Untuk Jiwaku Yang Sedang Marah

Kau sudah tahu benar apa erti perasaan marah. Entah marah pada diri sendiri, marah pada keadaan, atau marah kepada seseorang. Marah yang kau tahu benar, adalah marah yang diiringi dengan perasaan kesedihan, yang mahu kau hamburkan semahunya. Yang selalunya akan berakhir dengan tangisanmu dikala sendiri. Sehingga kau berdamai dengan ‘menangislah jika itu melegakan jiwa kau’.

Hidup memang tidak mudah, bukan?

Dan akhirnya, selepas tangisan itu reda dengan jiwa yang suram kau mencapai pen dan kertas. Seterusnya menulis di alam maya seperti ini. Adakah tujuanmu untuk memberitahukan kepada khalayak? Tidak. Ini terapi bagi diri kau. Setiap orang melalui liku kehidupan yang berbeza.

Setiap hari. Setiap masa.

Apa pelajaran yang boleh kau ambil dari perasaan marah yang mencengkam jiwa kau sehingga akhirnya cair menjadi tangisan? Adakah semua itu tidak diketahui oleh Allah? Adakah semua yang sedang berlaku dalam hidup kau, perasaan kau, niat dan usaha kau tidak mendapat perhatian dari Allah Ta’ala?

Tidak, wahai diri. Allah tahu terperinci setiap kejadian dalam hidupmu.

Koreksi Diri Sendiri

Kau tahu, kau boleh saja salahkan orang lain kerana perasaan yang kau rasa sekarang. Mungkin suatu kejadian itu timbul kerana memang ulah orang lain, dan kau mendapat kesannya sehingga mengganggu ketenteraman jiwa kau. Mungkin juga kejadian yang berlaku, ada hubungkaitnya dengan diri.

Apapun hakikatnya, tanggungjawab kau sekarang yang paling utama adalah bagaimana kau sendiri mengendalikan jiwamu dan amarahmu. Kerana tiada orang lain yang akan dapat mengubati perasaan itu yang tidak kelihatan dimata. Kau boleh khabarkan kepada satu dunia apa yang membuatmu marah dan membuatmu menangis. Tapi persoalannya, akan legakah jiwamu yang marah itu?

Jika kau marahkan diri sendiri, apakah kau merasa lega?
Jika kau marahkan situasi, apakah situasi akan terus berubah?
Jika kau marahkan seseorang, adakah selepas itu semua akan selesai?

Memang tidak akan mudah. Kau pun tahu akan hal itu. Tambahan, bukan pertama kali rasa amarah yang sebegini kau alami. Kau seharusnya sudah mahir dalam ketidakpedulian terhadap semua faktornya, dan lebih fokus kepada diri kau sendiri. Perbaiki diri kau.

Semoga Allah tidak membiarkan kau kepada diri kau sendiri.

5 April 2021.
23.57.

Kadang-kadang

Kadang-kadang ada orang bergula di depan mata,
belakang kita habis ditabur garam dengan kata.

Mungkin juga kadang-kadang kita yang terlupa;
ada hal gugurnya kasih sesama saudara,
kerana fitnah yang bermuka-muka.

Ini dunia —
kalau mungkin kita tidak dapat terima,
cukuplah kita tahu dan percaya.

Ditulis pada 17 Mac 2013.

Ke. Ce. Wa

Lama aku termenung di hadapan skrip laptop ini.

Terlalu banyak yang ingin aku tuliskan. Terlalu banyak juga draf-draf yang telah tersimpan. Tapi semuanya hanya menjadi hiruk-pikuk suara di dalam minda. Bukan baru sekarang terjadi keadaan seperti ini. Berkali-kali aku mengingatkan diri, jangan menyalahkan segala komitmen yang ada. Kerana aku bukan seorang menteri, apatah lagi perdana menteri yang sibuknya bukan kepalang. Alasan-alasan sepele itu, sangat memalukan walau hanya aku berikan untuk diri sendiri.

Tercalar maruah dan kepercayaan diri rasanya.

Ramadan #2: Pada Hal-Hal Yang Bukan Milik Kita

Siapakah yang boleh menipu dengan mengatakan dirinya tidak pernah memandang apa yang orang lain ada, lalu memandang diri sendiri dengan segenap kepunyaan yang dimiliki? Kita semua mesti pernah, bukan? Sering juga kita berkata, oh seronoklah ada benda itu, bestnya ini. Untunglah si fulan sekian dan sekian.

Pendek kata, apa yang kita tidak miliki, tidak jarang tidak indah dimata kita. Ada waktu, hati kecil terusik untuk memiliki apa yang orang lain miliki. Dengan menyangka, bahawa sekiranya kita memiliki itu dan ini, pasti kita sangat gembira dan menjadi bersyukur. Dan tidak sedikit pula yang berlaku, Allah Taala memakbulkan keinginan kita itu tanpa sedar, antara cepat atau sedikit lambat. Waktu itu, mungkin rasa syukur akan memenuhi segenap jiwa kita. Akhirnya, hal-hal yang hanya kita dapat lihat suatu masa dahulu, kini menjadi hal yang menjadi milik kita dan kita merasa pengalamannya.

Persoalannya, sejauh mana rasa syukur kita tadi itu dapat kita pertahankan atau perpanjangkan?
Apakah jaminan kita terhadap diri sendiir bahawa rasa syukur itu akan selalu mekar dalam jiwa?

‘Oh Ya Allah, aku selalu bersyukur atas pemberian-Mu.’

Tapi dalam masa yang sama, kita selalu mendamba sesuatu yang bukan milik kita. Hati kecil kita selalu terusik dengan apa yang kita tidak miliki. Kita manusia, kan? Kita mesti punya perasaan begitu. Tapi, apakah kayu ukur kita untuk menjadi seorang manusia yang bersyukur? Adakah kita hanya akan bersyukur apabila apa yang kita damba-dambakan itu ada di genggaman kita? Atau adakah kita pasti bahawa semua apa yang kita inginkan, dari sekecil-kecil perkara sehingga ke sebesar-besar perkara apabila Allah Taala tunaikan nanti, kita akan sentiasa menjadi seseorang yang selalu bersyukur dan memberi dalam hidup? Bukankah keinginan seorang manusia itu akan selalu tidak puas?

Jadi apa jaminan kita terhadap diri kita sendiri untuk sebuah rasa syukur itu?