Kau Itu Mata Rabun

“Kau sudah tidak berkawan dengan R lagi?” tanya.
“Eh kenapa? Masih ja.” kubalas persoalan dengan soalan.

Rupanya persoalan itu terpacul keluar apabila saya dengan R berselisih di jalanan tapi tidak bertegur sapa. Kenapa? Sebab masa itu saya buka cermin mata, saya tak pakai. Bila saya berjalan dan tak pakai cermin mata, saya jenis yang tak pandang sana sini melainkan fokus pada langkah dan jalan di hadapan. Lagi pula, dengan mata yang rabun begitu sia-sia sahaja mahu mengamati setiap wajah yang berselisih di jalanan, sebab takkan dapat cam dari kejauhan pun.

Menurut cerita, katanya kawan saya R pun kelihatan tergesa-gesa berjalan. Mungkin ada urusan yang sangat penting atau juga kecemasan. Saya cuba tanya, R itu tadi ada pandangkah? Sebab setahu saya, kawan saya R ni jenis yang akan sapa kawan-kawan dia. Bukan sekali dua bila terserempak di jalanan walaupun berada di atas kereta, pasti bertukar lambaian atau senyuman dari kejauhan.

Tapi sejujurnya, jauh di dalam hati saya khuatir kalau-kalau si R ini akan salah sangka yang saya buat-buat tidak nampak dan tidak sapa dia. Walaupun alasan untuk tidak bersangka sedemikian memang sudah cukup kukuh. Sebab, saya tak nampak disebabkan saya tak pakai cermin mata. Dan dia pula dalam keadaan yang tergesa-gesa yang besar kemungkinan tengah fokus dengan langkahnya dan tak nampak saya pun memandangkan jalan itu memang ramai orang.

Tapi itulah, pengajaran juga tu. Ada perkara yang kita tidak mahu dan sebolehnya mahu elakkan dari berlaku tetapi itulah yang akan berlaku. Seperti saya, kadang-kadang bila tak pakai cermin mata saya berharap kalau ada terserempak dengan kawan lama atau kenalan, harapnya mereka tidak berkecil hati bila saya buat muka tidak tahu. Pernah ada kes dimana, seorang kawan senyum dari kejauhan tapi katanya saya buat tidak tahu dan berlalu begitu sahaja. Aduh, saya tepuk dahi!

Fikir saya, hanya yang memakai cermin mata sahaja faham apabila datang mood dia untuk melepaskan cermin mata seketika tanpa memakai kanta lekap. Walaupun dia sedar diri dia rabun, tapi itu tidak dapat mengalahkan mood dia untuk membuka cermin mata. Kerana ada waktu-waktunya terasa penat itu menyapa mata dan batang hidung yang dijadikan tempat berpaut.

Sedikit nasihat, kalau kalian ada kawan-kawan yang pakai cermin mata dan suatu hari kalian terserempak dan hanya menyapa dari kejauhan tetapi tidak dilayan, maka gunakan deria pemerhatian kalian. Adakah kawan kalian itu memakai cermin mata atau tidak? Kalau tidak, ya tentulah dia tidak nampak anda. Tapi kalau dia pakai cermin mata tapi tak layan kalian, kalian pi sekeh dia dan suruh tukar cermin. Barang kali besar kemungkinan power mata dia bertambah.

Bagi yang memang dah pakai cermin mata,
jangan perasan mata itu seperti orang normal.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published.