang kita buat, apapun yang kita hadapi.. Bersabarlah dengan mengingat Allah. Sabar kita bukan kerana kita lemah. Tapi kerana itu adalah satu tanda pergantungan kita kepada Allah untuk tidak turut serta menjadi zalim. Tapi pastikan juga, biar sabar dengan bijaksana.”
Kadang-kadang aku terfikir, selama manalah kita tidak boleh bersabar dengan kehidupan di dunia. Padahalnya kita tahu bahawa kita ini tidak selamanya di dunia, nanti bakal kembali ke tempat yang tiada dusta, tiada kebimbangan, tiada hasad dan segala yang negatif seperti di dunia. Dan selama mana pula kita boleh bersabar dengan segalanya, kan. Persoalan ini pun sudah menandakan bahawa kita ini hanyalah manusia yang tiada apa-apa sebenarnya.
You know what? Bersabarlah dengan kesabaranmu, yang kerana Allah. Bukan kerana manusia, bukan kerana pujian dan sanjungan. Tetapi kerana pergantunganmu kepada Tuhanmu kerana percaya setiap apa-apa sahaja yang ada di dunia ini, semuanya dalam pandangan dan pengetahuan Allah SWT.
..apa khabar sabarmu?