Perbualan singkat oleh seorang sahabat petang tadi lewat whatsapp, yang awalnya meluahkan sedikit kesedihannya akibat sistem yang entah apa-apa. Bertukar menjadi sesi dorong-mendorong (I guess?).
Siapa saja yang tidak pernah mengalami kemendungan dalam hari-harinya? Bagaimana mungkin kehidupan tidak mempunyai pasang surutnya dalam soal perasaan? Sedangkan hati itu memang berbolak balik fitrahnya. Kita tidak akan pernah dengan mudah berhenti untuk memikirkan hal-hal sekelilingnya walaupun hanya kita telan luahan itu sendiri. Dan tidak semua kita bisa fahami, kenapa sebenarnya begitu. Dan kenapa sebenarnya perlu begini.
Ketika mana aku menyatakan bahawa cintaku kepada penulisan masih ada dalam diri, namun semangat untuk melakukannya semakin pudar. Jarang aku berkongsi luahan kepada orang lain akan hal-hal sebegini. Entah siapa saja yang tahu, malah aku juga sudah hilang dari penghitungan mengenai menyeru dan mengeluh akan semangat penulisan yang semakin terbang dibawa angin lalu — Tuhan sajalah yang tahu bagaimana gelodak persoalan minda bercampur kekecewaan.
“Jadi macam Zainuddin, gunakan benda yang jadi dalam life su untuk bakar semangat menulis.”
Tulis sahabat tadi lewat aplikasi whatsapp.
Dalam aku fikir. Terima kasih. Aku tersemangati sejujurnya. Dan aku belajar satu perkara — Bila kau mencuba untuk memendam segalanya dan kau hentikan meluah melalui aksara, kau seakan-akan hilang arah. Menelan kesakitan dan sunyi dalam hiruk-pikuk dunia. Semakin menjadi keras hatimu, malah tanganmu untuk menulis dan menaip. Sehingga satu masa, kau merasa selesa untuk mendiamkan rasa dan memendam segalanya. Tanpa kau sedar sebenarnya, kau sedang membunuh perasaan demi perasaan dan diri kau sendiri perlahan-lahan dengan tikaman kesunyian.
Seperti Zainuddin, bukankah kekecewaan telah menelan kehidupannya sehingga hampir menjadi tidak siuman dirinya. Kerana Zainuddin membiarkan dirinya hanyut dalam kesakitan, kesunyian dan kesepian lalu berkeputusan untuk melayarkan dirinya dalam perasaan-perasaan tersebut. Yang akhirnya, Zainuddin mengambil keputusan untuk membangunkan dirinya dan menggunakan luka-luka kehidupannya dihampar dalam bentuk aksara ke dalam penulisan-penulisannya pada zaman itu. Sehingga akhirnya, dia boleh berdiri melihat luka-lukanya bertukar menjadi bunga-bunga yang terbentang dalam perjalanan hidupnya.
Aku tidak pasti, apakah aku akan sekuat Zainuddin.
Tapi malam ini aku memandang diri, betapa aku sudah membiarkan Suhana yang suka menarikan jari-jemarinya dan bahagia dengan cara itu, sudah terperangkap sekian lama dalam perasaan-perasaan kehidupan. Aku membiarkan Suhana itu merana menahan diri dengan mematikan semangatnya dengan bermacam-macam alasan yang dicipta oleh diriku sendiri. Akhirnya Suhana itu derita duduk diam.
Aku berbaki 2 kertas —
moga aku tidak lupa malam ini.
Terima kasih, sahabat (you know who you are).