Skip to content

Author: Suhana Amiril

Manusia Memeluk Takdir

Entah semangat apa yang datang pada tengah malam begini. Terasa benar banyak kata yang mahu diabadikan di sini pada waktu yang sama. Dua tin kopi wonda menjadi hirupan tadi pastinya sedang bekerja untuk menahan mata dari kantuk. Atau boleh jadi juga kerana bunyi salakan anjing yang entah apa-apa sahaja mencuri perhatiannya. Jadi biarlah saya berbicara sendiri di sini.

Saya membayangkan suatu pagi yang baru mulai tersenyum malu-malu kerana asyik bercanda dengan hujan semalaman. Tatkala kedinginan masih menyelimuti permukaan bumi, dan ada manusia masih malas membuka mata dengan penuh manja berselubung disebalik selimut pilihan. Tanah-tanah dan jalan raya yang masih basah kedinginan serta aroma hujan yang mempunyai istimewanya sendiri. Lebih enak apabila dalam bayangan saya itu, saya membancuh kopi segar sambil berbicara dengan kedinginan dan memberitahukan bahawa betapa berterima kasih saya kepadanya kerana akur dengan aturan Tuhan lalu memberi sekelumit kebahagiaan kepada manusia yang entah bersyukur entah tidak.

Kehidupan Itu Nasi Goreng

Kehidupan ini bagaimana ya? Semakin kita bersoal-soal mengenai kehidupan, semakin kita menemukan banyak pertanyaan dari pelbagai hal. Makin sarat jiwa dan fikiran kita mengenai sebuah kehidupan yang pasti saja banyak juga hal-hal yang tidak menemukan jawapan sesungguhnya. Selalu saya percaya bahawa kehidupan itu adalah antara salah satu yang misteri dan tidak terduga di dunia.

Pasti saja kehidupan tidak seperti kita mencipta sebuah cerita tentang watak-watak yang kita suka, atau jalan cerita yang sesuai dengan kemahuan kita. Kerana itu adalah ciptaan kita tentang perjalanan kehidupan orang lain. Kita tahu bagaimana mulanya kehidupan watak di dalam cerita tersebut, dan sesuai dengan kemahuan kita pula kita mengakhiri jalan cerita itu.

Pagi semalam saya menjenguk dapur usai waktu subuh. Insomnia semalaman membuatkan perut jadi lapar pagi-pagi lagi. Saya berdiri memandang kiri kanan mengenal pasti bahan-bahan untuk membuat nasi goreng. Pertama sekali yang perlu diperiksa adalah nasi tinggalan semalam, apakah masih berbaki atau sudah habis? Ternyata masih ada sesuai dua atau tiga orang makan. Saya cuma mengambil sebanyak yang saya mahu makan.

Babak Kehidupan di Tepi Jalan

Apa sebenarnya yang bisa membuat manusia kuat dan terus tabah untuk menempuh hari-hari di dunia ini? Apakah Tuhan menitipkan manusia ke dunia semata-mata untuk menanggung bebanan jiwa kerana kehidupan yang banyak waktu sangat menyakitkan? Sebegitu kejamkah Tuhan menghantar sekalian manusia ke dunia untuk menyeksa hamba-hambaNya. Apakah nasib hidup ini?

Petang itu gerak kaki yang tidak tertahan menyebabkan saya masuk ke kedai buku besar di daerah kelahiran saya ini. Hampir sejam berlalu tidak saya sedar ketika membelek dan membaca buku demi buku yang menarik minat. Akhirnya, sudah kemalaman. Kedai buku itu pun setengah jam lagi akan ditutup. Jadinya saya keluar dengan membeli empat buah buku yang pastinya tiada jadual untuk dibaca bila dan berapa lama akan tersadai di rak buku menjerit-jerit minta dibaca.

Saya mendapat kiriman SMS, bertanyakan di mana saya berada dan mahu mengambil saya untuk dititipkan ke rumah. Oh ya, hal SMS ini sesuatu yang membuat jiwa saya sedikit tersenyum. Ternyata masih ada orang yang masih menggunakan kaedah ini. Maklum saja, zaman sekarang orang lebih suka FB Messenger, Whatsapp dan Wechat untuk berkomunikasi. Mengaku sajalah.

Kerana Allah Merancang Untuk Kita

Mungkin sudah banyak kali kita pernah merancang perjalanan hidup kita dengan teliti. Kerana pada fikir kita, soal masa depan itu bukan perkara yang main-main. Bukan perkara yang seharusnya dibiarkan berlalu dengan hari-hari yang kosong. Soal masa depan itu adalah kehidupan. Senang kata, masa depan itu adalah segalanya bagi kita. Dan merancang masa depan, adalah termasuk dalam perkara yang bukan main-main. Soal masa depan itu adalah suatu yang serius.

Kita sedar bahawa kita bukan semakin muda dari hari ke sehari, tahun demi tahun. Walaupun mungkin ada yang sependapat dengan saya bahawa umur itu hanyalah angka, dan ya, memang umur hanyalah angka. Dan angka-angka itu, sepatutnya berlalu dengan perancangan untuk kehidupan. Dan merancang soal masa depan tidak lari dari yang namanya cita-cita atau matlamat. Apa yang ingin kita capai dalam hidup. Atau bagaimana kita melihat diri kita untuk beberapa tahun akan datang? Dan apa pencapaian kita dalam hidup pada masa depan?

Begitulah.. Ada orang untuk merancang masa depannya, dia melihat dirinya 10 tahun atau 20 tahun akan datang, siapa dia pada hari tersebut?