Malam.

Malam.

Mata yang dipejam memujuk lena
Bertakung air menukar pelbagai rasa
Tiada aksara yang mampu kau tutur
Sebongkah rasa yang penuh catur

Malam itu pertama kali seumur hidup
Kau mengerti kesakitan yang paling dalam
Luka tidak terlihat di jasad
Namun sakitnya tidak terperi rasa

Malam.

Yang menemukan kita dengan perasaan
Menutur kata dengan Tuhan
Atau menghitung segala kesakitan
Yang adakalanya mengharap ditamatkan

Suhana Amiril
03112021

Ramadan #11: Lupakan Apa Yang Telah Kita Berikan

Antara Koleksi Buku Seorang Sahabat

Terima kasih kepada sahabat yang sentiasa baik dan rendah hati, atas jemputan berbuka puasa di rumah beliau hari ini. Saya mendapat pelajaran berharga daripada ibu beliau. Sembang-sembang yang bersahaja oleh orang tua memang lain macam. Walaupun kelihatan santai, namun penuh dengan isi. Saya kira Allah Ta’ala ingin memberi pelajaran kepada diri saya.

Hidup kita ini, terlalu banyak perkara-perkara kecil yang pada pandangan dan anggapan kita cumalah hal-hal yang biasa dan tidak perlu diambil berat. Walhal hal-hal tersebut mempunyai impak yang berat dalam kehidupan kita sebagai seorang manusia dan hamba Tuhan. Seperti halnya mengenali orang-orang yang baik, sebenarnya merupakan satu bentuk kasih-sayang daripada Allah Ta’ala. Juga seperti keadaan hal dimana kehadiran setiap orang dalam kehidupan kita, juga merupakan rahmat.

Cuma bagaimana kita membawa diri dalam berdepan dengan hal-hal seharian dalam hidup ini. Adakah cara kita itu menjemput rahmat dari Tuan Punya Dunia? Ataukah peribadi kita dalam menjalani kehidupan ini hanya akan menambahkan bebanan akhlak atau peribadi yang kurang elok dalam diri?

Kadang-kadang kita jadi insaf mengingati hakikat bahawa umur kita di dunia ini panjang manalah sangat. Diantara umur selama mana kita hidup di dunia dan amalan perbuatan kita yang baik mahupun yang jahat, manalah yang paling berat diantara keduanya. Pasti sangatlah kita tidak mahu menjadi manusia yang sudah mati nanti, merayu-rayu untuk dikembalikan ke dunia walau sesaat untuk melakukan amalan ibadah dan perbuatan yang diredai oleh Dia.

Continue reading “Ramadan #11: Lupakan Apa Yang Telah Kita Berikan”

Ramadan #1: Hipokritkah Kita?

1 Ramadan 1442H.
13 April 2021, Selasa.

Hari dan bulan yang sangat dinantikan. Setelah bulan puasa tahun lalu datang menyapa dimusim pandemik, akhirnya bertemu lagi pada tahun ini. Selama beberapa bulan semenjak bulan ramadan tahun lalu, entah berapa banyak amalan dan ibadah baik kita terkumpul. Entahkan juga berapa banyak pula keburukan dan dosa-dosa kecil serta besar kita yang menjadi amalan.

Apalah yang kita harapkan pada dunia? Pada semua nafsu dan keinginan serta perkara-perkara yang memenatkan kita. Bukankah ramadan ini seharusnya menghidupkan jiwa dalam kalangan kita yang sebahagiannya sudah terlu kering? Yang sebahagiannya pula hampir-hampir mati pada sebuah hakikat jiwa kita sudah terlalu lama berkelana dan bermain-main di taman permainan dunia ini?

Bukankah kita laksana kanak-kanak yang ada waktunya untuk kita pulang ke rumah? Pulang ke rumah membersihkan diri, makan dan tidur untuk merehatkan jasad dan minda. Demikian, ada waktunya dan apabila tiba masanya, kita itu jiwanya perlu kembali dan pulang ke ‘tempat’nya?

Continue reading “Ramadan #1: Hipokritkah Kita?”

Untuk Jiwaku Yang Sedang Marah

Kau sudah tahu benar apa erti perasaan marah. Entah marah pada diri sendiri, marah pada keadaan, atau marah kepada seseorang. Marah yang kau tahu benar, adalah marah yang diiringi dengan perasaan kesedihan, yang mahu kau hamburkan semahunya. Yang selalunya akan berakhir dengan tangisanmu dikala sendiri. Sehingga kau berdamai dengan ‘menangislah jika itu melegakan jiwa kau’.

Hidup memang tidak mudah, bukan?

Dan akhirnya, selepas tangisan itu reda dengan jiwa yang suram kau mencapai pen dan kertas. Seterusnya menulis di alam maya seperti ini. Adakah tujuanmu untuk memberitahukan kepada khalayak? Tidak. Ini terapi bagi diri kau. Setiap orang melalui liku kehidupan yang berbeza.

Setiap hari. Setiap masa.

Apa pelajaran yang boleh kau ambil dari perasaan marah yang mencengkam jiwa kau sehingga akhirnya cair menjadi tangisan? Adakah semua itu tidak diketahui oleh Allah? Adakah semua yang sedang berlaku dalam hidup kau, perasaan kau, niat dan usaha kau tidak mendapat perhatian dari Allah Ta’ala?

Tidak, wahai diri. Allah tahu terperinci setiap kejadian dalam hidupmu.

Koreksi Diri Sendiri

Kau tahu, kau boleh saja salahkan orang lain kerana perasaan yang kau rasa sekarang. Mungkin suatu kejadian itu timbul kerana memang ulah orang lain, dan kau mendapat kesannya sehingga mengganggu ketenteraman jiwa kau. Mungkin juga kejadian yang berlaku, ada hubungkaitnya dengan diri.

Apapun hakikatnya, tanggungjawab kau sekarang yang paling utama adalah bagaimana kau sendiri mengendalikan jiwamu dan amarahmu. Kerana tiada orang lain yang akan dapat mengubati perasaan itu yang tidak kelihatan dimata. Kau boleh khabarkan kepada satu dunia apa yang membuatmu marah dan membuatmu menangis. Tapi persoalannya, akan legakah jiwamu yang marah itu?

Jika kau marahkan diri sendiri, apakah kau merasa lega?
Jika kau marahkan situasi, apakah situasi akan terus berubah?
Jika kau marahkan seseorang, adakah selepas itu semua akan selesai?

Memang tidak akan mudah. Kau pun tahu akan hal itu. Tambahan, bukan pertama kali rasa amarah yang sebegini kau alami. Kau seharusnya sudah mahir dalam ketidakpedulian terhadap semua faktornya, dan lebih fokus kepada diri kau sendiri. Perbaiki diri kau.

Semoga Allah tidak membiarkan kau kepada diri kau sendiri.

5 April 2021.
23.57.