Selalu Ada Kisah Yang Lain

Saya jadi kurang suka untuk skrol facebook sejak kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi apabila ada sesuatu yang berlaku yang menjadikan satu Malaysia heboh. Sebab saya akan menelusuri komen demi komen tanpa sengaja, dan kadang-kadang sebab terlupa. Ada yang positif, ada yang negatif. Seiring, kata orang.

Sebatas pengetahuan kita terhadap suatu berita atau banyak perkara, kita sering memberikan komen tentang berita tersebut. Kita menilai pada apa yang kita tahu, dan kerap meninggalkan hukum di dalam minda kita bahawa sekian dan sekian berlaku kerana sekian dan sekian. Semudah itu untuk kita memberikan kesimpulan pada tindak-tanduk serta kehidupan orang lain.

Jarang sekali untuk kita berfikir apa sebab dan kisah disebalik sesebuah perkara. Samalah seperti apabila kita diuji Tuhan, jarang sekali untuk kita berfikir kenapa dan apa yang Tuhan mahu berikan kepada kita sesudah ujian yang kita sedang hadapi. Kita jarang mahu berfikir di luar kotak dan menyikapi perkara yang berlaku, mungkin kerana terdorong akan hal-hal yang berlaku dalam kehidupan seseorang tersebut. Kerana apa? Kerana memang sikap kitalah. Sikap kita yang hanya mahu menerima dan menghakimi sebatas yang kita tahu.

Tapi ya, tetap saja kalau kita mahu belajar untuk menjadi lembut hati dan belajar untuk memberikan simpati dan empati serta cuba memahami keadaan, masih belum ada kata TERLAMBAT untuk hal-hal seperti itu.

Hal pertama dan terpenting kalau kita mahu berubah dari seorang manusia yang mudah terhibur dengan kesilapan, kelemahan dan tindakan orang lain yang pada kita itu “kenapalah dia bertindak macam tu, macam takda otak mahu berfikir!”, adalah kita kena beritahu pada diri sendiri bahawa setiap sesuatu yang dilakukan oleh seseorang itu, ada sisi lain yang kita tidak ketahui. Maksudnya itu apa?

Maksudnya, ada cerita atau kisah yang kita tidak tahu atas tiap-tiap yang berlaku. Lebih-lebih lagi apa yang berlaku itu adalah dalam hidup orang lain.

Sentiasa akan ada persoalan;

Kenapa dia bertindak macam tu? Kenapa dia jadi macam tu?
Apa yang membuatkan dia tekad sampai tahap yang sedemikian?
Peristiwa dan pengalaman apa sebenarnya yang mendorong hal itu?

Atau cukup sahaja mengambil contoh terhadap diri kita sendiri. Atas tiap-tiap perbuatan kita, dan setiap keputusan yang kita buat dalam hidup. Apa yang mendorong kita mahu melakukan hal-hal yang mahu kita lakukan?

Orang lain hanya boleh lihat keputusan yang kita buat, dan gerak kerja kita dalam kehidupan. Tapi jarang benar orang lain mahu faham dengan sesungguhnya kenapa kita mengambil keputusan untuk melakukan sekian dan sekian serta apa sebenarnya misi dan visi yang kita mahu capai dengan keputusan itu. Itu tidak termasuk lagi dengan hal-hal seperti, ada orang lain yang menghakimi keputusan yang kita buat itu begini dan begitu. Dan kita merasakan kepedihan dalam hati bila orang lain yang tidak pernah bertanya rasional disebalik keputusan kita, terus menghukum kita dengan pandangan-pandangan mensia-siakan hidup, buang masa, tidak bercita-cita dan mahu menjadi manusia yang tidak berguna.

Ayuh, jujurlah.. Apa perasaan kita? Pasti kita merasa sedih, terkilan dan marah.

Padahalnya kita ada sebab kenapa kita mengambil keputusan itu. Kita ada cita-cita dan misi dengan cita-cita itu. Kita terdorong kerana banyak hal untuk sebuah keputusan tersebut. Tetapi yang orang lain nampak, hanyalah perbuatan seseorang yang tiada wawasan dalam hidup. Lucu ya, sedih pun ya.

Ada banyak cerita yang kita tidak tahu mengenai setiap seorang yang kita kenali. Ada banyak sebab yang kita tidak tahu kenapa hal-hal sekian dan sekian terjadi dalam kehidupan seseorang. Cukuplah kita sedar bahawa, perbuatan orang lain itu ada sebab-sebab yang tersendiri yang mungkin sedikit pun kita tidak tahu.

Dan cukuplah hal itu, memberitahu dan memahamkan kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *