Mungkin sudah banyak kali kita pernah merancang perjalanan hidup kita dengan teliti. Kerana pada fikir kita, soal masa depan itu bukan perkara yang main-main. Bukan perkara yang seharusnya dibiarkan berlalu dengan hari-hari yang kosong. Soal masa depan itu adalah kehidupan. Senang kata, masa depan itu adalah segalanya bagi kita. Dan merancang masa depan, adalah termasuk dalam perkara yang bukan main-main. Soal masa depan itu adalah suatu yang serius.
Kita sedar bahawa kita bukan semakin muda dari hari ke sehari, tahun demi tahun. Walaupun mungkin ada yang sependapat dengan saya bahawa umur itu hanyalah angka, dan ya, memang umur hanyalah angka. Dan angka-angka itu, sepatutnya berlalu dengan perancangan untuk kehidupan. Dan merancang soal masa depan tidak lari dari yang namanya cita-cita atau matlamat. Apa yang ingin kita capai dalam hidup. Atau bagaimana kita melihat diri kita untuk beberapa tahun akan datang? Dan apa pencapaian kita dalam hidup pada masa depan?
Begitulah.. Ada orang untuk merancang masa depannya, dia melihat dirinya 10 tahun atau 20 tahun akan datang, siapa dia pada hari tersebut?
Lalu kita merancang begitu dan begini. Dengan rasa tawakkal, dengan bergantung harap kepada Allah SWT, maka kita pun melangkah. Mungkin ada diantara kita yang perjalanan hidupnya baik-baik sahaja. Ketika ada ujian yang datang, berjaya dihadapinya tanpa menangguhkan perjalannnya. Dan untuk hal ini, saya percaya dan pernah menyaksikan memang pernah berlaku. Dan tidak lupa, ketika mana seseorang sedang menjalani perancangannya, Allah SWT uji dengan perkara-perkara yang terasa berat. Ada juga yang terpaksa berehat sebentar sebelum melaksanakan segala perancangan dirinya. Berehat berhenti sebentar bukan bermakna berhenti. Namun tetap saja, kesedihan itu menghuni hatinya.
“Kenapa perlu aku melalui semua ini?”
“Kenapa aku mulai rasa yang Allah tak sayang aku?”
Jujurlah, siapa yang sedikit pun tidak bersedih? Kadang-kadang ada juga keadaan yang membuatkan kita mengubah perancangan masa depan yang sudah elok tersusun. Dan perubahan itu, bukan sedikit diantara kita yang perlu melupakan sebahagian cita-cita atau melupakan sesuatu yang mahu dicapai pada 10 atau 20 tahun akan datang. Sedih? Memang sedih. Ayuh, mengakulah.
Namun inilah salah satu hakikat kehidupan yang perlu kita hadapi dan belajar dengannya. Mungkin ketika kita merancang itu ini untuk masa depan, saat kita menuliskan perjalanan hidup kita pada sebuah kertas dan ketika kita menyudahkan cacatan perjalanan hidup, kita terlupa untuk menyertakan sekali persediaan bagaimana kita mahu berhadapan dengan ujian dan rintangan. Sebaik mana dan sesempurna mana pun kita merancang kehidupan kita, pasti ada impian-impian kecil yang tidak dapat kita capai.
Bukan sedikit dalam kalangan kita yang bersedih hati, merintih dan terkenang-kenangkan nasib diri sendiri. Berapa ramai diantara kita yang rasa terhimpit diantara cita-cita dan keadaan semasa. Keadaan yang memerlukan kita untuk memikirkan kemungkinan-kemungkinan serta banyak perkara yang perlu kita pertimbangkan. Seperti mana dalam istilah ekonomi, untuk mendapatkan sesuatu kadang-kadang perlu melepaskan sesuatu yang banyak. Sebagai contoh, mungkin soal kewangan yang tidak berapa lapang. Mungkin kerana kesihatan kedua orang tua kita. Atau mungkin kerana kita sendiri perlu melupakan impian yang lain kerana keadaan semasa yang memaksa kita untuk bekerja sepenuh masa terlebih dahulu. Atau mungkin boleh jadi, kerana kita sendiri dengan rela perlu melupakan sebahagian perancangan masa depan kerana ada sesuatu yang perlu dilakukan oleh kita sekarang. Apapun sebabnya secara rela atau tidak, pasti itu akan meninggalkan kesan dalam hidup kita. Terlihat atau tidak saja bezanya.
Kita pun walau sudah move on dengan kehidupan sekarang, kita masih tertanya-tanya. Ya Allah kenapa begini perjalanan hidup aku? Kenapa tidak saja Kau bantu aku untuk mempermudahkan langkahku padahal tiada yang mustahil bagi-Mu?
Kerana kita melupakan satu hal; ALLAH Juga Merancang Kehidupan Kita!
Kita semua selalu terlupa bahawa banyak apapun perancangan kita, pasti semuanya akan melalui tapisan daripada Allah SWT terlebih dahulu.
Kenapa Allah tidak benarkan hal-hal mengenai masa depan kita terjadi sesuai dengan perancangan kita? Mahu jawapan? Mudah, mungkin kerana ada Allah mahu hindarkan kita dari perkara keburukan. Dan mungkin juga kerana Allah sudah lama menyimpan perancangan yang lebih baik untuk diri kita berbanding hal-hal yang mahu kita capai dimasa depan. Daaaaaaan, boleh jadi Allah sedang memindahkan landasan perjalanan hidup kita ke arah yang lebih membahagiakan.
Kamu tahu? Kita boleh saja bercakap mengenai banyak kemungkinan-kemungkinan yang kita tidak ketahui. Tetapi yang sebenar-benarnya yang tahu hanyalah Tuan Punya Dunia. Rahsia kehidupan kita, masa depan kita semuanya ada dalam pengetahuan Dia. Yang penting, kita tidak give up!
Hidup kita ini milik Allah SWT, kan. Apalah upaya kita mahu berkata tidak jika pemilik kehidupan kita ini mahukan sesuatu yang lebih baik untuk diri kita. Sedangkan kita sendiri banyak waktu tidak tahu apakah perbuatan mahu pun yang sedang kita lakukan adalah baik untuk kehidupan kita dan akhir kehidupan kita. Kita cuma perlu yakin, bahawa Allah tidak sesekali membiarkan kita.
Pilu? Sakit? Sedih?
Kamu mungkin tidak akan percaya.. Tapi, saya memahami perasaan itu. Perasaan sedih, pilu. Itu belum bercakap soal merasa diri sendiri tidak berguna kepada keluarga. Walaupun mungkin keluarga kita terkesan, namun tidaklah sampai menyampahkan kita. Tetapi kerana kita yang kecewa kepada diri sendiri, maka kita mengatakan bahawa kita ini tidak berguna. Tidak dapat membantu apa-apa, malahan! Perasaan sedemikian, semuanya adalah normal.
Tapi yakinlah..
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” QS. al-Baqarah : 216
Bila-bila kita rasa bahawa kita tidak mampu menanggung kepiluan dan kesedihan akibat dari apa yang berlaku dalam kehidupan kita, cepat-cepat ingat ayat ini. Legakan hati dan diri sendiri. Pujuk cepat-cepat diri sendiri. Bersangka baik dengan perancangan Allah SWT dan takdir-Nya.
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” QS. al-Baqarah : 286
Kalau mahu bersedih hati, mahu menangis.. Maka menangislah. Saya sesekali tidak akan menghalang. Kerana kesedihan itu juga satu fitrah. Tapi jangan tenggelam dalam kesedihan dan tangisan. Kenapa? Kerana hidup kita belum berakhir. Kita bukan telah GAGAL. Kerana orang yang gagal adalah orang yang berhenti dan berputus asa dalam kehidupan! Tapi teruslah hidup, teruslah berjalan.
Pasti ada sinar yang sebenarnya Allah mahu berikan.