Sehari sahaja lagi, dan selepas itu menjengah ke bulan November. Bermakna, tahun 2016 itu semakin mahu melabuhkan tirainya. Meninggalkan seluruh manusia yang selalu menghitung-hitung hari dan waktu sepanjang tahun ini. Tiada yang luar biasa pada keadaan tersebut. Tetapi saya itu mengira-kira diri sendiri. Memaksa minda membuka layarnya sepanjang kejadian atau pencapaian diri sendiri sepanjang tahun 2016 sehingga saat ini. Saya bertanya kepada diri, puaskah saya dengan usaha saya? Atau memang masih banyak yang kurangnya?
Sudah tentulah, ada yang saya sendiri puas dan syukur. Tidak kurang juga ada yang saya masih tidak dapat capai untuk cabaran terhadap diri sendiri. Dan hal itu mengajar saya juga sebenarnya. Mengajar saya tentang hal-hal yang kita suka dan mahu, tidak selalu kita dapatkan. Tidak selalu kita berpeluang lunaskan. Kerana, ada banyak hal yang tidak dalam pengetahuan kita itu baik buruknya, tetapi Allah SWT lebih tahu dan memberikan kepada diri kita sekadar yang kita perlu.
Kehidupan itu ya misteri. Rumit adakalanya, ya juga. Tapi itulah kehidupan. Kalau kita perasan, hal-hal yang kurang enak pada penerimaan diri kita itu yang akhirnya akan menjadi kemanisan dalam ingatan dan kehidupan kita. Selalu saja, perkara demikian mengajarkan kita banyak hal dalam kehidupan. Kalau tiada bolak balik dalam soal kehidupan seorang manusia, itu bermakna dia tidak hidup sesungguhnya. Namanya juga dunia adalah medan ujian bagi kehidupan.
Oh ya, kejadian petang tadi. Saya tertarik dengan kawanan burung yang terbang di udara. Mendongak ke atas, saya tersenyum sendiri. Suasana ini sepertinya saya rindukan sudah terlalu lama. Suatu rasa gembira terbit dalam jiwa melihat burung yang dalam formasi tersendiri terbang bersama-sama. Ada iramanya tersendiri.
Saya jadi teringat, bagaimana sewaktu kecil dulu ketika berada di Filipina. Setiap petang, saya akan menantikan saat-saat matahari menyembunyikan diri. Dan menjelang maghrib, ruang udara di kawasan rumah kami tidak sunyi dari laluan burung-burung mahu pun kelawar. Dan saya, akan selalu mendongak melihat kejadian itu pada setiap petang sebelum digesa untuk mandi oleh nenek.
Waktu kecil dulu, saya mungkin tidak terfikirkan hal ini dan mengambil pelajaran dari burung-burung yang selalu melintas di atas saya pada setiap petang untuk balik ke sarang masing-masing. Tetapi semakin dewasa, saya belajar satu hal dari peristiwa tersebut. Burung selalu diertikan dengan makhluk yang bebas untuk ke mana-mana. Malah tidak keterlaluan, ada yang mengadu mahu menjadi seperti burung yang terbang ke mana saja yang ia suka. Kerana sifat hidupnya yang bebas.
Dan hal itu sangat memberi pengajaran kepada saya. Bagaimana?
Terbang bebaslah seperti seekor burung, ke mana sahaja yang kita suka. Lepaskan jiwa-jiwa kita sebebasnya asalkan masih dalam lingkungan batasannya. Terbang ke sana sini, berbuat itu dan ini, melihat banyak tempat dan mengalami perkara-perkara baru. Mengetahui hal-hal yang tidak pernah diketahui. Lakukan hal-hal yang kita suka dan capailah apa sahaja cita. Namun, bila sampai waktunya untuk pulang kembali ke sarang.. Maka burung akan tetap pulang.
Paling tidak, biarkanlah jiwa kita bebas. Dan tidak terbelenggu dengan perkara-perkara keduniaan yang merosakkan hubungan kita dengan Tuan Punya Dunia. Jiwa kita, bisa sebebasnya untuk merasa bebas. Asalkan kita tahu bahawa kebebasan kita, bukanlah kebebasan yang tidak berTuhan. Kerana kita seorang manusia, tiada kebebasan yang bertujuan untuk keburukan atau memudaratkan diri sendiri. Bebaskan jiwamu, sebebas apa yang kau mahu.
Kerana kau tahu? Tidak semua yang bebas jasadnya itu, adalah seseorang yang bebas jiwanya. Ramai dalam kalangan manusia yang membiarkan jiwa sendiri terperangkap kerana mengurung fitrah dan naluri yang Tuhan beri sejak azali. Malah betapa ramai pula manusia yang mencipta-cipta naluri dan fitrah sendiri dan mendakwa kononnya itu tidak mereka pinta, dan memang hadir sendiri.
Kau mahu bebas jiwamu, maka silakan untuk membebaskannya kawan. Tapi jangan kau lupa, jiwamu ada saat untuk pulang bila sampai waktunya.
Pulang kepada Tuhan kita.