15 September 2023 – Apa Khabar, Suhana?

8 bulan 15 hari, sejak entri kali terakhir di dalam blog ini.

Terasa cuma seperti semalam tahun 2023 baru melambai, tanda kedatangan tahun baru. Sekarang cuma berbaki beberapa bulan sahaja lagi sebelum tahun 2023 bakal melambai tanda meninggalkan. Pastilah, sehingga saat ini — sudah banyak yang berlaku; pengalaman, perihal keluarga, persahabatan atau pertemanan, perihal kerja sehari-hari, perihal memikirkan masa depan, berkenalan dan bertemu dengan orang baru, menimba pelbagai ilmu dan pengalaman. Semuanya hal-hal yang telah dan bakal dilalui setiap dari kita. Tentulah juga, sepanjang tempoh tersebut pelbagai perasaan yang kita telah rasai; gembira, suka, terharu, sedih, terkilan, sebak dan pelbagai emosi yang mungkin hanya diri kita sendiri dan Tuan Punya Dunia sahaja yang tahu.

Tapi persoalannya, adakah sehingga kita sudah menjadi lebih baik dari sebelumnya atau masih seperti diri kita yang lama, atau semakin bertambah teruknya kita terhadap diri sendiri? Persoalan ini, demi Allah, adalah soalan untuk diri saya sendiri terutamanya. Sedih. Kawan, semoga apapun yang sudah berlaku dan sedang berlaku serta sedang kamu hadapi sekarang dalam hidup, semoga kamu tabah dan tetap menjadi seorang manusia yang baik terhadap semua orang di sekeliling. Jangan pernah berubah hanya kerana masalah atau cubaan yang sedang kamu hadapi.

Beginilah, aku datang menitip pesan di dalam dunia alam maya ini untuk diri sendiri. Semoga tetap menjadi manusia, Suhana. Semoga tetap menjadi seorang yang ikhlas, yang rendah hati; kalau ada salah dan silap, minta maaf dan perbaiki, semoga tetap tahu diri dan tidak berlebih-lebih, tetaplah menjadi manusia yang baik kepada orang tua dan orang sekeliling — ingat Allah tidak pernah tidak tahu apa yang kau lakukan, sama ada yang orang lihat dan yang orang tidak lihat serta yang orang dengar dan yang orang tidak dengar.

Semoga Allah merahmati.

Belajar Sabar Setiap Hari

Bukan sabar namanya jika tiada beserta ujian. Bukan sabar namanya jika hati tidak pernah menelan kepahitan. Dan bukan sabar namanya jika sabar itu hanya sekadar mainan di bibir, tapi tidak dirasai dalam perjalanan kehidupan. Hakikatnya, tidak semua orang mampu bersabar dalam meniti kesabaran dalam diri sendiri. Sabar itu ringan untuk diungkapkan, namun ada ujian dalam mempertahankan kesabaran itu. Sunnatullah, kesabaran tidak sunyi dari gelojak kehidupan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Baqarah: 153)

Hidup ini, kita akan melalui pelbagai pengalaman juga peristiwa. Setiap satu darinya, membuatkan kita belajar mengenai kehidupan — sabar adalah antara teman yang paling dekat. Pernah tidak, kita berusaha untuk bersabar, namun dengan izin Allah, terjadi pula situasi lain yang menggugah jiwa seterusnya kesabaran yang kita semat dalam-dalam. Terasa semakin menggenggam sabar, semakin banyak pula cubaan dalam menggugah kesabaran tersebut.

Adakah hal tersebut cumalah kebetulan? Atau memang Allah Ta’ala sudah takdirkan?

Saya percaya, tiada yang kebetulan melainkan setiap apa yang dilalui itu Allah Ta’ala sudah takdirkan untuk memberi pengalaman dan pengajaran. Allah Ta’ala tidak pernah tidak tahu keadaan diri kita bagaimana. Kadang-kadang dalam hidup ini, terasa tidak berdaya dengan semua perkara. Penat minda, penat jiwa itu lebih berat rasanya berbanding penat fizikal, bukan? Tapi, bukankah Allah Ta’ala sudah berfirman, bahawa Dia sesungguhnya beserta orang-orang yang sabar?

Mana mungkin Allah Ta’ala meninggalkan kita untuk melalui situasi-situasi dalam kehidupan kita. Mana mungkin Allah Ta’ala membiarkan kita terkapai-kapai dalam kita merangkak untuk memperbaiki iman kita yang turun naik serta koyak rabak kebanyakan masa. Mana mungkin setiap air mata yang mengalir kerana kesabaran yang cuba dipertahankan dalam jiwa kerana yakin dengan pertolongan Allah Ta’ala, akan dibiarkan sia-sia oleh-Nya? Tidak mungkin. Sebaliknya, kita kena perbaiki keyakinan dalam diri kita; Allah Ta’ala sedang mengajarkan kita dan mempersiapkan kita tentang makna sabar dalam hidup.

Kerana itu.. Kawan, semoga kuat jiwamu. Semoga kuat jiwaku. Semoga kuat jiwa kita semua dalam menanggapi erti kesabaran. Walaupun adakalanya ujian itu tidak difahami dan terasa membebankan jiwa, semoga Allah menunjukkan jalan-jalan keluar yang melapangkan dada dan minda.

Tuan Punya Dunia —
yang Maha Pengasih Penyayang;
pasti ada dalam setiap degupan;
pasti ada dalam setiap derap langkah;
menuntun kita dengan cara-Nya yang sendiri.

Semoga Allah merahmati.

Kehidupan Yang Mahu Kita Jalani

Apa khabar? 🙂

Syawal 1443H pun sudah berlalu, kan? Kita semua kembali sibuk dengan rutin harian kita layaknya seperti sebelum ini. Bermulalah nanti ada detiknya kita merindui waktu-waktu kita berada dibulan Ramadan pada tahun ini. Kita merindui bagaimana kita memberadakan diri pada ramadan lepas. Bagaimana kita dalam perjuangan sendiri untuk menguruskan kehidupan dan jiwa, malahan! Kita bakal mengingati bagaimana kita bersimpuh depan Dia memohon keampunan berkali-kali dan mohon supaya Dia menyayangi kita dengan melorongkan kita pada jalan yang Dia mahu.

Kita ini manusia, kan. Kadang-kadang kita ego pada jiwa sendiri. Jiwa yang fitrahnya bersih dekat dengan Tuan Punya Dunia. Sedewasanya kita, kita nodai pula dengan nafsu dan keinginan sendiri. Itukah sebenarnya yang kita mahu sehingga akhir hayat kita? Satu persoalan buat diri ini sebenarnya.

Continue reading “Kehidupan Yang Mahu Kita Jalani”

Selamat Tinggal 2021

Selamat tinggal, tahun yang memberi seribu satu pengajaran.

Kupadamkan setiap sesalan sehingga menjadi sirna. Kerana akhirnya, setiap yang terjadi itu memberi pengajaran. Bukan sahaja kepada diri sendiri, tapi pengajaran terhadap kebergantungan diri kepada Tuan Punya Dunia setiap hari, setiap jam, setiap minit dan setiap saat.

Kalau ada yang paling kusesali, itu adalah kedegilan dan kelemahan imanku yang menyerahkan urusanku kepada diriku sendiri.

Tahun 2022 yang bakal dijalani, kupasti penuh dengan mehna. Namun tidaklah itu meyakinkan aku bahawa Dia juga bakal memberi bahagia dan gembira. Semoga sebatang jasad ini menjadi lebih baik dalam urusannya kepada manusia, terlebih lagi urusannya kepada Tuhan.

Allah, jangan serahkan aku kepada diriku.