Pemuda Pemberani oleh Lahir Batin

Pejam celik entah ke berapa juta kali, sudah 35 hari di tahun 2017. Pastinya memang ramai yang rasa macam, eh sekejapnya sudah masuk bulan Februari. Memang, memang itu adalah perasaan tipikal yang sering berlaku pada manusia.

Memandangkan blog ini pun sudah lebih kurang sebulan sunyi dari sebarang kemaskini, jadi saya mahu berkongsi sedikit cerita. Semalam, kotak mesej saya didatangi mesej dari seorang sosok yang saya hormati. Mengkhabarkan bahawa beliau sedang membaca salah satu bab dalam buku pertama saya, Allah Tidak Pernah Jauh. Saya berterima kasih, dan jauh disudut hati semoga ada kebaikan dalam tulisan-tulisan tersebut. Ah, dipendekkan cerita. Beliau meminta sebuah tajuk dari saya. Dan katanya, mahu menulis artikel pendek. Maka setelah berfikir beberapa saat, saya katakan tajuk yang singgah ke minda saya ialah,

“Pemuda Pemberani”.

Sambil-sambil itu, saya itu cuba koreksi diri sendiri. Pemberanikah saya? Perjuangan apa yang telah saya lakukan yang disertai dengan keberanian? Waduh!

Pemuda Pemberani

Dalam kegelapan, bunyi dari jauh kedengaran. Harum dari tepian seolah-olah ada bunga cempaka yang mendamaikan. Engkau kelam-kabut lari menuju ke arah yang tak tentu di mana engkau dapati pintu untuk keluar. Suaramu tersekat dihalkum, dadamu berdebar, keringatmu mengalir dan hatimu sedang berbisik kepada dirimu sendiri. Sebenarnya, engkau bukanlah bermimpi. Engkau adalah sang pemuda yang sedang mengembara di dunia dalam zaman kegelapan ini. Era ini adalah era yang penuh dengan fitnah globalisasi dan informasi yang melampau.

Di dunia realiti, engkau adalah sang pemuda dan pendekar yang sedang mendaki gunung teknologi canggih. Dadamu penuh dengan inspirasi untuk berlayar di lautan kezaliman moden ini. Jasadmu dihiasi oleh seni dan budaya asli serta rohanimu dihiasi oleh iman, sabar dan yakin.

Tanganmu tak pernah berdoa, kerana hatimu tidak pernah berhenti untuk membisik keinginanmu kepadaNya. Engkau bukanlah pemuda dua puluh empat jam datang ke masjid, kerana hatimu sendiri adalah masjid dan rumahNya. Engkau tak pernah mendaki gunung untuk bertafakur, kerana hatimu adalah gua yang sedang bertafakur di tempat keramaian orang. Engkau bukanlah selalu membaca al-Quran, kerana qauli dan fi’limu tak pernah keluar dari ajaran Al-Quran.

Engkau adalah, seorang anak muda yang terpilih untuk bersama-sama rakanmu dalam generasi ini untuk membangun agamamu, mengharumi nama negaramu dan memenuhi mimpi-mimpi bangsamu.

Ya! Mereka pernah dan selalu berkata bawaha engkau yakin boleh! Kebolehanmu luar biasa. Ilmu dunia dan akhirat ada pada tanganmu. Budaya dan teknologi ada disisimu. Tuhan ada dihatimu. Dia tak pernah tidur untuk menjagamu. Dia tak pernah lalai memberimu kekuatan dan hidayah. Dia tak pernah lupa untukmu.

Hanya Dialah yg memberimu keberanian untuk melintasi gua yg gelap. Dia jugalah yg menetapkan keyakinan dan menabahkan hatimu, Dia jugalah yang telah membuka pintumu untuk keluar dan mendapat kemuliaan cahaya. Dialah satu-satunya yang telah menetapkan nur dalam hatimu.

Lahir Batin
03022017
ZC

One thought on “Pemuda Pemberani oleh Lahir Batin

Leave a Reply to Nabilah Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *