Terima kasih kepada sahabat yang sentiasa baik dan rendah hati, atas jemputan berbuka puasa di rumah beliau hari ini. Saya mendapat pelajaran berharga daripada ibu beliau. Sembang-sembang yang bersahaja oleh orang tua memang lain macam. Walaupun kelihatan santai, namun penuh dengan isi. Saya kira Allah Ta’ala ingin memberi pelajaran kepada diri saya.
Hidup kita ini, terlalu banyak perkara-perkara kecil yang pada pandangan dan anggapan kita cumalah hal-hal yang biasa dan tidak perlu diambil berat. Walhal hal-hal tersebut mempunyai impak yang berat dalam kehidupan kita sebagai seorang manusia dan hamba Tuhan. Seperti halnya mengenali orang-orang yang baik, sebenarnya merupakan satu bentuk kasih-sayang daripada Allah Ta’ala. Juga seperti keadaan hal dimana kehadiran setiap orang dalam kehidupan kita, juga merupakan rahmat.
Cuma bagaimana kita membawa diri dalam berdepan dengan hal-hal seharian dalam hidup ini. Adakah cara kita itu menjemput rahmat dari Tuan Punya Dunia? Ataukah peribadi kita dalam menjalani kehidupan ini hanya akan menambahkan bebanan akhlak atau peribadi yang kurang elok dalam diri?
Kadang-kadang kita jadi insaf mengingati hakikat bahawa umur kita di dunia ini panjang manalah sangat. Diantara umur selama mana kita hidup di dunia dan amalan perbuatan kita yang baik mahupun yang jahat, manalah yang paling berat diantara keduanya. Pasti sangatlah kita tidak mahu menjadi manusia yang sudah mati nanti, merayu-rayu untuk dikembalikan ke dunia walau sesaat untuk melakukan amalan ibadah dan perbuatan yang diredai oleh Dia.
Tuhan Pasti Akan Tambah Lebih
Kami bersembang di beranda rumah sahabat tadi usai solat maghrib. Sambil menikmati angin sepoi-sepoi, pelbagai topik dikongsikan. Sehinggalah ibu sahabat saya ini, berkongsi sesuatu. Kata beliau,
“Dalam hidup ini apabila memberi kepada orang yang lebih berkeperluan, jangan memikirkan kita punya bakal berkurangan atau menjadi tiada. Lepas sudah bagi, lupakan. Jangan diingat-ingat, jangan diungkit-ungkit. Sebab nanti Tuhan akan ganti balik, diganti-Nya dengan lebih lagi.”
Beliau tambah lagi, “Orang sekarang ni lain, kurang sudah fikir hal-hal begitu.”
Seperti ditegur oleh Allah Ta’alah rasanya. Hal-hal seperti ini; hal selalu memberi dalam hidup. Sama ada pemberian besarkah atau kecil, tidak mengira kepada sesiapapun, adalah satu hal yang kurang mendapat perhatian kita, kan? Mungkin bukan kita. Tapi saya sendiri, memang sangat terlepas pandang hal-hal begini. Bukan mudah untuk mendidik peribadi menjadi seseorang yang selalu menghulur lalu melupakan tanpa mengharap balasan pun. Kan?
Paling kurang, kita mahu orang ucapkan terima kasih dan menghargai diri kita.
Lemahnya kita. Lemah dalam menyembunyikan tangan sebelah tanpa tidak memberitahu kepada tangan yang sebelah lagi. Kerana itu, ‘kudos’ kepada anda yang boleh melupakan apa yang telah anda berikan seikhlas hati, dan tanpa mengharapkan apa-apa selain daripada berharap bahawa Allah Ta’ala meredai dan berlembut dengan kita dalam kehidupan di dunia ini dan juga dia akhirat nanti.
Sungguh, pertemuan yang singkat malam ini sangat bermakna dan akan saya ingati sampai bila-bila. Antara pelajaran kehidupan kepada saya. Terima kasih, wahai Tuhan. Menghadirkan kepada diri ini manusia-manusia kiriman-Mu dan juga teguran daripada-Mu.
Semoga Allah merahmati.
Suhana Amiril.
Sandakan.