Tentang Sebuah Perjalanan

Ringkasnya, ada dua perkara utama yang mahu saya tuliskan. Dua perkara yang karangannya boleh jadi panjang atau pendek. Ya, terpulang pada kerajinan.

Setiap dari kita ada kehidupan sendiri dan pastinya ada jalan cerita dalam hidup sendiri yang berbeza dari jalan cerita hidup orang lain. Malah hubungan adik beradik seibu sebapa itu tidak menjamin jalan hidup setiap darinya adalah sama. Kerana pengalaman, perasaan dan impian dalam diri seseorang itu juga berbeza. Hatta saudara kembar yang duduk bersama dalam kandungan ibu dan paling dekat itu pun, mempunyai cerita hidup tersendiri. Dan semestinya, tidak sama.

Kita tinggal dengan jutaan ramai manusia di bumi. Semuanya masing-masing ada kehidupan, ada cabaran dan dugaan, ada kisah kehidupan yang tersimpan kemas dan ada juga yang dipamerkan. Tanpa menafikan, ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang kehidupannya kita lihat diuji. Dan ada kehidupannya yang kita lihat selalu bahagia. Ada yang Tuhan jadikan sekilas pandang, mata manusia lain akan terpaut. Ada yang Tuhan jadikan, biasa-biasa sahaja sehingga manusia lain tidak merasa hairan. Ini hakikat kehidupan kita di bumi.

Dan sering kali, termasuk saya sendiri. Kita itu selalu mahu melihat kepada yang indah dan bahagia. Kita selalu tertegun kepada faktor-faktor tersebut. Dan membuatkan diri kita rasa kekurangan kerana kita berbeza dengan yang lain. Tapi kita selalu terlupa melihat kepada yang kekurangan dalam hidup. Dan yang lucunya, kerap sekali hal itu tidak membuatkan kita rasa bersyukur.

PERTAMA – Kita selalu terdorong melihat kehidupan orang yang jauh kelihatan lebih bahagia, berada dan sempurna. Apa lagi bila orang itu adalah seseorang yang berjaya dalam hidupnya. Hal itu selalu membuatkan kita merasa bahawa sempurnanya dia. Macam-macam kejayaan yang telah dicapainya dalam hidup. Sehingga kita terdetik dalam hati sendiri, memang Tuhan sudah memilih dia untuk berjaya dan hidup dalam kemewahan. Dan diri kita, adalah manusia yang dipilih melalui segala kesusahan dan kesedihan serta airmata dalam hidup.

Itu adalah antara akibatnya bila kita selalu melihat kehidupan orang lain yang kita rasa jauh lebih baik dari diri kita. Orang kata, kita admired dari kejauhan. Ya kalau untuk mengambil semangat dan kekuatan dari orang lain itu tidak mengapa. Tetapi yang terjadi adalah hal yang sebaliknya. Kita malah membandingkan-bandingkan kehidupan kita dengan orang lain yang pada kita kelihatan sempurna. Dan akhirnya kita membuatkan diri kita sendiri merasa tidak berguna dan merasakan bahawa kita ini seorang yang malang dalam kehidupan. Kau tahu, perbuatan itu akan menyeksa emosi dan perasaan sendiri. Dan itu hanya akan membunuh keinginan kau untuk hidup kerana kau akan selalu merasakan bahawa hidup kau takkan pernah bahagia dan sempurna. Kesedihan akan menyelubungi dirimu.

TAPI KAU TERLUPA bahawa orang-orang yang kelihatan hidupnya sempurna itu ada perjuangannya tersendiri. Sudah banyak jalan berduri yang dilaluinya. Banyak kali kekusutan menghuni mindanya. Ada kesedihan paling dalam yang pernah dirasainya. Pintu putus asa juga melambai-lambai kepadanya.

Sebaliknya dia terus berusaha. Boleh jadi, pernah sahaja dia mengalami saat-saat seperti ini; Walaupun pernah seinci sahaja lagi untuk dia mengambil keputusan agar putus asa dalam hidup. Tinggal sedetik waktu untuk dia mahu berhenti. Tetapi yang sebaliknya dilakukan oleh dirinya. Dia terus berusaha dan berdiri. Sehingga dia tiba kepada kejayaan dan pencapaian dia pada hari ini.

Dan kejayaan dan banyak pencapaiannya pada hari ini itulah yang manusia selalu nampak. Tetapi sikit sekali manusia yang mahu tahu dan nampak bagaimana pengorbanan yang telah dia lakukan untuk sampai ke satu-satu tahap dalam kehidupannya. Macam mana dia pernah melalui detik-detik bagaikan kain buruk yang rabak yang tidak berguna. Atau macam mana dia melalui detik terburuk dan paling longlai dalam hidupnya. Khalayak ramai tidak mengetahui semua itu.

Make sense?

KEDUA – Kita sebetulnya, mahu mengaku jujur atau tidak. Kita kurang melihat kepada mereka yang kurang berkemampuan dari segi apapun dalam kehidupan. Atau boleh jadi juga, kita tahu dan sedar hakikat akan golongan ini namun kita tidak merasa apa-apa. Jika kita merasa bahawa kehidupan kita ini serba kekurangan dan penuh dengan masalah, maka pasti ada manusia lain yang kekurangan dan masalahnya jauh lebih besar. Kita tahu itu. Itu hakikat kehidupan.

Tapi lucu ya. Mengetahui hal itu, selalu tidak membuat kita bersyukur dengan kehidupan kita sendiri. Ya mungkin kerana kita terlalu asyik melihat kehidupan orang-orang berada, yang berjaya, yang tampan dan cantik. Yang selalu kelihatan tertawa dan bahagia disamping ramai manusia. Pendek kata, yang sempurna!

Kita terlupa, bahawa tiada yang sempurna. Kalau ada yang sempurna menurut kita, maka itu adalah sempurna pada mata kita kerana keinginan kita untuk mahu sesempurna itu. Mahu sebahagia seperti yang kita angan-angankan.

Ada DUA JANGAN yang mahu saya tuliskan.

JANGAN selalu melihat kepada orang yang berada di puncak dan terus mahu ke puncak seperti orang lain tanpa melihat dan sedar akan realiti sepanjang perjalanan hidupnya yang bermula dari bawah dan melalui jalan-jalan yang penuh kesakitan sebelum sampai ke puncak dan tersenyum. Hanya orang yang telus bermula dari bawah dan sabar dalam perjalanan sebelum sampai ke puncak, akan betul-betul menikmati nikmat kejayaan dan pencapaiannya.

Ramai orang mahu berjaya atau mahu kejayaan, tetapi tidak ramai yang mahu membayar untuk sebuah kejayaan. Tidak ramai yang mahu berkorban dan bersakit-sakitan. Sedangkan, kejayaan itu kita tahu hanya akan berjaya dicapai dengan usaha. Dan dalam usaha itu, pasti ada banyak rasa yang akan kita lalui.

Maka jadilah orang yang mahu berjaya dan membayar kejayaan!

JANGAN lupa kepada orang-orang yang kurang berkemampuan kerana banyak faktor yang terjadi dalam kehidupan mereka. Cuba lihat kehidupan kita sendiri. Adakah kita sebenarnya terlalu malang dalam kehidupan kita? Adakah kita tiada rumah yang baik untuk berteduh, tiada kenderaan atau tidak mampu untuk menaiki kenderaan ke sana sini, tidak mampu untuk membeli makanan langsung? Tidak pernah merasa kegembiraan dengan pencapaian dalam hidup?

Kita itu seharusnya sibuklah membina kehidupan di alam realiti. Bukannya sibuk menyulam mimpi dalam anganan yang tidak akan pasti. Hargai apa yang kita ada pada hari ini, dan teruskanlah untuk memajukan diri sampai kau berpuas hati.

Usahalah sampai kita rasa nikmat dari usaha tersebut!

Leave a Reply

Your email address will not be published.