Babak Kehidupan di Tepi Jalan

Apa sebenarnya yang bisa membuat manusia kuat dan terus tabah untuk menempuh hari-hari di dunia ini? Apakah Tuhan menitipkan manusia ke dunia semata-mata untuk menanggung bebanan jiwa kerana kehidupan yang banyak waktu sangat menyakitkan? Sebegitu kejamkah Tuhan menghantar sekalian manusia ke dunia untuk menyeksa hamba-hambaNya. Apakah nasib hidup ini?

Petang itu gerak kaki yang tidak tertahan menyebabkan saya masuk ke kedai buku besar di daerah kelahiran saya ini. Hampir sejam berlalu tidak saya sedar ketika membelek dan membaca buku demi buku yang menarik minat. Akhirnya, sudah kemalaman. Kedai buku itu pun setengah jam lagi akan ditutup. Jadinya saya keluar dengan membeli empat buah buku yang pastinya tiada jadual untuk dibaca bila dan berapa lama akan tersadai di rak buku menjerit-jerit minta dibaca.

Saya mendapat kiriman SMS, bertanyakan di mana saya berada dan mahu mengambil saya untuk dititipkan ke rumah. Oh ya, hal SMS ini sesuatu yang membuat jiwa saya sedikit tersenyum. Ternyata masih ada orang yang masih menggunakan kaedah ini. Maklum saja, zaman sekarang orang lebih suka FB Messenger, Whatsapp dan Wechat untuk berkomunikasi. Mengaku sajalah.

Sementara menunggu, saya membeli air dan berdiri di tepi bangunan laluan pejalan kaki. Kenapa tidak duduk? Kerana tiada kerusi tersedia. Semacam membuang masa kalau berdiri semata-mata dan menghadap telefon bimbit yang entah apa sahaja yang menarik. Maka saya menarik keluar sebuah buku yang saya beli tadi dari dalam plastik. Mengoyakkan plastik yang membaluti.

Saya membaca dengan senyap. Tertunduk sendiri mata menatap aksara demi aksara. Saya betul-betul berada di tepi, badan saya mencium bangunan dan langsung tidak menghalang pejalan kaki yang lain. Tiba-tiba terdengar jeritan suara lelaki dari sebuah kereta yang lalu di jalan depan,

“Oi macam gila membaca buku di tepi jalan!”

Kepala yang tertunduk terus diangkat, menatap teliti si pemunya suara tadi. Saya tersenyum nipis dan menyumpah dalam hati, “Semoga kalau bukan kamu, anak kamu akan menjadi seorang pembaca buku yang tegar. May God bless you!”

Sebegitu asingkah orang yang membaca buku di tempat awam di daerah saya ini? Menyedihkan. Kalau orang gila itu adalah pembaca buku di tepi-tepi jalan, maka lebih baik jadi orang gila berbanding jadi orang mewah yang menaiki kereta lalu tidak semena-mena menjerit gila kepada orang lain.

Itu babak pertama.

Selepas kejadian dituduh gila kerana membaca ditepi jalan, beberapa minit kemudian terdengar jeritan seorang perempuan. Ya ampun! Apakah kejadian malam ini, terlalu banyak drama berlaku di pusat bandar yang seharusnya semua manusia mendambakan rumah untuk merehatkan badan. Sejauh dua ratus meter, pada kedudukan 1400, seorang wanita yang terjerit-jerit dan memukul seorang lelaki yang membiarkan badannya menjadi pouch bag. Malas mahu mendengar butir bicara dan menatap babak tersebut. Namun mata saya sesekali memandang, kerana ada anak kecil yang berada dalam gendongan wanita itu. Dan satu hal yang saya khuatiri adalah, sekiranya lelaki itu membalas pukulan wanita yang dari tadi hinggap di badannya. Saya membayangkan, sekali sahaja tumbukan dari seorang lelaki kepada sosok tubuh wanita yang kecil itu pasti akan membuat dia terduduk.

Ah, betapa saya tidak suka melihat kekerasan seperti ini.

Sangkaan saya meleset. Lelaki itu dengan sabar menerima pukulan demi pukulan. Menebalkan muka dijerit-jeritkan sehingga saya yang berada di seberang jalan ini terdengar-dengar jeritan isterinya yang disertai dengan tangisan. Orang yang lalu lalang di hadapan mereka hanya memandang sambil meneruskan perjalanan. Syukur juga lelaki itu bukan dayus, hilang sabar memukul isteri sendiri. Kalau tidak, saya tidak pasti macam mana reaksi saya kalau melihat kekerasan suami memukul isteri. Walaupun sebenarnya, kalau saya cukup berani; saya pasti katakan dengan perempuan itu, jangan lakukan pertengkaran begini siap babak pukul-pukul di tempat awam. Suami anda ada air muka perlu dijaga.

Apapun, mungkin rumahtangga mereka sedang teruji dan menghadapi masalah. Maka doa saya untuk mereka. Semoga kesudahan yang baik dan bahagia demi anak yang sedang dalam gendongan ibunya, yang kecil-kecil lagi terpaksa terpinga-pinga menyaksikan drama kedua ibu bapanya.

Dan itu babak kedua dan terakhir untuk malam itu.

Pernahkah kita tertanya-tanya? Mengapakah setiap manusia, Allah hadirkan ke dunia. Dan setiap satunya akan berhadapan dengan macam-macam situasi dan perasaan yang tidak sama. Yang pastinya, setiap satu dari manusia akan berhadapan dengan ujian yang berlainan. Dan tahap penerimaan seseorang terhadap ujian hidup juga berbeza. Apakah Allah hadirkan seluruh manusia hanya untuk membuatkan kehidupan hamba-Nya sengsara atau jiwanya sentiasa kelam?

Bukankah sangat menyedihkan jika kehidupan seseorang itu hanya diselubungi duka dan sengsara. Tidakkah meruntun hati jika ada seseorang yang selalu sahaja merintih atas nasib sendiri. Apakah penciptaan manusia singgah ke dunia semata-mata untuk yang pahit-pahit sahaja? Di mana kebahagiaan.

Tiadakah bahagia yang kekal buat seluruh manusia di dunia ini?

Bahagia di dunia itu pada saya, memang ada. Sangat tidak adil kan apabila kita jadi seorang manusia yang kurang waras dengan mengatakan bahawa kita tidak pernah bahagia? Kerana bahagia itu ada. Saya percaya seluruh manusia pernah merasa bahagia dan gembira. Tetapi, bahagia dan gembira itu tidak selalu lama. Kerana lumrah, apabila kita bahagia dan gembira pasti selepasnya ada sedih dan duka. Datangnya silih berganti dalam hidup. Mungkin kerana kelemahan jiwa kita ini, kita selalu hanya melihat yang ada dalam hidup kita adalah penderitaan. Kerap kita terlupa bahawa kita juga ada waktunya gembira dan bahagia, tersenyum dan lapang jiwa. Namun seperti mana lumrah yang tetap akan berjalan dengan izin Allah, perkara itu akan bersilih ganti kejadiannya. Kita mahu atau tidak.

Terlalu banyak ekspektasi dan harapan kita dalam kehidupan ini. Dan terlalu banyak kali juga ekspektasi kita itu jatuh menyembah bumi. Hancur, tidak kelihatan lagi. Sedih? Gila tak sedih. Memanglah sedih.

Namun, menurut perkiraan saya itu. Kita sebagai manusia yang percaya kepada Allah, sesekali harus memaksa diri kita mengucapkan syukur dengan penuh ketelusan. Syukur kerana harapan dan cita-cita kita adakalanya tertangguh. Syukur kerana ekspektasi kita dalam kehidupan tidak menjadi. Syukur kerana Allah sudi hadirkan perasaan bahagia dan gembira. Dan syukur kerana Allah tidak lupa hadirkan kesedihan dan kepiluan jiwa yang membuat kita tertampar.

Kerana apa? Kerana kejadian demi kejadian itu membuatkan pergantungan kita semakin kuat pada yang sepatutnya. Keadaan jiwa kita yang sempit seharusnya itu membuatkan kita pulang kepada Allah, dan memaksa kita mendidik diri untuk mencari satu tempat kesempurnaan yang lebih baik dari kebahagiaan dan kegembiraan di dunia. Apakah itu sebenarnya? Kesempurnaan bahagia dan gembira di akhirat, atau lebih tepat di syurga Allah nantinya.

Adakalanya kita terlalu menginginkan kesempurnaan dalam kehidupan dan tidak mahu ada ruang untuk ketinggalan dalam mengejar kejayaan dan kebanggaan manusia di dunia. Sehingga banyak waktunya kita tertipu dengan bayangan kesempurnaan yang sering kita damba dan mimpi-mimpikan.

Kita terlalu menekan diri kita. Kita terlalu menyeksa jiwa kita.

Sehinggakan kita merasa bahawa hari demi hari hayat kita di dunia hanyalah kesengsaraan dan kesedihan semata-mata. Tiada kehidupan impian, tiada kejayaan yang didamba. Dalam pada itu, kita terlupa bahawa dalam diri kita sebagai manusia biasa ini ada yang namanya FITRAH.

Fitrah seorang manusia yang akan mencari Tuhan dan bergantung harap dan doa kepada Tuhannya untuk dikurniakan kebahagiaan yang selama-lamanya. Kerana kita sedar, dunia ini hanya tempat persinggahan. Maka, apa-apa sahaja bahagia atau derita ketika berada di dunia, tidak akan selamanya kita rasai. Maka fitrah dalam diri kita itu yang selalu bisa menyedarkan kita untuk berdoa,

“Ya Tuhanku.. tidak mengapa jika hidupku selalu ditemani kedukaan semasa di dunia. Tetapi Engkau berlembutlah kepadaku, dan orang-orang kesayanganku; berikanlah kekuatan kepadaku agar aku menjadi orang yang berusaha untuk bahagia selama-lamanya nanti di akhirat sana.”

Kerana dalam agama apapun di dunia ini, semuanya menggenggam kepercayaan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan sebelum manusia akan hidup abadi selama-lamanya.

Kenapakah saya perlu menuliskan semua ini? Apakah kerana saya hanya pandai menulis dan mempamerkan lewat blog sendiri supaya kelihatan sebagai seseorang yang lebih baik? Bukan. Tapi kerana saya juga, adalah seorang manusia seperti anda yang sedang membaca saat ini. Saya adalah seorang manusia yang tidak kebal dari ujian kegembiraan dan bahagia serta kesedihan dan duka. Kerana umumnya, saya juga adalah manusia seperti anda yang selalu merintih dan tertangis sendiri bertanya-tanya kepada Allah soal kehidupan ini.

Jika jiwamu sedang merasa sempit ketika ini dan segala harapanmu kelihatannya sedang kabur dan hampir hilang pada pandangan, maka percayalah kepada Allah. Dia menyayangimu lebih daripada ibumu yang menyayangi dan mengharapkan kebaikan dan kegembiraan selalu bersamamu. Allah lebih sayang kepadamu.

Kehidupan ini terlalu berharga untuk dihiasi dengan kesedihan sepanjang masa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *