NOTA #7: STRUGGLE Kita Yang Berbeza

Zahirnya kita semua melihat manusia itu sama. Berjalan, bercakap, mandi, makan, minum dan lain-lain norma perbuatan seorang manusia. Tapi tidak akan pernah sekali-kali kita benar-benar tahu apa yang ada dalam diri seseorang.

Apa matlamat hidup seseorang itu. Apa cita-citanya? Apa perjuangannya? Dan apa sebenarnya yang mendorongnya terhadap cita-cita dan perjuangannya itu? Kita tidak tahu, kan? Walaupun mungkin sebenarnya pernah ada seseorang memberitahu kita dengan sukarela akan dorongan dalam hidupnya, pasti masih ada banyak yang tersembunyi dalam benaknya. Kelihatan rumit, bukan?

Tapi itulah manusia.

Itu baru bicara tentang cita-cita duniawi. Belum lagi kita berbicara soal ukhrawi. Setiap dari kita punya cara pandang dan kefahaman yang berbeza.

Hormatilah sesama kita – kerana kita punya perjuangan (struggle) yang berbeza-beza. Ada seseorang yang sedang berjuang dalam pelajarannya kerana menggalas bebanan di bahunya. Ada orang sedang kerja keras kerana punya tanggungjawab yang besar terhadap diri dan keluarganya. Ada orang sedang sepenuh daya dan hati memperbaiki ibadahnya kerana disitu ketenangan jiwanya. Ada orang cuba menyusun kehidupannya agar kembali sihat dan teratur gayanya.

Kita semua ada perjuangan tersendiri. Hormatilah.

Jangan kita lupa, perjuangan kita pada satu arah yang sama – kembali kepada Tuhan dalam keadaan yang bagaimanakah nantinya? Segala apa yang ada di dunia tidak akan ada di SANA kecuali hanya yang Allah mahu sahaja. Sesuai dengan apa yang kita tahu semasa di dunia, akan kita dapat semasa berhadapan dengan Allah.

Jangan fikirkan tentang orang lain, apatah lagi mengingat orang lain dengan keburukan mereka. Tapi fikirkan diri kita sendiri, kerana itu perjuangan kita. Apabila kita mati dan berada di dalam kubur sendirian. Apakah yang menjadi bekalan dan teman kita sebelum bertemu dengan Tuan Punya Dunia?

Jika kita ditagih tentang solat kita, apa jawaban kita di depan Allah?

Apa kita sudah ada jawaban?
Atau solat kita masih koyak dan rabak?

Nah, kau.. apa perjuangan terbesar kau dalam hidup setakat ini? Jawab sendiri.

NOTA #6: Kerana-Mu

Banyak waktu aku berbicara dengan diri sendiri mengenai hal-hal diriku. Itu saja sudah memakan waktu hampir sepanjang hidupku. Masih tidak termasuk mengenai hal-hal kehidupan dan sekeliling yang seringkali membuatku resah, takut, keliru dan kosong. Hal-hal yang tidak mencapai norma akal fikiran dan melebihi rasa belas kasihan dalam diriku yang secuit ini.

Dalam perjalanan mengenal-Mu juga adalah satu hal yang sering membuatku kuat, dan adakalanya membuatku lemah dek halangan dan duri dalam setiap perjalanan. Kebanyakannya adalah kerana kelemahanku, ada waktunya aku hilang tumpuan dari segala-galanya. Tercari-cari dan keliru sendiri.

Kerana-Mu, aku cuba untuk mengerti segala perit payah, suka dan manis kehidupan. Walau aku sendiri masih punya banyak sekali persoalan dalam kepala. Aku cuba semampu daya untuk menjadi hamba yang Kau suka. Dengan itu, kadang-kadang hatiku menjadi berbunga. Dan tidak mahu aku menipu diri, kadang-kadang aku menjadi hiba adakah aku nantinya akan menjadi dalam kalangan hamba-hamba yang Kau akan pandang dengan cinta.

6 Ramadan 1438H
Pasir Putih, Sandakan.

NOTA #5: Penulisanku Untuk Diriku

Setiap orang itu unik. Dengan keunikan itu perlu dihormati. Iyalah, selagi mana uniknya setiap dari kita tidak mengganggu ketenteraman orang sekeliling dengan cara yang negatif. Setiap orang berhak untuk dihormati. Kerana tiada sesiapapun yang suka dibenci dan dicaci. Begitu pulalah dengan pekerjaan yang dilakukan oleh setiap dari kita, asalkan halal dan tidak menyalahi kehendak Allah.

Di atas ini ayat bunga-bunga saja sebenarnya.

Siapa dalam kalangan kalian suka menulis? Pasti ada sebab kenapa kalian suka menulis dan membaca. Dan terkadang sebab-sebab itu, ada yang kalian dengan mudahnya boleh kongsikan kepada umum. Malah ada juga sebab-sebab yang hanya kalian sendiri sahaja yang faham, kan? Saya kira, memang sebenarnya apa-apa sahaja yang dilakukan setiap orang itu walaupun pekerjaannya sama, tapi sebab dan niat kita itu berbeza-beza, dan itu hanya kita dan Allah sahaja yang tahu. Ada masa kita terkeliru dengan niat sendiri, malahan!

Untuk hal berkaitan penulisan, beberapa kali saya menerima soalan. “Best tak menulis?” Jujurnya, mahu saja saya tanyakan kembali, adakah mahu mendengar jawapan saya dari A sehingga Z? Tapi selalunya saya jawab, “Menulis tu macam terapi untuk aku..” Kadang-kadang saya jawab dengan senyuman tersipu-sipu.

Jujurnya, saya itu merindukan semangat menulis pada suatu waktu dahulu. Saya merindukan rasa ghairah saya untuk menulis, dan tinggal dalam penulisan mentah saya pada zaman itu. Kerana bila saya menulis, saya menulis untuk memujuk dan menasihati diri sendiri. Itu antara salah satu cara untuk membahagiakan diri sendiri. Berkongsi dengan orang lain itu, adalah niat yang kedua dengan harapan kalau ada kebaikan walaupun sikit pada penulisan saya, semoga Allah menemukan penulisan saya dengan pembaca yang faham dan membaca dari hati.

Saya rindu dengan perasaan tidak terlalu menghiraukan bahawa penulisan saya itu nanti apakah ada pembaca atau sebaliknya? Yang saya tahu, saya mahu menulis semahunya mahu membahagiakan jiwa sendiri. Saya seperti yang pernah diperkatakan oleh Lord Byron,

“If I don’t write to empty my mind, I go mad.”

Apakah pada waktu dahulu saya tidak memasang niat untuk menjadi penulis yang ada karyanya diterbitkan dalam pasaran buku? Ada, dan niat itu datang apabila hadirnya pembaca dalam hidup saya yang menyantuni penulisan saya dengan hati.

Bila saya menulis dengan tulisan berbaur nasihat, ketahuilah bahawa nasihat itu terlebih dahulu untuk diri saya sendiri terutamanya. Dan jika ada hati yang terkena dan tersentuh dari arah yang positif, itu adalah kerana Allah yang mengizinkannya. Dan jika ada sebarang penulisan saya yang membuahkan sesuatu yang negatif, itu adalah kerana kelemahan saya sebagai seorang saya.

Semoga Allah cintakan kita dengan lebih..

NOTA #4: Berlumba Kita Untuk Siapa

Memikirkan kehidupan ini adalah pertandingan semata-mata, berlumba-lumba untuk lebih segalanya daripada orang lain; lebih kaya, lebih cantik, lebih kacak, lebih rumah besar, lebih kereta besar, lebih pangkat tinggi dan lebih segala-galanya di dunia. Menurut kita, si pemenang yang berlumba dan ternyata mempunyai lebih segalanya, apa hadiah terbaik yang mesti dimenanginya? Kemasyhuran dan pujian seluruh manusia? Apakah dengan cara begitu, baru lengkap kesempurnaan dan keberadaan kita sebagai manusia dimuka bumi ini?

Adakah kita mahu terlihat lebih daripada yang lain kerana kita sedang berebut piala sanjungan dalam kalangan manusia. Yang mahu diri kita disebut-sebut dan dipandang setinggi dan sejauh langit didongak?

Agak lucu kan manusia?

Percaya atau tidak, ada mereka yang kita bertemu dan mereka itu memang kelihatan dengan sosok tubuh yang selalu berjuang dan terbaik dalam segala perbuatan mereka, tapi bicara mereka sangatlah lembut dan tingkah mereka membuatkan kita merasa kasih. Dan kita juga bakal bertemu dengan manusia yang wajah dan lidah mereka, selalu memperkecilkan kita dengan bicara halus mereka. Dan yang peliknya, mereka itulah yang tidak pernah ada untuk kita.

Adakah kita sebenarnya manusia dewasa ini masih lagi seorang anak kecil yang mahu berlumba-lumba dalam kebendaan dan merasa sombong dengan hasilnya? Tidakkah kita boleh mempunyai hati yang akan merasa gembira dengan pencapaian dan kebahagiaan orang lain, dan kita tetap bersyukur dengan apa yang kita ada serta bukannya mencemburui apa yang bukan kita punya.

Serius.. Pada saya itu, manusia yang paling bermanfaat itulah manusia yang paling kaya. Bukti kejadian zaman demi zaman, manusia yang bermanfaat itu tidak semestinya yang jutawan. Bahkan sering saja manusia yang paling bermanfaat itu adalah mereka yang kenderaannya cumalah kedua kaki yang ada, kekayaannya adalah kekayaan hati, kemurahannya adalah kemurahan senyuman. Dan perginya sosok itu, sentiasa disebut-sebut oleh manusia sekeliling.

Hari yang baik pada bulan ramadan ini, katakan kepada diri kita sendiri bahawa jangan sesekali menjadi yang angkuh dengan kejayaan dan harta yang dimiliki. Segala kepintaran, kecekapan diri, kebijaksanaan dan lain-lain jika diambil semula oleh Allah dalam sekelip mata sahaja, maka hilanglah semua itu. Ya, semoga kita sentiasa mendoakan diri kita sendiri, keluarga kita serta anak-anak keturunan kita supaya dijauhi dari sifat-sifat keji yang akan membusuk dalam kehidupan itu.

Apa khabar puasa kita sehingga hari ini, kawan?