Surat Terakhir: Nyawa Di Hujung Tanduk

Saya, Suhana Amiril.

Setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk menitipkan pesan lewat blog saya ini. Kepada kawan-kawan yang mengenali diri saya, untuk makluman tempat saya sekarang sudah sangat teruk. Bangunan di sana sini sudah banyak yang musnah. Korban mangsa keganasan ini dari dalam kalangan kawan-kawan dan saudara saya sendiri sudah banyak meninggalkan kami di sini.

Bunyi bom sudah menjadi siulan di telinga yang diiringi doa dan teka teki di manakah bom tersebut bakal mendarat dan memusnahkan bangunan dan membunuh manusia. Peluru yang tiada mata dan ihsan ibarat angin yang menerpa laju meragut nyawa-nyawa yang tidak bersalah. Kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua menjadi dalam ketakutan. Tiada lagi senyum bahagia.

Malam-malam kami kini tiada lagi mimpi indah. Yang ada hanyalah ketakutan yang terbawa-bawa ke dalam mimpi dan bangun dari tidur dengan deraian airmata. Berteka teki lagi sendiri, apakah hidup pada hari itu akan sampai ke malam atau akan mati pada waktu tengahari, mungkin juga petang. Tiada lagi gurauan dan senda tawa. Bapa-bapa risau akan keluarganya. Ibu-ibu juga begitu. Manakala anak-anak takut untuk kehilangan kedua ibu bapa dan saudara-saudaranya.

Askar-askar dari rejim terlaknat semakin mengganas dari hari ke sehari. Mereka tidak mengira adakah mangsa dari senjata mereka itu nanti adalah mereka yang tidak berdaya. Kepuasan askar-askar tersebut adalah dapat menakluk tempat ini dan menghapuskan kami semua. Bunyi-bunyian keganasan sudah menjadi satu halwa di telinga kami. Kini, kami semua hilang pekerjaan. Kerana dalam keadaan begini, tiada lagi wujudnya jadual kerja. Jalan-jalan yang pernah saya lalui untuk pergi kerja beberapa waktu yang lalu, sebahagiannya sudah basah dengan darah manusia. Tidak dilupakan, mata saya menangkap jasad seorang lelaki tua yang terbaring kakuh bertilamkan darahnya sendiri. Katakan kepada saya, bagaimana harus reaksi saya ketika itu? Yang terbaring kakuh itu adalah ayah kepada seseorang, datuk kepada seseorang, suami kepada seseorang, saudara kepada seseorang. Bagaimana perasaan seluruh manusia yang mengasihinya apabila mendapat tahu bahawa dia telah meninggal dengan cara begitu?

Di mana sifat ketakwaan dan tawakkal kami?

Kami lebih dahulu tahu ertinya tawakkal kepada Allah disaat kami mengharapkan bantuan seluruh kaum Muslim di seluruh dunia, namun hanya sikit yang memberikan prihatin tanpa dapat menghentikan keganasan-keganasan yang dialami oleh kami sejak sekian lama. Kadang-kadang saya bertanya sendiri sambil membayangkan wajah-wajah kalian saudaraku dalam Islam dari seluruh dunia yang datang berpimpin tangan membantu kami di sini, di bumi syams. Dan mengalahkan semua musuh-musuh Allah. Tetapi saya harus berpijak di bumi yang nyata. Bayangan saya itu hanya tinggal bayangan, yang mungkin tidak akan pernah berlaku. Mana mungkin kehidupan kalian yang indah dan aman mahu dirosakkan semata-mata mahu membantu kami di sini. Salah saya kerana membayangkan.

Boleh jadi ini adalah coretan terakhir saya di sini. Kepada saudara seagamaku yang prihatin, semoga Allah memelihara kamu dan mengasihi kamu. Saya berharap dan berdoa, apa yang kami alami sekarang ini tidak akan kamu alami. Doakan kami sentiasa di sini. Ini adalah tempat tinggal kami, dan kami akan kekal berlindung di sini. Itu pilihan yang kami ada, walaupun kami menyelamatkan diri ke timur atau barat, kami akan ditembak mati dan tidak dibiarkan hidup kerana itu adalah misi utama askar-askar terlaknat. Kami memilih untuk hidup mulia. Dan kalau kami mati, kami memilih syahid sebagai pengakhiran hidup kami.

Sampai bertemu lagi, saudaraku. Kalau tidak di dunia,
doakan kita bertemu di akhirat sana!

Dan nukilan di atas, boleh jadi menjadi pesanan terakhir dari saya jika di tempat saya berlaku seperti di Syria, Rohingya dan seluruh tempat di dunia yang tidak mendapat pengadilan dan hak-hak sebagai seorang manusia.

Apakah kita tidak akan mengerti penderitaan orang lain hanya kerana kita tidak berada di tempat mereka? Ataukah diri kita sebenarnya dihuni dengan sifat mementingkan diri sehingga butir-butir doa untuk kesejahteraan orang-orang yang teraniaya di seluruh dunia jarang untuk kita lantunkan?

Tanya pada diri sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *