Aku Ingin Seperti Hidupmu

Pernah kan, selalu saja kehidupan orang lain itu sentiasa yang lebih baik dan terbaik pada fikiran kita. Sehingga ada dalam kalangan kita itu terdetik dalam hati, bagusnya kalau kehidupan aku macam si fulan itu! Kerana pastinya, kita hanya melihat yang indah-indah saja. Atau hakikatnya, kita pernah mahu mengambil jalan singkat untuk menjadi senang dan bahagia dalam kehidupan. Jujurlah yang mana akhirnya, kita jadi selalu melihat kehidupan orang lain itu memuaskan dan kehidupan kita sendiri adalah yang sangat membosankan dan tidak bahagia.

Terdetik saya mahu menukilkan di sini. Kerana baru teringat beberapa hari lepas peristiwa yang menggelikan hati saya sendiri. Geli hati dan menggeleng saya sendiri bilamana seorang junior semasa sekolah menengah dulu kata, kehidupan saya nampak seronok. Dan saya katanya juga kelihatan seperti seorang yang sentiasa baik-baik sahaja kehidupan saya, keluarga saya dan banyak lagi.

Saya mengambil sedikit masa sebelum boleh berkata kepadanya, bahawa kehidupan yang terbaik adalah kehidupan kita sendiri yang kita jalani dengan sejujur dan seikhlasnya. Dan bukannya kehidupan orang lain yang terlihat gembira dan bahagia serta baik-baik sahaja. Kerana apa? Kerana setiap orang ada bahagian dalam hidupnya. Setiap orang ada ujian dan cabaran tersendiri dalam hidupnya.

Kehidupan orang lain, itu adalah bahagian orang lain untuk kehidupan mereka. Sama ada mereka kaya, jutawan atau hartawan. Sama ada mereka ciptaan Allah yang rupa parasnya cantik dan sesiapa sahaja yang memandang akan berkata cantiknya mereka, maka itu adalah bahagian mereka dalam kehidupan. Kehidupan kita itu dengan kehidupan orang lain, takkan sama. Hatta orang yang jutawan pun saling cemburu antara satu sama lain dengan usaha-usaha yang mereka lakukan.

Nampak tak bagaimana kehidupan ini?

Dan bagaimana pula dengan bahagian kita dalam hidup? Ada atau tiada? Ya, sudah tentulah ada! Bahagian kita, adalah kehidupan kita yang sekarang. Kita seorang anak, jadilah anak yang baik. Kita seorang pelajar, jadilah pelajar yang walaupun takut akan kegagalan tetapi tetap berusaha jujur dan rajin. Kerana percayalah, Allah akan membantumu. Kita seorang pekerja, setidaknya cubalah mencintai pekerjaan kita atau paling tidak pasti ada alasan yang membuatkan kau untuk terus bekerja dan menyukai pekerjaan kau.

Tidak enaklah kalau yang kita mahukan hanya keseronokan semata-mata. Kita melihat seorang usahawan berjaya yang boleh melancong sana sini, kita pun mahu keadaan seperti itu. Tetapi pernahkah kita mahukan dengan sesungguhnya apa yang pernah dilalui oleh orang-orang yang kita nampak kehidupannya indah itu sampai boleh menjadi seindah dan sebahagia yang kita lihat? Sudah tentulah tidak, kan? Kerana kita hanya cenderung kepada kesenangan sahaja.

Yang kita mahukan yang indah-indah sahaja.

Selalu apa yang Allah berikan dalam hidup kita itu, adalah sesuatu yang kita perlukan. Dan hal itu yang akan membuatkan kita bahagia. Tetapi bagaimana kita ini mahu merasai hal yang sedemikian kalau kita terlalu asyik melihat kehidupan orang lain dan mula muak dengan kehidupan sendiri. Kita jadi mencari-cari setiap inci kekurangan itu ini dalam hidup kita. Kita akan jadi mulai menghitung-hitung; aku tak ada kereta besar. Rumah keluarga aku tidak besar. Aku tidak banyak duit untuk membeli itu dan ini. Aku miskin. Aku benci kemiskinan, aku jijik!

Asal kita tahu ya, kebahagiaan itu tidak terletak pada banyaknya wang dan harta yang kau ada. Tidak terletak pada besarnya rumah yang kau ada serta kereta kau yang berderet sampai lima buah. Kerana wallahi! Orang yang tidak mempunyai wang dan harta sebanyak itu juga boleh bahagia. Kerana apa? Kerana menerima kehidupan sendiri dan merasa cukup dengan yang sikit. Kalau dah yang sedikit itu pun kita tidak boleh bersyukur, apatah lagi apabila lagi bila kita mempunyai yang banyak. Kita akan menjadi seseorang yang tidak mahu melepaskan sesuatu kepunyaan kita secara percuma. Akhirnya menjadi kedekut dan tamak. Aduhai!

Kau mahu hidupmu bahagia? Maka mulaikan dengan menghargai kehidupanmu.

Sebaik-baik kehidupan yang perlu kita cemburu adalah kehidupan kita sendiri. Kehidupan kita yang selalu tunduk kepada Allah dan mengingati-Nya sentiasa. Kehidupan yang bila sampai waktu solat, ya solat terus. Bila mempunyai rezeki lebih, bersedekah tanpa berkira. Bila dikurniakan nikmat, terus memanjatkan syukur. Bila diberi ujian, tidak mengalah dan marah kepada Allah.

Sabarlah, ya. Kita tidak selamanya di dunia. Itu, tempat kita di sorga. Insya-Allah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *