Bulan Disember, tahun 2023.
Siapa sangka dalam tempoh menghampiri satu tahun itu, terlalu banyak hal-hal yang berlaku. Sebutkan saja; hal-hal yang indah dan bahagia, hal-hal yang kurang menyenangkan tapi memberi pelajaran, hal-hal kehidupan yang tidak pernah terbayangkan oleh diri kita semua. Bertemu dengan ramai orang yang sebahagiannya menjadi seseorang yang boleh kita sebut sebagai ‘kawan’, yang boleh kita duduk semeja tertawa usik mengusik bersama-sama, yang boleh kita andalkan kebersamaan mereka dalam aktiviti yang kita rancang untuk lakukan bersama. Kesempatan kerja yang mengajar kita erti berurusan dengan jiwa dan fizikal manusia, kerja yang menemukan kita dengan banyak karenah manusia. Beberapa bulan sehingga kini yang tidak mudah untuk setiap dari kita. Bahkan ada waktunya yang membuat kita berfikir dalam mengenai diri kita dan perjalanan takdir yang Tuhan aturkan untuk kita.
I would say, tiada apa yang dikesali. Sama ada suka atau duka, semuanya memberi warna dalam kehidupan. Apa yang berlaku dalam kehidupan kita sebenarnya membentuk siapa diri kita dan perjalanan hidup kita. Setiap yang berlaku dan orang yang kita temui itu, bukanlah sekadar kebetulan. Tapi semuanya ada hikmah yang mungkin kita tidak nampak sekarang ini, tapi memberi kesan dalam pengalaman kehidupan kita. Tiada yang sempurna, begitu jua diri kita.
Ditengah kesibukan menyiapkan tugasan, barulah ada semangat untuk kemaskini blog yang sekian lama ditinggalkan ini. Entahlah, tapi semoga tetap semangatlah ya. HAHAHA! Terlalu banyak cerita yang mahu dikongsikan di sini. Hal-hal yang tidak bisa diluahkan melalui bicara, tapi ringan untuk diketikkan. Ada beberapa yang tergendala, yang mungkin perlu diteruskan semula. Fokus menguruskan kehidupan; seru semula semangat seorang Suhana beberapa tahun yang sudah walaupun dirinya penuh ragu-ragu terhadap diri sendiri tetap melangkah, yang penting sampai ke penamat garisan.
Jadi jangan berputus asa, kawan! Hidup takkan sentiasa yang manis saja, tentu ada pahitnya yang membuatkan kita tidak sanggup untuk menelan tapi terpaksa telan kerana tiada pilihan. Tapi cuba teka? Kita masih hidup dan terus berusaha, yang masih meletakkan tujuan hidup kita adalah redha Tuhan. Yang tahu dan faham bahawa kita perlukan Dia, dan yakin bahawa Dia takkan membiarkan kita walau adakalanya kita merasa harapan itu seolah-olah sudah tiada – Tuhan takkan membiarkan kita, kawan!
Jalan saja terus!