Mungkin Kita Perlu Melihat Dengan Hati

Begitu banyak perkara yang sekadar dilihat dengan mata, bisa menipu dan bisa juga memberi fitnah. Kerana kadang-kadang itu, perkara yang terlihat oleh pandangan mata tidak menjelaskan seluruh perkara atau kejadian. Jadi itu memang petanda bahawa, memang banyak perkara yang bukan tentang yang terlihat dari luaran semata-mata. Jadi ini memang memberi pelajaran.

Mata itu, banyak waktu hanya mahu melihat apa yang ia mahu lihat. Dan tidak lebih dari sekadar apa yang terlihat olehnya, tidak menembusi hal-hal yang lebih dari itu. Ada pun jika seseorang melihat dengan hati,

pasti Tuhan berikan penglihatan ‘rasa’ yang menembusi zahir.

Terbanglah Jiwa Sebebasnya

Sehari sahaja lagi, dan selepas itu menjengah ke bulan November. Bermakna, tahun 2016 itu semakin mahu melabuhkan tirainya. Meninggalkan seluruh manusia yang selalu menghitung-hitung hari dan waktu sepanjang tahun ini. Tiada yang luar biasa pada keadaan tersebut. Tetapi saya itu mengira-kira diri sendiri. Memaksa minda membuka layarnya sepanjang kejadian atau pencapaian diri sendiri sepanjang tahun 2016 sehingga saat ini. Saya bertanya kepada diri, puaskah saya dengan usaha saya? Atau memang masih banyak yang kurangnya?

Sudah tentulah, ada yang saya sendiri puas dan syukur. Tidak kurang juga ada yang saya masih tidak dapat capai untuk cabaran terhadap diri sendiri. Dan hal itu mengajar saya juga sebenarnya. Mengajar saya tentang hal-hal yang kita suka dan mahu, tidak selalu kita dapatkan. Tidak selalu kita berpeluang lunaskan. Kerana, ada banyak hal yang tidak dalam pengetahuan kita itu baik buruknya, tetapi Allah SWT lebih tahu dan memberikan kepada diri kita sekadar yang kita perlu.

Kehidupan itu ya misteri. Rumit adakalanya, ya juga. Tapi itulah kehidupan. Kalau kita perasan, hal-hal yang kurang enak pada penerimaan diri kita itu yang akhirnya akan menjadi kemanisan dalam ingatan dan kehidupan kita. Selalu saja, perkara demikian mengajarkan kita banyak hal dalam kehidupan. Kalau tiada bolak balik dalam soal kehidupan seorang manusia, itu bermakna dia tidak hidup sesungguhnya. Namanya juga dunia adalah medan ujian bagi kehidupan.

Continue reading “Terbanglah Jiwa Sebebasnya”

Selalu Ada Kisah Yang Lain

Saya jadi kurang suka untuk skrol facebook sejak kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi apabila ada sesuatu yang berlaku yang menjadikan satu Malaysia heboh. Sebab saya akan menelusuri komen demi komen tanpa sengaja, dan kadang-kadang sebab terlupa. Ada yang positif, ada yang negatif. Seiring, kata orang.

Sebatas pengetahuan kita terhadap suatu berita atau banyak perkara, kita sering memberikan komen tentang berita tersebut. Kita menilai pada apa yang kita tahu, dan kerap meninggalkan hukum di dalam minda kita bahawa sekian dan sekian berlaku kerana sekian dan sekian. Semudah itu untuk kita memberikan kesimpulan pada tindak-tanduk serta kehidupan orang lain.

Jarang sekali untuk kita berfikir apa sebab dan kisah disebalik sesebuah perkara. Samalah seperti apabila kita diuji Tuhan, jarang sekali untuk kita berfikir kenapa dan apa yang Tuhan mahu berikan kepada kita sesudah ujian yang kita sedang hadapi. Kita jarang mahu berfikir di luar kotak dan menyikapi perkara yang berlaku, mungkin kerana terdorong akan hal-hal yang berlaku dalam kehidupan seseorang tersebut. Kerana apa? Kerana memang sikap kitalah. Sikap kita yang hanya mahu menerima dan menghakimi sebatas yang kita tahu.

Continue reading “Selalu Ada Kisah Yang Lain”

Hujan Yang Menjadi Kawan

Hal yang saya belajar daripada seorang anak kecil apabila hujan turun membasahi bumi, anak itu terus meluruskan jari telunjuknya pada titisan air hujan yang jatuh. “Hujan itu, kawan kan? Kan?” Matanya memandang saya, menunggu untuk saya menjawab dan mengiyakan bicaranya. “Kawan, kan? Hujan…”

Saya kira ramai yang terkesan dengan hujan. Seperti mana tinggalan cinta yang tersisa dalam jiwa kita dan sehingga kini dikenang-kenang kerana tidak dapat dilupakan. Begitulah juga hujan yang selalu tepat setiap waktu hadir. Seolah-olah mahu berbicara kepada manusia, ‘aku tahu rasamu.. kerana itu aku hadir menenangkan gelojak jiwamu. nikmatilah aku..’ Selalu kehadiran hujan itu menyenangkan semua. Tinggal kita sahaja yang mahu mengutip hikmah pada titisan-titisan hujan yang jatuh ke bumi, atau kita mahu menyatakan bahawa kehadiran hujan itu menyusahkan banyak pihak. Kerana kita, adalah apa yang kita fikirkan dan tuturkan. Pemikiran kita adalah siapa diri kita.

Seperti saat ini, hujan sedang menari dan menyanyi-nyanyi di tengah malam. Membuai manusia seperti tahu bahawa hari esok adalah hari cuti.