Selamat Jalan 2016!

2 Januari 2017.

Masih lagi hidup, dipinjamkan nikmat nyawa oleh Allah. Mungkin kerana masih banyak dosa dan urusan yang belum selesai? Boleh jadi juga kerana Allah itu sangat kasih pada seorang kita, lalu memberi peluang untuk hidup dan menyedari hakikat bahawa seorang kita bakal mati. Maka cepat-cepatlah sedar untuk mendekatkan diri kepada Allah, membuat yang terbaik dalam hidup.

Tahun 2016 Masehi sudah berlalu. Sekarang kita semua berada dihari kedua dalam tahun 2017. Terkenang-kenanglah kita kejadian pada tahun sebelum ini. Terbayang-bayang kita akan hampir semua perkara yang kita telah lalui. Yang manis, yang pahit, yang gembira dan yang sedih, yang ketawa juga yang menangis. Setelah semua itu, ternyata kita masih hidup lagi pada hari ini. Oh, kita akan kata pada diri sendiri lagi seperti ini; ternyata segala kesulitan yang terasa seakan menghempap aku itu tidak mematikan aku. Bahkan, menguatkan aku pada sudut kecekalan hati dan minda. Oh, kita berkata lagi kepada diri kita sendiri; bukan dugaan atau masalah itu yang kuat sebenarnya, ternyata aku yang terlalu lemah.

Begitulah kita manusia. Walau sedar bahawa ujian yang dihadapi itu pada akhirnya akan menguatkan kita, selalu sahaja kita rasa tertampar jika menerima cuitan dari Allah. Macamlah sebelum itu, Allah tak pernah beri kita bahagia.

Terima kasih Allah, untuk tahun 2016. Terima kasih kepada setiap individu yang ada dalam kehidupan aku disaat sedang dilambung oleh sunnatullah kehidupan saat berada di atas mahupun berada di bawah. Tahun 2016 banyak mengajarkan aku erti sabar dan erti mengkoreksi diri. Atas setiap kesempatan dan peluang yang aku ambil dan yang aku terpaksa lepaskan buat seketika, terima kasih Allah.

Yang berlalu tetap akan berlalu. Namun ingatan dan juga pengajaran disetiap yang berlaku, akan sentiasa dalam memori ingatan. Semoga mengambil ibrah.

2016

1. Aku Chenta Allah terbit.
2. 100 buah buku untuk dibaca tidak tercapai.

2017

1. Membanyakkan membaca.
2. Menulis buku baru Allah izin.
3. Sambung belajar sampai akhir hayat.

Dan banyak lagi senarai yang diri aku sendiri mesti capai, tapi biarlah senarai itu menjadi antara rahsia dalam kehidupan. Semoga Allah masih sudi memandangku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *