Siapa sangka kita boleh melalui segala apa yang dihadapi pada tahun 2022, kan? Siapa sangka kita boleh jauh melangkah sehingga sekarang. Merenung waktu-waktu yang kita terasa tidak mempunyai daya dan kekuatan; fizikal dan mental. Tapi lihatlah, dengan pelbagai perasaan dan keraguan terhadap diri sendiri yang entah berapa kalinya, kita masih di sini. Masih teguh kerana Dia.
Terima kasih, wahai diri. Kerana masih bertahan.
Tahun 2023, pastinya tidak mudah. Namun semoga engkau, wahai diri.. Terus bertahan dan tabah mencapai apa yang kau hasratkan dan inginkan. Semoga engkau, wahai diri.. Menjadi hamba Tuhan yang lebih baik. Jadi manusia seadanya; tidak menyakiti yang lain, yang bijaksana membawa diri, yang menggunakan peluang-peluang kebaikan yang Allah tunjukkan di depan mata. Semoga engkau, wahai diri.. Akan lebih berjaya, membahagiakan kedua orang tua, mendapat kerjaya yang terbaik, dapat menerbitkan buku baru, dapat menjejak kaki ke Makkah menunaikan haji atau umrah.
Semoga yang baik-baik saja. Semakin kuat imannya dan tabah menghadapi hidup.