Kehidupan ini bagaimana ya? Semakin kita bersoal-soal mengenai kehidupan, semakin kita menemukan banyak pertanyaan dari pelbagai hal. Makin sarat jiwa dan fikiran kita mengenai sebuah kehidupan yang pasti saja banyak juga hal-hal yang tidak menemukan jawapan sesungguhnya. Selalu saya percaya bahawa kehidupan itu adalah antara salah satu yang misteri dan tidak terduga di dunia.
Pasti saja kehidupan tidak seperti kita mencipta sebuah cerita tentang watak-watak yang kita suka, atau jalan cerita yang sesuai dengan kemahuan kita. Kerana itu adalah ciptaan kita tentang perjalanan kehidupan orang lain. Kita tahu bagaimana mulanya kehidupan watak di dalam cerita tersebut, dan sesuai dengan kemahuan kita pula kita mengakhiri jalan cerita itu.
Pagi semalam saya menjenguk dapur usai waktu subuh. Insomnia semalaman membuatkan perut jadi lapar pagi-pagi lagi. Saya berdiri memandang kiri kanan mengenal pasti bahan-bahan untuk membuat nasi goreng. Pertama sekali yang perlu diperiksa adalah nasi tinggalan semalam, apakah masih berbaki atau sudah habis? Ternyata masih ada sesuai dua atau tiga orang makan. Saya cuma mengambil sebanyak yang saya mahu makan.
Kita expect apa untuk bahan-bahan nasi goreng? Tentulah bahan asas dalam dapur. Saya ambil bawang putih, bawang merah dan dua biji cili padi ditumbuk menggunakan lesung. Mata saya menangkap sayur kacang beberapa batang dan sayur sawi yang entah tinggal berapa helai sahaja lagi. Saya potong dan cuci.
Saya ambil telur sebiji. Bahan-bahan ditumbuk tadi saya tumis sekejap sampai keluar bau yang wangi. Mesti jiran sebelah tertanya-tanya, siapakah yang menumis pagi-pagi ini mengganggu ruang tekak sahaja. Tapi tak kisahlah. Saya masak dalam dapur orang tua saya, dan perut saya lapar. Selepas itu saya campakkan sayur. Setelah itu saya campak telur dan kacau hingga sebati serta masukkan garam dan perencah pengganti ajinamoto dari Philippines.
Gaul bagi rata semua bahan-bahan. Dannn, siap! Saya makan nasi goreng di luar rumah dengan bahagia dan memuji-muji masakan sendiri.
Jadi kaitan sebenar nasi goreng dengan kehidupan itu bagaimana? Apa tidak sebenarnya topik ini sudah lari jauh? Awal-awal tadi kan bicara mengenai kehidupan, selepas itu nasi goreng yang tiada perkaitan.
Perjalanan kehidupan ini persis bahan-bahan nasi goreng tadi. Atau kalau tidak mahu mengambil contoh hasil dari masakan saya yang dipuji-puji sendiri, boleh saja ambil contoh dari bahan masakan yang lainnya. Setiap satu bahan itu ada peranannya, ada rasanya tersendiri. Yang bila kesemuanya bergantung, akan menghasilkan satu makanan yang sedap. Ya, kita semua akui ini.
Tetapi cuba sekiranya kita makan bahan-bahan itu mentah-mentah. Bawang putih kita makan beberapa ulas begitu sahaja, bawang merah dan cili padi. Minyak masak pula kita minum bagaikan air. Garam dan perasa lain kita telan bulat-bulat. Nasi kita kunyah tanpa ada apa-apa campuran. Apakah rasanya sama seperti rasa makanan yang sudah dimasak? Ya, tidak kan. Walaupun sebenarnya bahan-bahan yang kita makan satu demi satu itu sama sahaja dengan bahan-bahan nasi goreng yang dimasak dengan baik. Tetapi rasanya tetap jauh berbeza. Maka hidup ini seperti itulah. Persis bahan-bahan masakan yang bila dimasak dengan baik, akan terhasil makanan yang enak dan menyelerakan. Siap boleh bertambah lagi!
Kerana hidup ini ada fasa sendiri dan tingkatan yang semua manusia perlu lalui.
Kita perlu melalui fasa yang banyak dalam hidup ini sebelum mendapat dan merasa sebuah pengertian bagi kebahagiaan dan makna dalam hidup. Semua itu tidak akan tercapai dengan hanya kita berbisik kecil dalam hati lalu POP! semua terhasil di hadapan mata dengan hanya sesaat cuma. Ya kalau begitu, itu kita faham cuma wujud dalam drama atau movie dan juga novel. Semua itu karangan dan ciptaan manusia yang bias kepada keinginan dan jelas sekali tersusun elok. Tetapi kehidupan kita ini, bukan karangan dan rekaan manusia. Kehidupan kita ini, adalah ciptaan Allah. Allah, yang menginginkan kebaikan pada semua ciptaan-Nya.
Kamu tahu, kadang-kadang kita itu terasa hidup ini Allah campakkan ujian demi ujian. Belum lagi reda ujian yang sebelum ini, kita berdepan pula dengan hal lainnya. Jujurnya, apa yang kita rasa waktu itu adalah keberatan pada jiwa. Itu belum lagi ya kita bicara soal penat sungguh fizikal kita dengan hidup sehari-hari.
Kita rasa penat. Kita rasa sedih. Rasa mahu give up dalam hidup.
Sebab kita manusia ini, belum nampak apa yang Allah sediakan atau apa yang Dia akan bagi kepada kita di masa depan. Terasa beratnya jiwa kita, kerana kita belum nampak keindahan disebalik ujian yang sedang kita hadapi. Kita tidak nampak masa depan dengan ujian yang memenatkan ini. Rasa hidup ini, ya Tuhan berapa lama lagikah aku harus menanggung beban dijiwa.
Tapi tahukah kita, atau kita berpura-pura untuk tidak mahu tahu? Sebenarnya kita itu memang harus mengaku, kan. Bahawa setiap ujian yang Allah datangkan itu membentuk diri kita dengan lebih baik. Atau paling tidak, menempatkan kehidupan kita dari satu fasa ke fasa yang lain. Sama ada mahu menipu diri sendiri atau jujur kepada diri sendiri, akhirnya sampai saat nanti bila kita menoleh ke belakang melihat kehidupan kita selama ini kita akan bermonolog sendiri,
“Setiap kejadian sekian dan sekian membawa aku kepada kehidupan dan pengalaman yang lebih baik. Fikir-fikir balik, bagus jugalah. Syukur..”
Itulah kehidupan. Seperti sebelum terhasilnya nasi goreng dengan bahan-bahan yang leceh. Namun apabila dimasak dengan baik, bahan-bahan yang banyak dan leceh tadi itu menjadi satu. Dan hasilnya? Nasi goreng yang sedap. Sedap itu subjektif, kan. Sedap bagi kita, mungkin kurang sedap bagi orang lain. Tapi kau tahu? Yang penting itu adalah apa yang kita rasa, walau tanpa menafikan pendapat orang lain. Kerana masakan kita atau perjalanan kehidupan kita, tiada siapa akan menghargai setelusnya melainkan kita sendiri yang mahu menghargai.
Dan Allah, menghargai kita dengan cara-Nya sendiri.