Ada Sebab dari Tuhan

Kenapa perlu kau merasa sunyi disaat semua orang tidak ada untukmu. Kenapa perlu kau mencari-cari seseorang untuk dipersalahkan atas rasa kesunyian dan kesepian dirimu, walhal seseorang yang lain itu mungkin juga sedang berjuang berhadapan dengan realiti hidupnya.

Kau tahu, itu masalah manusia yang ada di sekelilingmu, mereka yang jahat atau bermuka-muka sahaja; bila memerlukan seseorang mereka datang kepadamu, bila kau memerlukan mereka, ternyata mereka tiada masa untukmu. Atau ketika mereka memerlukan pertolongan, mereka meminta kepadamu, bila kau memerlukan pertolongan mereka tidak mampu untuk menolongmu lalu timbul sebab untuk diberikan alasan kepadamu.

Aku tidak nafikan, situasi-situasi itu sememangnya sangat menjentik hatimu.

Wujud sahaja manusia yang memanfaatkan orang lain untuk kepentingan sendiri. Memang wujud manusia yang apabila terkapai-kapai, maka dia pandai mencari seseorang yang boleh menolongnya. Tetapi apabila orang lain memerlukan dia, dia dengan sengaja beralasan banyak.

Tapi itu dari sisinya dia. Manusia begitu, bukanlah dirimu yang sebenarnya. Mahukah kau aku ceritakan bagaimana pula dari sisimu yang patut kau pertahankan tanpa perlu merasa bahawa dirimu adalah seseorang yang sangat kasihan? Yang tidak dipandang dan diambil berat sebagaimana kau seikhlasnya sentiasa ada untuk orang lain? Mahukah kau bertenang seketika?

Sekarang ini fikirkan dirimu. Hanya dirimu. Ada sebab kenapa Allah izin untuk orang hadir dan memerlukan pertolongan darimu. Ada sebab kenapa Allah menjadikan dirimu untuk terus merasa simpati dan empati lalu memberikan pertolongan selayaknya kepada orang lain. Semuanya tidak kebetulan.

Fikirkan itu sahaja, ADA SEBAB kenapa Allah izin. Dan Allah, tidak pernah mahukan sesuatu yang bisa membuat dirimu binasa melainkan Allah menginginkan kebaikan kepadamu. Ada sebab. That’s it!

Jangan Hilang Dirimu

Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, kita ini manusia jenis yang bagaimana? Kita ini manusia baik yang telus hatinya, atau kita ini manusia yang baiknya bersyarat sesuatu. Atau setidak-tidaknya, pernahkah kita meneliti diri kita seperti apakah perangai kita. Soalan paling penting,

“ADAKAH KITA SEORANG MANUSIA YANG JUJUR KEPADA ALLAH?

Sekiranya kita diberikan soalan, “Adakah kamu suka dan senang terhadap dirimu sendiri?” Jawapan seperti apakah yang akan kita lafazkan untuk persoalan itu. Sekiranya ada keberatan didalam hati untuk menjawab persoalan itu sejujurnya, mungkin kita perlu berhenti dan berfikir sejenak.

Keterlanjuran-keterlanjuran yang telah kita lakukan dalam kehidupan, itu tidak lain adalah satu tanda bahawa kita ini tiada upaya, hanyalah seorang manusia hina. Hina kita bukan sesama manusia, tetapi hina kita adalah kepada Allah.

Ada satu perkara yang memang perlu kita selalu peringatkan. Lebih-lebih lagi kepada diri sendiri dan orang lain. Dalam dunia ini sehingga hayat kita pada saat ini, banyak sekali yang sudah kita lakukan. Mari kita berbicara dengan aksara sejujur-jujurnya. Ada kebaikan yang kita sudah lakukan. Dan tanpa menafikan atau berbohong kepada diri sendiri, tidak ketinggalan ada juga keburukan yang kita lakukan. Itu fakta yang tidak dapat disangkal.

Kita adalah manusia yang sering hilang pertimbangan akalnya. Yang berbolak balik hatinya. Yang selalu resah pemikirannya. Itulah antara ciri-ciri seorang manusia. Bahkan, kita adalah sosok tubuh yang kerap merasa kehilangan arah dalam hidup. Kita mungkin sedang atau pernah berada dalam persimpangan diantara iman dan nafsu godaan keindahan dunia. Pernah saja kita mengikut keinginan nafsu untuk lebih menyimpan dunia didalam hati kita berbanding meletakkan Allah dalam fikiran dan hati kita. Betul, kan?

Kehidupan zaman ini sangat mencabar. Jangan menafikan hal ini. Aku tahu, dan aku faham benar. Tidak hanya daya tolakan dari keluarga, masyarakat, malah kita juga tidak terlepas untuk menolak diri kita dalam situasi dunia sekarang yang seakan-akan sering berlumba-lumba untuk mencipta nama dan kejayaan. Sehinggakan kita pernah terfikir sendirian, apakah orang yang tidak terkenal kejayaan dan namanya itu masih belum cukup berjaya?

Kadang-kadang tanpa sedar, kita seakan-akan kehilangan diri.

Kalau kamu tanya, masih adakah peluang untukku setelah sekian banyak perkara dosa yang sering aku lakukan? Kalau kamu berkata, manusia pun tidak akan sudi mendekatiku setelah tahu perihal dosa-dosaku. Lalu kamu bertanya, apatah lagi Allah, adakah masih mahu menerima aku?

Persoalanku, kepada siapa kau utarakan semua persoalan itu?

Cuba lihat sekelilingmu, kawanku. Ada manusia. Manusia yang sepertimu. Adakah kau mengira hanya dirimu sahaja yang melakukan dosa? Hanya dirimu sahaja yang selalu mengingkari janji-janjinya? Dirimu sahaja yang selalu terjatuh dalam lembah dosa-dosa yang menyesakkan dadamu?

Tidak, kawanku. Kita semua manusia sama sahaja. Ada dosa dan aibnya.

Beza kita semua adalah yang mahu sedar dengan perbuatan kita dan kita mengambil tanggungjawab terhadap perbuatan kita itu. Kita merasa terhina kepada Allah SWT, dan kita punya rasa dalam hati untuk menebus segala perbuatan yang kita rasa membuat Allah marah itu dengan suatu perbuatan yang bernama TAUBAT. Dan taubat itu tidaklah kerana merasa terhina dengan manusia. Melainkan merasa hina dengan diri sendiri dan kepada Allah.

Satu hal yang perlu kau tahu, kawanku.

Tiada siapa dapat merampas cinta Allah kepada kau, sekiranya Allah mencintai kau. Dan tiada siapa dapat merampas SEBUAH TAUBAT jika kau mahukannya.