Kerap sekali apabila sudah tiada didepan mata dan lingkungan kehidupan kita, barulah kita akan mengharapkan masa bisa diputar kembali dan mahu berpeluang untuk lebih menghargai. Biasa kedengaran, kan. Memang cukup tipikal.
Berapa banyak kali dalam hayat sehingga saat ini, kita membuang-buang peluang yang diberikan kepada kita. You name it, peluang apa. Dan ingat-ingat kembali sesal-sesal kecil kita lalu membawa kepada suatu kesedihan. Mengambil contoh bulan ramadan ini yang datangnya setahun sekali dalam tempoh masa sebulan lamanya. Apabila nanti sudah berada dihujung ramadan, berapa ramai dalam kalangan kita yang sesal sendiri kerana tidak menggunakan waktu yang ada dibulan ini untuk melakukan lebih banyak hal-hal kebaikan dan ibadah.
Kalau dengan manusia juga begitu. Kita kurang menghargai apabila seseorang itu masih ada disitu. Namun apabila dia sudah tiada didepan mata dan kehidupan kita, barulah kita akan terindu-rindu mengenangkan segala kebaikan, senyumannya, gurauannya, nasihatnya serta gelak tawanya. Hanya apabila sudah terlambat.
Kadang-kadang kita perlu sedar bahawa, tidak semua peluang itu akan datang kali kedua. Ada peluang yang hanya datang sekali seumur hidup. Yang mana kalau kita terlepas peluang tersebut, kita tidak akan berjumpa peluang yang sama seperti itu lagi. Seperti kehidupan kita di dunia ini. Bila kita penuhi dengan hal-hal yang memberatkan perjalanan di akhirat kita, kita tidak akan pernah patah balik semula untuk mengutip satu demi satu bekalan di dunia. Hatta kita menangis darah.
Nah, bagaimana kita perlakukan peluang ramadan setakat ini?