Ada hari aku tertanya-tanya,
perlukah aku terus menulis sedangkan dunia terasa bising dan laju,
sedangkan tulisanku cuma sunyi di satu sudut kecil internet?
Tersedar sendiri bahawa, aku menulis bukan kerana dunia meminta, tetapi kerana aku sendiri memerlukannya. Menulis adalah ruang aku berhenti seketika. Mengemas fikiran yang berserabut. Menyimpan rasa yang tidak sempat diluahkan dalam perbualan harian.
Aku tidak menulis untuk menjadi sempurna. Aku menulis untuk jujur. Kerana kejujuran itulah yang membuktikan aku pernah wujud, pernah merasa, pernah lelah, pernah berharap. Ada hari ayat-ayat terasa biasa. Ada hari tulisan terasa kosong. Namun aku belajar bahawa konsisten itu bukan lahir daripada keyakinan, tetapi daripada kesetiaan kepada diri sendiri, bukan?
Jika suatu hari nanti seseorang membaca tulisanku dan terasa tidak bersendirian, itu sudah cukup. Jika tiada sesiapa pun membaca, aku tetap menang dengan caraku sendiri kerana aku tidak memendam hidup ini sendirian.
Jadi aku menulis.
Perlahan, sederhana, seadanya.
Kerana menulis adalah caraku mengingatkan diri bahawa, AKU HIDUP.
Hidup Tidak Akan Selalu Lancar

Menjalani kehidupan setiap pagi, setiap hari, di ibu kota yang kesesakan jalanraya bukan sesuatu yang asing, adakalanya memenatkan minda. Bila tiba waktunya deretan kereta yang panjang seakan tidak bergerak, dan tiba-tiba jam terasa seperti terlalu cepat berlalu, seakan-akan memberitahu bahawa aku berisiko untuk lewat tiba di pejabat. Yang mana kelewatan itu nanti akan menjadi isu dalam jabatan.
Namun ada waktunya terasa sangat bahagia apabila memandu dipagi hari dengan keadaan jalanraya yang tidak sesak dan perjalanan ke tempat kerja terasa lebih lancar. Hari dimulakan dengan emosi dan minda yang lapang. Jarang-jarang merasai hal yang sedemikian jika melibatkan jalanraya. Ada sahaja ragam manusia yang masing-masing meluncur dengan kenderaan.
Aku kira, hidup kita juga begitu; tidak selalu lancar. Pasti ada sahaja cabaran tersendiri. Ada waktunya kita terhenti di ‘simpang’ atau ‘tepi’ jalan yang kita tidak suka. Ada masanya dalam hidup, kita terasa jauh tertinggal di belakang. Tetapi, lancar atau tidak perjalanan kita, bukankah setiap perjalanan tetap akan membawa kita sampai kepada tujuan walaupun mungkin perlahan?
Kawan, kadang-kadang kesesakan itu sendiri adalah guru. Mengajar kita tentang sabar. Yang memaksa kita berhenti seketika, lalu menyedari hal-hal kecil yang selalunya kita abaikan.
Aku jadi belajar bahawa hidup tidak selalu tentang cepat sampai. Ada waktunya, hidup adalah tentang bagaimana kita memilih untuk merasai perjalanan. Meskipun jalan itu sesak, sempit, dan melelahkan.
Kerana akhirnya, setiap jalan, walau sesak; tetap membawa kita ke tempat tujuan.
Bila Hujan Datang Menenangkan

Semalam, hujan turun tanpa membagi salam.
Langit yang kelihatan terik dan jiwa yang mengharapkan redup sejuk pada hari cuti, akhirnya terjawab oleh hujan yang membasahi bumi walaupun tidak begitu lama. Entahkan jiwa mengharap sejuknya hujan, atau sekadar ingin merasa sejuk dan ringannya beban kehidupan.
Daun-daun dari pokok di luar tingkap aku yang berada di bawah sana menunduk, seolah-olah sedang menanggung beban yang tumpah dari langit. Bau tanah basah itu – ah, aku selalu percaya ia adalah wangi yang paling jujur di dunia! Wangian semasa dan selepas hujan yang bercampur dengan alam, adalah sangat menenangkan jiwa dengan tenang paling dalam.
Aku duduk di sambil tangan menyelak langsir melihat curahan hujan. Bunyi titisan hujan yang sesekali melempar di tingkap bilik terasa seperti irama yang tidak pernah gagal menenangkan. Ada sesuatu tentang hujan yang membuatkan kita lebih perlahan – lebih jujur dengan diri sendiri. Mungkin kerana hujan selalu mengingatkan manusia bahawa, tidak semua yang jatuh itu menyedihkan.
Ada waktu, yang jatuh juga membawa hidup. Rumput kembali hijau, hati kembali reda. Aku terfikir, kadang-kadang manusia pun sama halnya. Ada masanya kita itu perlu “jatuh” dalam hidup agar ada ruang untuk tumbuh semula. Tidak semua yang jatuh itu adalah kemusnahan.
Dan kamu.. Apa yang kamu selalu terfikir bila hujan turun?
Pulang Untuk Menulis Tahun 2025

Satu tahun enam bulan – lebih kurang; blog ini ditinggalkan. Sesekali kumenjengah kerana rasa rindu pada rutin dan ghairah keseronokan menulis blog suatu masa dahulu. Kadang-kadang bertanya kepada diri sendiri, ke mana pergi cebisan diri yang lama? Jeda.
Ada masa dalam hidup ini, pena dibiarkan terbiar di sudut meja. Kertas kosong hanya menjadi saksi kepada hari-hari yang berlalu tanpa huruf. Bukan kerana tiada cerita, tetapi kerana jiwa sibuk mencari bahasa untuk dirinya sendiri.
Beberapa purnama yang bukan sekejap, aku seolah-olah menghilang dari dunia tulisan. Bukan kerana sudah berhenti mencintai kata-kata, tetapi kerana kehidupan sering mendesak dengan rentaknya sendiri. Ada hari-hari yang penuh dengan kesibukan, kerja yang tidak pernah habis, jalan raya yang sesak, malah ada juga saat-saat sunyi di rumah yang aku hanya mahu baring dan menatap siling — tanpa sebarang tenaga untuk memegang pena, apatah lagi menulis.
Tetapi menariknya, saat aku jauh dari tulisan, aku mula sedar bahawa menulis bukan sekadar hobi yang boleh ditinggalkan begitu sahaja. Ia adalah sebahagian daripada diri. Diam-diam, aku mula rindu pada rasa tenang yang hadir setiap kali jari-jari ini menari di papan kekunci. Rindu pada detik di mana satu ayat melahirkan ayat lain, dan akhirnya aku menemui diriku sendiri di antara perenggan-perenggan yang terhasil. Jauh dari penulisan, ternyata parah yang tidak terlihat.
Hari ini, aku pulang kembali. Menulis semula, walau mungkin ayat-ayatnya masih kaku, walau mungkin ia belum indah seperti yang aku bayangkan. Namun bukankah itu sebahagian daripada proses memaafkan diri sendiri? Kerana kepada siapa lagi aku bersalah membiarkan tangan menjadi kaku tanpa menari di atas papan kekunci huruf demi huruf. Aku jadi sedar; menulis bukan tentang menunggu saat sempurna, tetapi tentang keberanian untuk mula kembali walau berapa lama berpergian tanpa peduli.
Dan seperti hujan yang akhirnya reda, aku juga percaya bahawa setiap musim sunyi ada waktunya. Yang penting, aku sudah kembali duduk di sini — menulis, mendengar hati sendiri, dan berharap agar tulisan ini juga menemui hati-hati yang sedang mencari.
Suhana
22.08.2025 | Jumaat
Kota Kinabalu, Sabah.
