Berbagi Kata Nasihat

Apa mungkin meminta nasihat secara tiba-tiba itu adalah sesuatu yang aneh dalam kalangan kita? Atau mungkin juga tiada angin tiada ribut seseorang yang meminta nasihat itu sepertinya seseorang yang hanya sekadar meminta perhatian dari manusia lainnya? Sejujurnya saya jadi tertanya-tanya. Adakah perkara seperti meminta nasihat dari orang itu kurang diamalkan, atau mungkin menjadi sesuatu yang asing dan merupakan satu tindakan yang membuatkan orang segan.

Apa-apa sahajalah tanggapan orang lain mengenai hal tersebut. Tapi jujurnya, untuk diri saya sendiri. Saya suka untuk meminta nasihat. Dan bila saya meminta nasihat, tidaklah bermaksud setiap masa saya berada dalam kedukaan. Kerana saya itu berpegang pada pendapat saya sendiri bahawa, nasihat itu umpama bekal perjalanan. Apa-apa sahaja sepotong nasihat atau nasihat yang berjela-jela yang orang kongsikan, insya-Allah yang baik-baik dan ada hikmahnya.

Pernahkah orang lain meminta nasihat dari kita? Kalau pernah, tahukah kalian nasihat yang kalian berikan itu ada impak atau kesan tersendiri dalam kehidupan orang yang anda berikan nasihat? Kita takkan tahu. Tapi dia dan Allah SWT tahu.

Adakalanya sepotong nasihat itu, mungkin sudah selalu kita dengari dan tiada kesan apa-apa pada diri kita. Boleh jadi kerana keadaan kita yang tidak memerlukan nasihat itu. Tetapi tidak bagi orang lain. Boleh jadi sepotong nasihat yang biasa-biasa pada kita itu, adalah sepotong nasihat yang memberikan semangat membara kepada dirinya. Kenapa saya katakan begitu? Kerana saya juga pernah berada dalam keadaan seseorang yang mendapat sepotong nasihat, dan nasihat itu memberikan kesan yang mendalam terhadap diri saya sendiri.

Dua hari lepas, saya ada mengemaskini status FB saya untuk meminta sedikit nasihat semangat. Adakah itu saya bermaksud attention seeker? Bukan, tidaklah sama sekali seperti itu. Bagi seorang introvert, tidaklah penting perhatian orang ramai terhadap dirinya. Tapi status saya itu, saya betul-betul maknai. Dan saya berterima kasih kepada yang sudi berusaha menaip dengan jari-jarinya untuk meninggalkan sedikit nasihat. Semoga Allah balas dengan kebaikan.

Tidak ramai yang memberi nasihat. Tapi yang sedikit itu saya berterima kasih.

Mahukah kalian membaca dengan lebih lanjut lagi tulisan saya pada entri ini? Kerana saya mahu berkongsi kisah pendek tentang seorang A.

Pernah dulu, A sudah diambang berputus asa dalam hidupnya. A terasa seolah-olah hidupnya memang sudah ditakdirkan dengan kesusahan. Jadi memang dia sudah tekad, biarlah hidupnya apa adanya kerana Allah sentiasa memberikan ujian tanpa memberikan khabar gembira. Tetapi tiba-tiba suatu hari, dia menaiki bas. Sedang dia dalam bas, dia terjumpa sekeping kertas yang kecil mengandungi tulisan. Tulisan di atas kertas tu adalah,

“Tuhan takkan uji kau dengan yang kau tak mampu.”

Tahukah kalian, kata-kata dalam kertas itu sangat biasa kita dengari? Tetapi bagi A, airmatanya mengalir baca nota kecil itu. Dan itu merupakan antara turning point yang penting dalam hidupnya. Dia sedar selama ini, jasadnya dekat dengan Tuhan. Tetapi tidak hatinya. Dan yang menyedarkan dia, nota kecil itu. Nota yang diselitkan di belakang kerusi yang berada di depan A. Mungkin telah diselitkan oleh seseorang yang pernah duduk di kerusi yang diduduki oleh A.

Nasihat itu, pendek. Nasihat itu, tanpa suara.

Tetapi siapa tahu bahawa nasihat itu sangat berguna kepada seseorang, kan. Tulisan biasa, tulisan rumi dan bukannya tulisan arab. Malah tulisan itu biasa-biasa sahaja indahnya namun mesejnya sangat memberikan impak kepada A.

Kau tahu, kadang-kadang kita tidak tahu nasihat yang bagaimana yang kita perlukan. Dan kita tidak tahu, nasihat kita yang mana yang boleh membantu seseorang dalam hidupnya. Walau secara logiknya, itu hanyalah nasihat dan bukannya wang ringgit yang berjuta. Mungkin juga kerana itu nasihat itu sangat dituntut dalam agama. Dan saya percaya sangat bahawa, manusia seperti kita memang perlu kepada nasihat selagi nyawa dikandung badan.

Dan, oh! Jangan kita lupa antara hak saudara Muslim kita yang wajib kita penuhi adalah ketika dia meminta nasihat, maka kita wajib memberikan nasihat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *