Suara Yang Tidak Didengari

secream_without_voice_by_delawer_omar-da4vfwl

Pernah tak sekali dalam seumur hidup, kalian membayangkan bahawa kalian itu akan kehilangan suara? Atau pernah terfikir suatu hari yang damai kalian mahu berbicara mengenai sesuatu, tiba-tiba tiada suara yang kedengaran.

Betapa kita mahu berbicara, tetapi tidak boleh. Melainkan hanya kita sendiri yang faham apa yang mahu kita bicarakan. Atau dengan cara lain, kita perlu menuliskan apa yang kita mahu orang lain tahu. Syukur kalau orang lain bersabar untuk menunggu. Tetapi kalau orang lain tidak menghiraukan dan merasa rimas bagaimana? Sedihnya hidup.

Tapi sebenarnya yang mahu saya coretkan bukanlah sebulat mengenai tidak boleh berbicara atau peti suara itu hilang entah ke mana. Yang mahu saya tuliskan dan sampaikan adalah, begitulah persis apabila segala bicara seseorang manusia tidak didengari oleh orang lain. Atau orang lain langsung tidak sudi mendengarkan bicaranya. Lebih-lebih bila yang tidak mahu turut serta mendengar itu adalah orang-orang yang dekat dihatinya.

Pasti sangat saya kalian juga faham bagaimana perasaan itu.

Perasaan betapa kau mahu memberitahukan sesuatu, atau keinginanmu untuk berkongsi pandangan dan berita gembira kepada seseorang. Tetapi percuma saja perbuatan itu, kerana bukan meringankan beban jiwamu. Malah menambahkan luka dihatimu. Sekali lagi tersedar, bahawa kau tidak didengari.

Selama ini, kita mungkin pernah memperlakukan seseorang seperti itu. Dan kita tidak memahami bagaimanakah perasaan seseorang yang selalu kita tolak untuk mendengarkan bicaranya, pendapatnya, dan luahannya hanya kerana seseorang itu tidak seperti yang kita inginkan. Sehinggalah satu saat, kita berada di tempat orang itu tadi. Baru kita faham perasaannya.

Bagaimana perasaannya? Orang Sabah kata,
“Apa kau rasa? Oren?!”

Kau tahu, mungkin saja orang yang pernah kau tolak untuk memperuntukkan sedikit masamu mendengar pendapat atau masalahnya, adalah orang yang sangat-sangat patah hatinya. Yang hanya memerlukan keberadaan seseorang untuknya yang bisa mendengarkan sekejap apa yang mahu diperkatakannya.

Dan penolakanmu itu, menyebabkan dia jadi tidak percaya kepada diri sendiri. Dan dia percaya bahawa dirinya itu tidak diterima oleh sesiapa pun. Dan dia menanam percaya bahawa dia tidak layak untuk mempunyai seorang kawan yang boleh memberikan sedikit waktu untuknya kerana dia useless.

Aduh. Ini jadi panjang sudah ya.

Begini sajalah. Bayangkan tiada manusia pun yang mahu mendengarkan bicaramu di dunia. Kita akan jadi seperti apa? Bila kita mahu berbicara kepada seseorang, kita hanya sekadar dipandang kosong sahaja. Lalu mereka berlalu persis tidak mendengar apa-apa. Kita pasti akan tertanya.

Kita ini sudah gila, atau semua orang sudah pekak dan bisu?!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *