Hal yang saya belajar daripada seorang anak kecil apabila hujan turun membasahi bumi, anak itu terus meluruskan jari telunjuknya pada titisan air hujan yang jatuh. “Hujan itu, kawan kan? Kan?” Matanya memandang saya, menunggu untuk saya menjawab dan mengiyakan bicaranya. “Kawan, kan? Hujan…”
Saya kira ramai yang terkesan dengan hujan. Seperti mana tinggalan cinta yang tersisa dalam jiwa kita dan sehingga kini dikenang-kenang kerana tidak dapat dilupakan. Begitulah juga hujan yang selalu tepat setiap waktu hadir. Seolah-olah mahu berbicara kepada manusia, ‘aku tahu rasamu.. kerana itu aku hadir menenangkan gelojak jiwamu. nikmatilah aku..’ Selalu kehadiran hujan itu menyenangkan semua. Tinggal kita sahaja yang mahu mengutip hikmah pada titisan-titisan hujan yang jatuh ke bumi, atau kita mahu menyatakan bahawa kehadiran hujan itu menyusahkan banyak pihak. Kerana kita, adalah apa yang kita fikirkan dan tuturkan. Pemikiran kita adalah siapa diri kita.
Seperti saat ini, hujan sedang menari dan menyanyi-nyanyi di tengah malam. Membuai manusia seperti tahu bahawa hari esok adalah hari cuti.