Bila kita menuju dewasa, tahu banyak perkara dan secara sendirinya keinginan dan ketekunan kita terhadap sesuatu akan terbentuk. Baik dalam hal buruk atau kebaikan. Sama juga dengan halnya ambisi, impian dan perkara yang mahu dilakukan dalam hidup. Kita akan terdorong untuk sesuatu yang kita tahu dan mahu. Dan semua orang ada keinginan yang begitu. Berbeza cita sahaja.
Kawan, cuba kau lihat dunia. Lihat manusia. Lihat begitu banyak pekerjaan yang ada. Banyak, kan? Adakah manusia bekerja dalam satu bidang sahaja? Let say, adakah semua orang itu adalah seorang doktor? Jawapannya, sudah tentulah bukan. Tapi lihat kembali hakikat dunia. Ada banyak pekerjaan yang sedang dilakukan oleh manusia untuk mencari rezeki. Baik pekerjaan yang dipandang tinggi dan hormat, sehinggalah pekerjaan yang dipandang rendah dan hina.
Selalunya hal yang menyakiti saya adalah hal yang kedua di atas. Pekerjaan yang dipandang rendah dan hina oleh mereka yang menganggap diri mereka kaya dan berpendidikan tinggi. Tidak tertampung oleh fikiran dan otak saya bagaimana seseorang yang mendakwa dirinya belajar tinggi-tinggi, bergaji tinggi, tapi end up menjadi seorang yang mempunyai mata dan hati yang busuk. Atau tidak dapat saya terima bagaimana mereka yang kaya itu dulu pernah susah, tapi menjadi lupa pada keadaan yang pernah mereka lalui. Something wrong somewhere.
Pastinya, bukanlah salah universiti atau bukanlah salah wang dan kuasa yang menjadikan seseorang itu bongkak dengan pencapaian diri sendiri.
Tapi kerana penyakit lupa diri.
Ada si tukang kayu, tukang kebun, ada si peguam, ada si tukang sapu, ada kerani, ada yang bekerja sendiri, ada seorang doktor, seorang juruterbang dan jurutera, ada si pekerja di tapak pembinaan yang membanting tulang menggadai nyawa pada ketinggian untuk menyiapkan sebuah bangunan, dan banyak lagi pekerjaan yang ada di dunia ini. Bukankah setiap satu darinya ada peranan penting dalam memastikan kelangsungan manusia dan manfaat pada bumi ini?
Saya mahu mengajak kita berfikir. Cukuplah diri kita tahu bahawa setiap pekerjaan, ada peranan penting tersendiri dalam masyarakat. Kebanyakan dari kita terlupa bahawa setiap pekerjaan yang ada, saling berkait rapat antara satu sama lain dan jika tiada yang lain, maka tidak pula terlaksana pekerjaan yang lain.
Tidak semua mampu menjadi seorang doktor, tidak semua ada cita-cita menjadi seorang peguam, tidak semua ada keinginan untuk menjadi seorang arkitek. Dan tidak semua mampu menjadi pekerja buruh binaan, tidak semua ada skil atau ilmu pengetahuan seperti si tukang kayu, tidak semua orang menjadi seorang penulis, serta tidak semua manusia ada gaya fikir kreatif seperti seorang pelukis.
Kerana setiap manusia itu berbeza. Berbeza pada cita-cita dan kebijaksanaannya. Dan perbezaan itu sepatutnya tidak pernah menjadikan sesama manusia membanding-bandingkan pekerjaan sesama sendiri. Jadi kenapa kalau seseorang itu memilih untuk bekerja dalam bidang yang kurang terkenal atau tidak mendapat hebahan hebat seperti pekerjaan seorang doktor? Adakah dunia akan berakhir?
Selagi pekerjaan itu halal dan mampu berdiri sendiri, maka apa masalahnya?
Jangan kita sesekali menyangka orang yang sedang berada di posisi pekerjaan yang kurang terkenal dan tidak tinggi gajinya, adalah orang yang tidak berpelajaran. Saya sangat menghormati institusi pengajian tinggi, kerana tempat itu melahirkan insan-insan yang berilmu. Tetapi saya tidak menidakkan, jalan-jalan kehidupan seseorang itu yang tidak pernah memasuki mana-mana institusi pengajian secara rasmi, tidaklah bermakna dia tidak berpelajaran.
Bahkan, selalunya pada jalan-jalan kehidupan itu banyak ilmu dan pengalaman yang menjadi pelajaran terbesar yang belum tentu produk universiti faham.
Saya mengenali ramai sosok tubuh keluaran institusi pengajian tinggi, tapi memilih pekerjaan tetap yang tersimpang jauh dari bidang yang dipelajarinya. Saya pernah bertanya, “Tidak merasa rugi?” Dijawab dengan selamba dengan senyuman,
“Ilmu yang dipelajari selama beberapa tahun di universiti itu satu kepuasan kepada diri sendiri. In fact, walaupun tidak bekerja di lapangan bidang yang dipelajari, tapi aku sedang memanfaatkan ilmu-ilmu yang aku belajar dan tahu dalam kerja yang aku sedang buat. Tiada yang jadi sia-sia pun macam orang selalu komen.”
Hidup ini, akan indah sekiranya semua orang tahu menghormati diri sendiri dan semua orang. Sedar hakikat bahawa tiada yang terbaik. Yang terbaik itu adalah pergelutan dan tahap kepuasan pencapaian diri sendiri. Itu sahaja.
Tidak kira apa pekerjaan kau, kita semua saling memerlukan.