Surat Terakhir: Nyawa Di Hujung Tanduk

Saya, Suhana Amiril.

Setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk menitipkan pesan lewat blog saya ini. Kepada kawan-kawan yang mengenali diri saya, untuk makluman tempat saya sekarang sudah sangat teruk. Bangunan di sana sini sudah banyak yang musnah. Korban mangsa keganasan ini dari dalam kalangan kawan-kawan dan saudara saya sendiri sudah banyak meninggalkan kami di sini.

Bunyi bom sudah menjadi siulan di telinga yang diiringi doa dan teka teki di manakah bom tersebut bakal mendarat dan memusnahkan bangunan dan membunuh manusia. Peluru yang tiada mata dan ihsan ibarat angin yang menerpa laju meragut nyawa-nyawa yang tidak bersalah. Kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua menjadi dalam ketakutan. Tiada lagi senyum bahagia.

Continue reading “Surat Terakhir: Nyawa Di Hujung Tanduk”

Allah Mengenal Sedalamnya

Seseorang yang bahagia itu selalunya akan jelas kelihatan pada raut wajahnya. Banyak waktu wajahnya seakan-akan bercahaya, senyumannya mekar sederhana. Dan lebih indah jika bahagia itu adalah kerana baiknya hubungannya dengan Allah.

Selalunya kita ini apabila dalam keadaan hubungan dengan Allah SWT baik, solat terjaga, amal ibadah tidak ditinggalkan serta iman dalam kondisi yang berbunga, sangat mudah bagi kita untuk mengucapkan puji-pujian kepada Allah. Allah itu Maha Pengasih, Allah Maha Penyayang, Maha Memahami, Maha Mengampuni. Semuanya betul. Allah Maha Baik dalam segala hal. Itu fakta selamanya.

Tapi lain pula halnya jika kita sedang berada dalam fasa ‘down’ dalam hidup. Hati yang terluka, minda yang letih, jasad yang sudah penat dengan segala hal yang berlaku dalam hidup, boleh jadi membuatkan kita tidak mudah untuk berkata sesuatu tentang memuji Allah. Dalam fasa begini, perasaan kita bercampur baur. Kadang-kadang mungkin terselit rasa rajuk kita terhadap Allah. Pun begitu kita masih yakin yang Allah memegang kehidupan kita dan sesekali tidak akan membiarkan kita selagi kita masih bersama-sama Dia, tetap sahaja dalam keadaan hidup dan jiwa kita diasak dengan pelbagai ujian kita adakalanya berat untuk kita memuji Allah dengan setelusnya. Hakikatnya, kita ini manusia biasa.

Continue reading “Allah Mengenal Sedalamnya”

Kau

Seusai maghrib tadi, aku mendapat panggilan. Ternyata dari kau. Aku mengangkat panggilanmu dengan suara yang mendatar bersahaja. Tidak tahu apa yang perlu aku bicarakan secara tiba-tiba. Tanpa berlengah, kau menyatakan hasratmu untuk mengajak keluar makan. Aku yang dalam keadaan ya atau tidak, ikut sahaja.

Sudah lama tidak makan berdua begini. Ada sesuatu yang aku rindukan; rindu saat dan ketika kita makan bersama-sama dengan penuh tenang dan hati yang lapang. Dan ya, aku masih dengan pendapatku yang telah sekian lama, bahawa waktu makan waktu yang penting apatah lagi apabila kita tidak makan bersendirian. Jika mahu bercerita untuk banyak hal, aku suka itu. Namun elakkanlah berbicara di hadapan rezeki yang Allah kurnia akan hal-hal buruk manusia lainnya.

Untuk hari ini, aku semadikan di dalam blog ini. Agar bisa kuingat, pelawaanmu itu sesuatu yang bermakna bagiku. Walau kita tidak makan di restoran mewah, tetapi hanya sekadar di tepian jalan. Jujurnya, kerinduanku terubat walau seketika.

πŸ™‚

Masih Adakah Esok Untukku

β€œDan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (al-Baqarah: 177)

Kamu.

Aku mungkin tahu bagaimana rasanya perasaanmu. Yang merasa penat, selalu berair mata. Yang merasa diri terbatas untuk hal-hal yang mahu kau lakukan. Yang hatimu gusar menjadi bersarangnya diantara dilema untuk sebuah cita-cita dan kebahagiaan dengan sebuah tanggungjawab dalam kehidupan.

Aku juga mungkin bisa mengerti apabila rasa rendah diri menyapa kau dalam senyap. Bisik-bisik minda yang menyatakan kau tiada apa-apa berbanding yang lain. Rasamu yang terlalu sangat mahu tampil yang terbaik buat insan-insan yang kau sayangi. Tetapi akhirnya, kau menangis sendirian dan sedar kau masih belum cukup kuat untuk berdiri. Aku tahu rasamu, kau mahu menjadi yang berbakti.

Aku tahu bagaimana impianmu tidaklah sebesar menakluk dunia. Cukup hidup aman yang jauh dari kota sibuk dengan penghuni yang berlumba-lumba untuk kelangsungan hidup. Aku tahu benar mahumu untuk hidup di pinggiran desa, yang kau impikan biar dekat dengan pantai dan lautan dan kau bisa berkarya sebebasnya. Namun sekali lagi, tukul-tukul prioriti datang memecahkan impianmu. Tidak, bukan salah perkara prioriti itu. Dan aku tahu bahawa kau sedar, semahu apapun kau dengan impianmu, ada yang perlu kau lupakan.

Apapun sebabnya, aku pasti itu tidak bermakna kau lali dan penat dengan impian-impianmu. Dan bukan juga sebagai tanda kau bacul untuk tidak berani menggapai yang kau mimpikan. Tapi tidak mengapa ketika kau merasa bahawa tiada satu orang pun yang memahami perjalanan hidupmu.

Kerana tidak semua, orang luar itu perlu fahami dan ketahui.

Untuk hal-hal yang kau sabarkan dalam hidup, percayalah dan yakinlah bahawa Allah tidak pernah tidak menghitung untuk segala sesuatu yang kau korbankan. Kerana sampai masa, pasti Dia akan tunaikan impianmu dengan cara Dia sendiri.