Risaulah Dengan Diri Sendiri

Terlalu banyak sekali hal-hal yang merisaukan diri kita. Setiap hal yang berlaku di sekeliling kita. Hal yang berlaku kepada diri kita sendiri. Hal-hal orang lain yang kadang kala tiada kena-mengena dengan kita pun, kita turut risaukan.

Saya kira, manusia paling banyak risaunya mengenai bagaimana tanggapan atau fikiran serta layanan orang lain kepada dirinya. Risau jika orang tersalah sangka terhadap dirinya. Risau dan marah jika dapat tahu bahawa ada orang bercakap buruk di belakang atau mengumpat mengenai dirinya. Sakit hati apabila dianiaya. Tercalar jiwa apabila orang lain kita berbuat baik padanya, tetapi rupanya orang lain tersebut mengkhianati kebaikan yang kita berikan kepadanya.

Sakit jiwa. Sakit jasad.

Mungkin kita perlu mengingatkan diri sendiri dan perlu sedar, bahawa kelakuan manusia bukan dalam kawalan kita. Tiada kuasa kita untuk mengawal tindak tanduk manusia serta bagaimana peribadi kita dalam pemikiran dan tanggapan mereka. Bukan juga hak kita untuk menutup mulut manusia dengan tangan kita supaya tidak bercakap buruk terhadap manusia lain.

Reaksi Kita Peribadi Kita

Tiada seorang manusia pun yang dengan lapang dada gembira menerima khabar bahawa diri kita menjadi bahan kutukan atau umpatan orang lain. Apatah lagi apabila apa yang diperkatakan itu adalah fitnah semata. Tidak pula kita suka jika ada kekurangan kita dicanang-canang dan dijadikan bahan untuk bergosip dalam kalangan ‘bawangers’. Positif bagaimana pun diri kita, pasti hati akan tercuit sedikit oleh kekecewaan. Itu biasalah, kita ini manusia.

Perlu untuk kita tahu ya, dunia sekarang ini kita tidak membuat salah kepada orang lain pun, kita boleh jadi orang yang jahat dalam cerita kehidupan seseorang. Janganlah ditanyakan kenapa ada sebahagian manusia boleh hidup dengan cara menghitung-hitung keburukan orang. Doakan saja yang baik-baik.

Jika mendengar segala hal-hal buruk yang diperkatakan oleh orang mengenai diri kita, apa respon kita? Adakah kita akan mencontohi perbuatan orang tersebut? Sebagai contoh, kita akan umpat dia semula dan mengutuk dengan kutukan yang lebih pedas? Atau kita canang pula kepada satu dunia akan keburukan individu tersebut yang telah mengumpat, mengutuk dan memburuk-burukkan kita.

Percayalah, bagaimana respon kita pada hal-hal tersebut, maka itulah peribadi kita sebenarnya. Boleh jadi kita tetap bijaksana dengan cara sendiri mendengar hal tersebut. Atau boleh jadi kita juga menjadi seperti orang tersebut. Akhirnya, apakah perbezaan diri kita dan diri orang itu?

Kalau saya ditanya, perlukah kita mempertahankan diri? Maka jawaban saya, YA PERLU! Tapi biar dengan bijaksana. Bijaksanalah untuk membaca keadaan. Ada yang perlu kita pertahankan diri dengan bersuara dan menjelaskan perkara sebenar. Ada perkara, yang kita tidak perlu beri respon pun. Kerana si pelaku tersebut sendirilah yang menyebarkan keburukan, dan menjelaskan keburukan dirinya kepada orang lain. Dengan sendirinya perbuatannya akan menjelaskan siapa sebenarnya yang benar, dan siapa sebenarnya yang salah dan berniat jahat.

Faham tidak?

Risaulah Terhadap Diri Sendiri

Kita ini ada waktu mahu mempertahankan diri dari cakap-cakap orang, fitnah orang serta kutukan orang, akhirnya tanpa sedar kita berperibadi seperti peribadi orang tersebut. Kerana risau memikirkan perkara-perkara tersebut, akhirnya kita join sekaki mencontohi perbuatan buruk tersebut.

Benarlah, yang paling tajam itu adalah lidah manusia. Sama ada kita menikam orang dengan keburukan, atau kita menikam orang dengan ucapan kasih-sayang. Kerana lidahlah boleh putus persaudaraan, kerana lidahlah yang sahabat menjadi seteru, kerana lidahlah yang jernih juga menjadi keruh.

Tidak boleh tidak, kita perlu terima hal-hal yang demikian adalah salah satu hakikat hidup di atas muka bumi ini. Ada yang baik, ada yang buruk. Namun kita ada pilihan, untuk menjadi manusia yang baik atau sebaliknya.

Sebenarnya, tidak perlu kita risau bagaimana tanggapan orang lain terhadap diri kita. Tidak perlu kita risau sekiranya kita tahu bahawa ada manusia yang selalu bercakap buruk mengenai kita dan mencanang pula segala kekurangan kita kepada seluruh manusia. Tahu kenapa? Kerana kebenaran tidak akan dapat disembunyikan. Seseorang yang bercakap buruk tentang manusia lain, hanyalah menggambarkan bagaimana kasihan sungguh peribadi dan dirinya, sehingga perlu menyenangkan hati sendiri dengan berkata yang buruk-buruk mengenai orang.

Ketahuilah kawan, tidak perlu kau risaukan hal itu. Namun yang perlu kau risaukan adalah bagaiman peribadimu sendiri. Kau sentiasa ada pilihan. Risaulah kepada diri sendiri jika menjadi orang yang sedemikian.

Kau Tahu Diri Kau Yang Sebenarnya

Apa sahaja cakap-cakap orang mengenai dirimu, kau tahu sebenarnya yang mana betul atau tidak. Kau tahu keburukan dirimu sendiri. Kau tahu kekurangan dirimu. Kau tahu benar bagaimana peribadimu. Apakah benar atau tidak.

Kerana itu akhirnya, apapun cakap-cakap belakang orang lain terhadap diri kita, sama ada betul atau tidak, ambillah sebagai asbab Tuan Punya Dunia sedang memberi peringatan kepada kita. Perbaiki diri, peribadi serta jiwa.

Merendahlah walau di mana dan ke mana pun!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *