Ramadan #1: Kurungan Rahmat

Pagi subuh ini, 24 April 2020 yang bersamaan dengan 1 Ramadan 1441 Hijrah.

Hari pertama umat Islam di Malaysia berpuasa. Hari pertama yang subuh harinya luar biasa ketengan dan kemeriahan. Burung-burung galak berkicau seawal tiga pagi. Group whatsapp pelajar-pelajar yang masih ada di kampus turut meriah. Sama ada menanti makanan untuk bersahur atau mungkin juga kerana tidak dapat melelap mata memikirkan tidak pernah menyangka puasa di perantauan jauh dari keluarga dengan begini keadaannya. Alunan zikir bergema seawal empat pagi. Suasana ini, mendamaikan. Angin bertiup perlahan beserta kedinginan malam.

Selama beberapa minggu ini, saya belajar banyak perkara. Dan saya mensyukuri banyak perkara juga.

Penguatkuasaan Kawalan Pergerakan (PKP) telah berkuatkuasa pada 18 Mac 2020. Hari yang sepatutnya saya mempunyai selang hari sebelum dua kertas peperiksaan yang masih berbaki. Kerana itu, tiket penerbangan balik yang sepatutnya pada 22 Mac 2020, hanya tinggal kenangan. Kerana sehingga sekarang sudah sepurnama lebih lamanya masih juga saya di sini.

Hampir semua kegiatan ekonomi terhenti. Tidak beroperasi seperti hari-hari biasa. Semua orang terkesan dengan kehadiran Covid-19 yang memaksa kerajaan mengeluarkan arahan PKP. Perihal ini, membuat saya memerhati bagaimana reaksi diri sendiri dan juga reaksi rakyat yang lain. Ada orang menganggap perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan adalah sangat menyusahkan. Ada juga yang menerima dengan baik, menurut perintah untuk melihat Malaysia yang lebih selamat dimasa hadapan. Lain orang, lain persepsinya.

Bagaimana pula dengan kita? Saya sejujurnya, pada awalnya memang sedih dan bercampur pelbagai perasaan dalam satu jasad. Lama-lama saya jadi menerima. Menerima hakikat bahawa apa yang sedang berlaku ini adalah demi kebaikan semua. Bukan kerana kepentingan individu tertentu, bukan juga kerana kepentingan kerajaan semata. Tetapi untuk kebaikan rakyat jelata. Tapi sehingga satu ramadan ini, rakyat masih mempunyai persepi yang berbeza-beza.

PKP yang pada awalnya hanya diberitahu tempoh selama dua minggu, akhirnya bertambah lagi dua minggu. Tempoh yang sepatutnya berakhir 28 April 2020, ditambah lagi dua minggu, iaitu 12 Mei 2020. Yang mana, boleh jadi akan ditambah lagi kepada dua minggu seterusnya. Semuanya untuk kebaikan seluruh rakyat Malaysia tidak mengira siapa.

Bulan puasa yang paling lain pernah dialami oleh rakyat Malaysia. Tidak ada himpunan solat tarawih berjemaah di masjid. Bahkan kami yang berada di kolej kediaman juga diarahkan untuk solat tarawih sahaja di bilik masing-masing. Malah bersiar-siar di dalam kawasan fakulti-fakulti juga tidak digalakkan. Menunjukkan betapa sebenarnya virus yang sedang mengganas bermula pada tahun lepas, 2019 dan diumumkan oleh WHO sebagai pandemic pada tahun 2020, adalah virus yang melibatkan masalah global dan berada di tahap yang sangat bahaya dan merisaukan dunia.

Keadaan dunia sekarang, khususnya di Malaysia, adalah suatu renungan kepada kita. Ketibaan bulan ramdan disaat-saat genting seperti sekarang, walaupun tidak sebebas seperti kebiasaan, sebenarnya bakal membuka tirai hikmah. Dengan bulan ramadan ini, kita menjadi tenang. Pandanglah semua ini, dengan pandangan seorang hamba. Cukup sebagai seorang hamba, yang tidak memerlukan kita untuk menjadi sebagai seorang ustaz atau ustazah untuk kita pandang dan yakin bahawa apa yang sedang berlaku ini adalah ujian dan rahmat dari Allah Taala.

Biarlah PKP ditahun 2020 ini, kekal dalam ingatan kita sebagai sesuatu yang mengandungi kemanisan dan bukan kepahitan semata. Semua orang terkesan, semua orang sedang berusaha. Bersabarlah kita, wahai rakyat dunia!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *