Bila Kita Banyak Perbezaannya

Suhana.Co_Coffee_Urban

Esok hari bulan Oktober bakal menjenguk kita semua. Bayangkan saja bulan Oktober itu mengejutkan kita semua dari tidur dengan bernada ceria, “Haaai! Saya Oktober, sudah sampai di sini. Saya akan bersama dengan kau sebulan lamanya. Mohon tunjuk ajar!”

1 Oktober – Hari Kopi Sedunia.

Ada hal yang saya mahu ceritakan. Ya jelas sekali terselit mengenai kopi, pastinya. Beberapa waktu yang sudah berlalu, saya pernah mengajak adik saya minum di kedai kopi kebiasaan saya. Bila pelayan yang baik hati itu sampai ke meja kami untuk mengambil pesan, saya bertanyakan apa yang dimahukannya. Cuba teka, dia mahu minum apa? Kedai kopi kan, ya tentu saja kopi! Tidak benar dan bukan. Dia memesan secawan coklat panas.

Sepanjang berada di dalam kedai itu, saya cuba untuk menceritakan kepadanya asal usul sejarah kopi ini bagaimana ditemui dan seterusnya bagaimana menjadi satu minuman yang universal dan laku di seluruh dunia. Selepas itu saya cuba bercerita kepadanya tentang jenis-jenis bijian kopi yang banyak. Ya reaksinya tidaklah mengecewakan, kerana dia mendengar walaupun matanya lebih banyak menatap skrin telefon pintar.

Namun jelas saja topik mengenai kopi tidak menarik minatnya.

Hal itu buat saya terfikir-fikir, ditambah dengan banyak perkara lainnya. Dan begitulah kita semua sebenarnya. Kita ini boleh saja banyak perbezaannya dari segi minuman apa dan makanan apa yang digemari, buku-buku yang dibaca kita tidak sama selera, jenis filem atau movie apa yang menjadi pilihan. Cara berpakaian dan cara bercakap bagaimana yang sebenarnya sebati dengan diri kita. Dan itu termasuk hal-hal seperti falsafah kehidupan apa yang kita pegang. Semua itu pasti berbeza. Kalau ada persamaan yang banyak, pastinya perbezaan juga banyak.

Hal itu membuat saya sedar untuk kesekian kalinya bahawa, kita ini tidak boleh memaksa orang lain untuk menyukai atau mengikuti apa sahaja selera kita dalam hal apapun. Perbezaan diri kita dengan orang lain itu, tidak patut menjadi satu jurang besar untuk kita bisa berkenal-kenalan sesama kita.

Mempunyai banyak perbezaan besar antara kita dengan orang lain, tidak seharusnya menutup ruang kebarangkalian berkongsi banyak kebaikan melalui perkenalan kita, kan? Ya mengaku sajalah, ada sebab-sebab yang banyak kenapa ALLAH itu menciptakan perbezaan dan menemukan kita dengan orang-orang yang adakalanya kontra benar dengan diri kita.

Fikirkan tentang hal-hal positif seperti kita akan belajar hal-hal baru dari orang lain. Dan berbagi atau berkongsi informasi mengenai banyak hal. Bukankah itu keberuntungan besar.

Walau bagaimanapun, sekiranya kita melihat hal-hal perbezaan itu adalah tidak baik, maka selamanya hal itu tidak baik. Kita akan menjadi alergi dengan orang yang berbeza pendapat dan pegangan dengan kita. Maka jadilah, yang baik itu adalah diri kita sahaja! Dan diri orang lain itu banyak kekurangan.

Untuk saya dan untuk kita semuanya, semoga saja kita menjadi seorang perseorangan yang tidak menjadi juri atau hakim atas perbezaan orang lain yang tidak sama seperti kita. Belajarlah.. Belajarlah untuk mencintai perbezaan.

Kerana banyak hal indah yang bakal terbit darinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *