NOTA #3: Cuba Fikir

Baru tiga hari kita berada dalam bulan ramadhan. Namun perasaannya masih dalam keadaan semacam yang sukar diungkap. Saya sukakan suasana dan cuaca ramadhan ini. Sepanjang hari berpuasa, terasa seperti berada di daerah baru walaupun sebenarnya masih juga berada di daerah kelahiran tercinta ini. Mungkin petanda sudah tiba waktunya aku berkelanan, mungkin? Apa-apalah.

Sedari semalam, ada perkara yang bermain-main diminda saya. Tentang bagaimana sebenarnya saya hidup bertuhan? Biar saja saya kongsikan di sini, semoga yang membaca ini akan cuba turut berfikir sama.

Tentang hakikat hidup yang sebenarnya, kita tidak akan selalu mendapatkan apa yang kita inginkan. Tentang hidup yang pada hakikatnya kita lebih terasa apabila disakiti, berbanding kita gembira apabila bahagia. Tentang hidup yang apabila kita dalam fasa diuji oleh Allah, kita merasakan kadang-kadang Allah itu dekat dan kadang-kadang Allah itu jauh. Betul, kan? Ada waktu-waktu dalam hidup kita, kita sering merasakan bahawa kekuasaan Allah itu di mana saat kita betul-betul memerlukan Dia? Ditambah lagi, kita juga akan bertanya kenapa Allah mengizinkan dan meletakkan kita dalam kondisi yang kita akan merasa tangis berbanding tawa? Kenapa Allah tidak hadir menghapus duka?

Wah, ini benar ya! Jika kerja merintih hiba itu, berikan saja kepada manusia. Nescaya manusia akan merintih sepanjang masa, dan itu termasuklah saya sendiri.

Dalam berjuta-juta manusia yang hidup diatas planet bumi ini, kita masih merasakan bahawa kitalah yang paling malang dan paling lemah apabila menerima ujian dari Allah. Ribuan manusia yang berhadapan dengan nasib diantara hidup dan mati seperti di Syria sana, kita masih merasakan bahawa kitalah yang paling terseksa. Berapa ramai orang di luar sana yang tiada rumah dan hidupnua hanya menjadi gelandangan, kita tetap merasa bahawa kita tidak bertuah. Itu kan, manusia kalau diberi tugas untuk merintih-rintih akan nasibnya sendiri pasti tidak akan gagal berbuat demikian. Pasti sangat, akan dapat dilakukannya.

Tapi saya percaya pada hal bahawa kita tidak berhadapan dengan situasi yang sama. Cara kita dididik tidak sama. Dan pastinya, kita berasal dari latarbelakang yang berbeza dan membesar dalam situasi yang pastilah tidak sama. Hal-hal demikian, sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada bagaimana kita memandang kehidupan kita ini dan bagaimana penerimaan kita terhadap setiap hal yang terjadi dalam hidup. Makanya, tulisan di atas tentang merintih-rintih itu, sesuai jika kita bicarakan kepada diri sendiri. Cuba saja, ya?

Pada saat kita merasakan bahawa Allah tidak mempedulikan kita dan segala yang berlaku dalam kehidupan kita, pernah tidak kita bertanya kepada diri sendiri sejauh mana sudah ikhlas kita dalam mentaati Allah?

Kita merintih-rintih bahawa Allah itu seakan-akan tidak adil dalam memberikan kebahagiaan kepada hamba-Nya, pernah tidak kita bertanya kepada diri sendiri bahawa berapa banyak kali dalam hayat kita ini kita betul-betul bersyukur Allah masih memberikan kita nyawa untuk hidup?

Kononnya disaat kita berada pada titik paling lemah dalam hidup, kita merasa bahawa Allah tidak hadir disisi kita padahalnya saat itulah saat yang paling kita memerlukan dia. Pernah tidak kita fikir untuk bertanya dengan sejujur habis kepada diri sendiri, akrab seperti apa kita dengan alQuran?

ATAU, setidak-tidaknya pernahkah kita untuk mahu berfikir?

Allah tidak memberikan kita dengan sesuatu yang kita inginkan, kerana mungkin Allah akan memberikan kita sesuatu yang kita perlukan dan yang terbaik dalam hidup kita. Dan jujurlah, kadang-kadang mungkin Allah memberikan kita sesuatu yang tidak pernah kita idamkan dan tidak pernah kita fikirkan, adalah kerana Allah mahu menjaga kita dari hal-hal yang tidak baik untuk diri kita.

Allah lebih tahu apa yang kita perlu, berbanding yang kita mahu..

NOTA #2: Kerana Manusia?

Sering saja jika kebaikan atau pemberian yang kita lakukan kepada manusia lainnya adalah kerana manusia, pasti nanti akhirnya kita akan kecewa sendiri apabila kita sudah tidak sehaluan atau ternyata orang yang kita kenali itu hanya mempergunakan kita untuk kepentingan dirinya sendiri. Kerana apa? Kerana kita sendiri sebenarnya mengharapkan sesuatu dari manusia. Paling tidak kesannya, adalah kita terluka dan mungkin akan mengungkit-ungkit pemberian kita.

Tapi lihat ya.. Mungkin saja posting saya ini sepertinya bakal melibatkan soal keikhlasan. Tapi, nope! Kalau ada pun, biarkan saja untuk kita koreksi diri kita. Kerana bukan tujuan saya dalam post ini untuk berbicara soal keikhlasan.

Jika kita melakukan sesuatu kebaikan atas dasar mahu perhatian dan penghargaan dari manusia dan dahagakan puji-pujian dan bukannya melakukannya kerana mahu membahagiakan jiwa dan Allah, maka nanti apabila kita tidak dihargai kita akan sedih dan makan hati sendiri. Kerana ternyata ekspektasi kita untuk mendapatkan hal-hal tersebut dari manusia tidak dipenuhi.

Jika kita melakukan kebaikan kerana mahu mendapat tempat dalam kalangan manusia agar disanjung-sanjung nama kita, dan bukannya kerana mahu meraih perhatian Allah, maka hati kita akan hancur saat dimana manusia tidak memandang kita dengan pandangan yang kita mahu. Boleh jadi kita akan kecewa dengan diri sendiri yang mana, akibat paling buruk adalah kita kufur kepada Allah.

Berbalik kepada diri kita sendiri, layanilah orang lain, hargailah orang lain, ingatilah orang lain, dan doakanlah orang lain, sebagaimana kita mahu orang lain memperlakukan kita. Saya pasti benar, tiada sesiapa pun dalam kalangan kita yang mahu dilayani dengan buruk, dimaki dan dicaci dengan perkataan-perkataan kurang elok. Kena ingat seperkara, Allah sedang memerhati. Apa-apa sahaja yang kita lakukan dan tuturkan kepada orang lain, baik atau pun buruk,

..kita akan menerima hal yang sama.

NOTA #1: Memasuki Dengan Hati yang Tenang

Teringat saya sebelum-sebelum tentang bagaimana perasaan saya untuk ramadhan pada tahun ini? Jujurnya, ada rasa teruja ada rasa sesuatu yang saya sendiri saja pun kurang faham, apatah lagi mahu mengungkapkan dengan perkataan atau menukilkan dengan tulisan-tulisan. Sehingga membawa saya kepada persoalan sendiri, sebelum ramadhan ini apa yang saya mahu sebenarnya. Begitu juga semasa ramadhan dan selepas ramadhan ini nanti.

Bagaimana saya mahu melihat jiwa saya untuk beberapa minggu yang terdekat?

Percaya atau tidak, saya mengambil masa sedikit untuk menjawab persoalan yang tidak diajukan oleh sesiapapun sebenarnya. Akhirnya saya menemukan jawapan itu. Untuk jiwa saya yang sudah pernah rabak, sedang rabak dan saya pasti akan rabak berkali-kali lagi selepas ini, saya ternyata cuma mahu memasuki dan menjalani ibadah dibulan ramadhan ini dengan jiwa yang tenang. Dan selesai menjalani ramadhan nantinya (yang ternyata ibadahnya juga pasti penuh rabak) dengan hati yang tenang berterusan. Bukankah saya pernah menuliskan di dalam blog saya ini sebelumnya tentang ketenangan jiwa itu sebenarnya mahal?

Percayalah, sangat mahal. Tidak terbeli oleh duit dan harta.

Bila diri kita berada dalam situasi yang sering akan membuat jiwa kita menjurus kepada tidak tenangnya jiwa dan minda, maka perjuangan untuk mendapatkan ketenangan jiwa itu tidaklah mudah. Saya itu tidak akan mengatakan bahawa dengan keadaan yang menghimpit kita, kita tidak akan dapat mencapai jiwa yang tenang. Nope! Namun tidak mudah. Akhirnya, kita berbalik kepada Allah. Kerana mahu mengaku atau tidak, atau jemu diingatkan berkali-kali; kita ini memerlukan Allah dalam setiap helaan nafas kita dan pada setiap degupan jantung.

Ketenangan.

Hidup kita adalah perjuangan. Setiap langkah dan keputusan hidup kita adalah perjuangan. Sepertimana kita mahu mendapatkan kebahagiaan, ketenangan, kedamaian dan rasa ketercukupan dalam kehidupan, maka semua itu akan melalui satu proses yang bernama perjuangan. Tiada terasa indah sesuatu yang manis, jika tidak pernah melalui proses perjuangan yang selalu menagih dari manusia akan rasa sedih, tangis, gembira dan tawa, rasa keseorangan dan rasa dibiarkan keseorangan, rasa tidak cukup berbakti sebagai seorang manusia dan segala macam halnya yang akan mendatang dalam perjalanan perjuangan.

Maka, mahukan jiwa yang tenang juga adalah perjuangan. Percayalah, saya sememangnya memerlukan jiwa yang tenang. Dengan itu, saya masih boleh menjadi seorang saya, yang berpaut pada kasih-sayang Allah walau pautan itu selalu sahaja longgar dan adakalanya terasa seakan-akan mahu terlepaskan.

Ada diantara kalian yang sedang berjuang dengan diri sendiri untuk mendapatkan jiwa yang tenang? Jujur saja, tiada nasihat panjang berjela yang dapat saya berikan. Cuma, semoga sama-sama kita bertahan untuk sekelumit nikmat ketenangan dari Allah. Tidak mudah, ya pasti susah.

And yes, the struggle is so real!

Persoalan Tentang Kehidupan

Tidak mudah untuk menjawab pertanyaan sekitar soal kehidupan. Sehinggakan kerap kali apabila saya yang mendapat pertanyaan sedemikian, respon terpantas yang dapat saya berikan adalah senyuman atau gelak tawa. Kerana pertanyaan soal kehidupan itu suatu pertanyaan yang besar, yang tidak mudah dijawab semudah 123 atau semudah Alif Ba Ta atau hanya sekadar berandai-andaian.

Kehidupan.

Kita boleh memilih untuk menikmati atau menghindarinya. Tapi ya, pilihan untuk menghindarinya kerana perjalanan hidup tidak berjalan menurut kemahuan dan bayangan kita hanya akan memusnahkan jiwa kita. Setiap orang itu ada cara hidup yang diimpikannya. Paling kurang, tidaklah berkaitan banyaknya harta dan wang. Cukup kehidupan itu adalah rasa kebercukupan atas rezeki dan yang terpenting sekali adalah hidup bahagia bersama seluruh keluarga. Tanpa menidakkan bahawa ada orang yang keinginannya itu diselimuti kemewahan. Tapi begitulah, kerana manusia itu tidak sama, maka ukuran dan batas kegembiraannya juga berbeza.

Namun jika kita memilih untuk menikmati kehidupan ini walau banyak sekali yang tidak terjadi menurut perancangan dan kemahuan kita sendiri, insya-Allah ada damai disitu meskipun ada terselit sedikit dicelahan jiwa rasa merindu kepada kehidupan yang kita impikan. Lebih baik kita mensyukuri kehidupan yang kita ada sekarang kerana itu terjadi dengan izin dan perancangan Allah SWT, berbanding membenci kehidupan sendiri dan kita menderita didalam hati.

Saya adalah orang yang selalu merancang kehidupan beberapa tahun terkedepan. Menanamkan benih positif kononnya. Dan itu bagus, serius. Cara termurah untuk memberikan motivasi kepada diri sendiri. Tetapi tanpa menafikan perasaan sebagai seorang manusia biasa, adakalanya mendorong saya untuk bertanya,

“Ke mana sebenarnya hala tujuku di dunia?”

Pernah saya mengutarakan kepada seseorang, jawabnya senang sahaja. “Sabar, insya-Allah perjalanan hidupmu masih panjang. Waktu tetap akan berjalan dan bekerjasama denganmu selagimana kau berusaha.” Betul juga jawabannya walaupun aku sambut katanya dengan pertanyaan ketidakpastian, “Siapa tahu perjalanan hidupku masih panjang? Entahkan besok atau lusa mati.”

Yang mana akhirnya aku jadi seram sendiri. Kerana aku belum bersedia mati dan menghadap Allah dengan serba kekurangan ini. *lap peluh didahi*

Hidup itu, adalah tentang proses menjalani rasa gembira dan hiba. Satu proses yang akan menikam kita untuk menjadikan kita lebih tahu dan kuat tentang perjalanan hidup ini. Persoalan tentang kehidupan itu, tiada jawaban yang tepat jika kita tanyakan kepada manusia. Kerana versi jawaban yang berbeza.

Tapi mungkinkah jika kita menanyakan kepada Allah, dengan cara menjalani hidup berotakkan DIALAH TUHAN SEKALIAN ALAM yang akhirnya tidak akan membiarkan kita saat penghujung kehidupan kita, mungkin nantinya kita akan beroleh jawaban di hadapan-Nya?