Untuk Jiwaku Yang Sedang Marah

Kau sudah tahu benar apa erti perasaan marah. Entah marah pada diri sendiri, marah pada keadaan, atau marah kepada seseorang. Marah yang kau tahu benar, adalah marah yang diiringi dengan perasaan kesedihan, yang mahu kau hamburkan semahunya. Yang selalunya akan berakhir dengan tangisanmu dikala sendiri. Sehingga kau berdamai dengan ‘menangislah jika itu melegakan jiwa kau’.

Hidup memang tidak mudah, bukan?

Dan akhirnya, selepas tangisan itu reda dengan jiwa yang suram kau mencapai pen dan kertas. Seterusnya menulis di alam maya seperti ini. Adakah tujuanmu untuk memberitahukan kepada khalayak? Tidak. Ini terapi bagi diri kau. Setiap orang melalui liku kehidupan yang berbeza.

Setiap hari. Setiap masa.

Apa pelajaran yang boleh kau ambil dari perasaan marah yang mencengkam jiwa kau sehingga akhirnya cair menjadi tangisan? Adakah semua itu tidak diketahui oleh Allah? Adakah semua yang sedang berlaku dalam hidup kau, perasaan kau, niat dan usaha kau tidak mendapat perhatian dari Allah Ta’ala?

Tidak, wahai diri. Allah tahu terperinci setiap kejadian dalam hidupmu.

Koreksi Diri Sendiri

Kau tahu, kau boleh saja salahkan orang lain kerana perasaan yang kau rasa sekarang. Mungkin suatu kejadian itu timbul kerana memang ulah orang lain, dan kau mendapat kesannya sehingga mengganggu ketenteraman jiwa kau. Mungkin juga kejadian yang berlaku, ada hubungkaitnya dengan diri.

Apapun hakikatnya, tanggungjawab kau sekarang yang paling utama adalah bagaimana kau sendiri mengendalikan jiwamu dan amarahmu. Kerana tiada orang lain yang akan dapat mengubati perasaan itu yang tidak kelihatan dimata. Kau boleh khabarkan kepada satu dunia apa yang membuatmu marah dan membuatmu menangis. Tapi persoalannya, akan legakah jiwamu yang marah itu?

Jika kau marahkan diri sendiri, apakah kau merasa lega?
Jika kau marahkan situasi, apakah situasi akan terus berubah?
Jika kau marahkan seseorang, adakah selepas itu semua akan selesai?

Memang tidak akan mudah. Kau pun tahu akan hal itu. Tambahan, bukan pertama kali rasa amarah yang sebegini kau alami. Kau seharusnya sudah mahir dalam ketidakpedulian terhadap semua faktornya, dan lebih fokus kepada diri kau sendiri. Perbaiki diri kau.

Semoga Allah tidak membiarkan kau kepada diri kau sendiri.

5 April 2021.
23.57.

Kenapa Aku Tidak Bersyukur?

Dunia yang semakin memuja kemajuan, pangkat dan kedudukan membuatkan ramai dalam kalangan manusia menjadi orang-orang yang lupa untuk melihat perkara-perkara kecil dalam kehidupan yang perlu disyukuri. Dunia sedang bergerak maju, laju dan pantas. Jika kita melihat sekilas perjalanan dunia, semua orang sedang berlumba-lumba untuk menjadi orang yang berjaya; ada jawatan dan duit yang banyak. Seolah-olah, memperolehi segalanya di dunia ini akan mendorong seseorang untuk menjadi yang ‘berjaya dan bersyukur’. Adakah keberjayaan kita dalam hidup akan membuatkan kita bersyukur?

Cuba fikirkan sejenak.

Pernah tak kita mengalami situasi ini di suatu hari dalam kehidupan kita; kita bangun subuh, membawa jasad yang berat membersihkan diri, melaksanakan hak Allah, dan di tikar sejadah atau mungkin sesudah itu, kita terfikirkan sesuatu. Apa dia? “Apakah aku sudah banyak bersyukur dalam hidup ini? Adakah diri aku layak digelar sebagai sebahagian dari golongan ‘orang yang bersyukur’?” Sejujurnya, saya pernah. Diri sendiri yang menanyakan soalan itu kepada diri sendiri, tapi saya jadi malu untuk menjawabnya.

Continue reading “Kenapa Aku Tidak Bersyukur?”

Fitnah Bersalut Dusta

Terpalit dengan kedustaan
sungguh menyakitkan
lebih lagi apabila kedustaan itu —
dari seseorang yang tidak asing
lembut berjalan di benangan sutera.

Jiwa manusia itu —
pengajaran.
Boleh jadi kerana nafsu dunia
boleh jadi memang kerana jiwanya.

Yang terkesan,
pasti terkesan selamanya.
Parut yang tercipta,
jadi penghuni ingatan waspada setia.

25122019
10224C

Kesempurnaan Yang Dicari

Selalu kita manusia ini, sebelum memulakan sesuatu, antara perkara lain yang kita fikirkan adalah KESEMPURNAAN. Perkataan yang kerap bermain di minda siang dan malam, “Apakah sempurna nanti jika aku berbuat sekian dan sekian?” Kesempurnaan yang kita bayangkan adalah dengan kita tidak membuat kesilapan, dengan kita tidak jatuh air muka atau jatuh standard dimata orang lain. Dan mungkin juga kerana kita tidak mahu berasa malu dengan ketidaksempurnaan yang bakal berlaku kerana hal itu akan membuatkan harga diri kita tercalar.

Adakah ketidaksempurnaan itu terlalu hina untuk dilakukan? Atau sebenarnya diri kita sendiri yang bermasalah untuk menghadapi dari secebis kehidupan kita sebagai seorang manusia yang hakikatnya jauh daripada kesempurnaan?

Bukankah ketidaksempurnaan kita sebagai seorang manusia itu seharusnya mendorong kita untuk menjadi yang terbaik dalam setiap usaha yang kita lakukan? Menjadikan kita seseorang yang memberikan yang terbaik, kerana kita tidak sempurna, dan menyerahkan hasilnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala setelah kita melakukan sehabis baik? Tanpa seharusnya ada sekelumit kesempurnaan yang memasuki pemikiran kita untuk memuaskan manusia.

Continue reading “Kesempurnaan Yang Dicari”