15 September 2023 – Apa Khabar, Suhana?

8 bulan 15 hari, sejak entri kali terakhir di dalam blog ini.

Terasa cuma seperti semalam tahun 2023 baru melambai, tanda kedatangan tahun baru. Sekarang cuma berbaki beberapa bulan sahaja lagi sebelum tahun 2023 bakal melambai tanda meninggalkan. Pastilah, sehingga saat ini — sudah banyak yang berlaku; pengalaman, perihal keluarga, persahabatan atau pertemanan, perihal kerja sehari-hari, perihal memikirkan masa depan, berkenalan dan bertemu dengan orang baru, menimba pelbagai ilmu dan pengalaman. Semuanya hal-hal yang telah dan bakal dilalui setiap dari kita. Tentulah juga, sepanjang tempoh tersebut pelbagai perasaan yang kita telah rasai; gembira, suka, terharu, sedih, terkilan, sebak dan pelbagai emosi yang mungkin hanya diri kita sendiri dan Tuan Punya Dunia sahaja yang tahu.

Tapi persoalannya, adakah sehingga kita sudah menjadi lebih baik dari sebelumnya atau masih seperti diri kita yang lama, atau semakin bertambah teruknya kita terhadap diri sendiri? Persoalan ini, demi Allah, adalah soalan untuk diri saya sendiri terutamanya. Sedih. Kawan, semoga apapun yang sudah berlaku dan sedang berlaku serta sedang kamu hadapi sekarang dalam hidup, semoga kamu tabah dan tetap menjadi seorang manusia yang baik terhadap semua orang di sekeliling. Jangan pernah berubah hanya kerana masalah atau cubaan yang sedang kamu hadapi.

Beginilah, aku datang menitip pesan di dalam dunia alam maya ini untuk diri sendiri. Semoga tetap menjadi manusia, Suhana. Semoga tetap menjadi seorang yang ikhlas, yang rendah hati; kalau ada salah dan silap, minta maaf dan perbaiki, semoga tetap tahu diri dan tidak berlebih-lebih, tetaplah menjadi manusia yang baik kepada orang tua dan orang sekeliling — ingat Allah tidak pernah tidak tahu apa yang kau lakukan, sama ada yang orang lihat dan yang orang tidak lihat serta yang orang dengar dan yang orang tidak dengar.

Semoga Allah merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *