Kita Tidak Perlu Memahami Semuanya

Source: DeviantArt

Pernahkah kita merasa tidak tahu terhadap hidup kita ini? Rasa yang seolah-olah kita hidup ni, seperti tiada harapan untuk jangka masa yang pendek? Sampai satu titik, kita merasa seperti hidup kita tiada arah tujuan dan kita tidak nampak sebarang ‘papan tanda’ untuk faham. Akhirnya jiwa kita diselubungi dengan rasa lemah untuk menjalani hari-hari yang mendatang. Terasa berat untuk menjalani pagi sehingga ke petang, malam dan hari-hari seterusnya. Entah sampai bila harus merasa seperti ini.

Ingat Tuhan?

Ketika berada dalam fasa tersebut, bukanlah kita tidak ingat adanya Tuhan. Kita tahu bahawa apa yang sedang berlaku dan yang sedang kita hadap dalam hidup ketika ini adalah dalam pengetahuan dan rancangan-Nya. Tapi mungkin kerana jiwa kita terlalu lemah untuk jadi jiwa yang besar. Terlalu lemah untuk menjadi jiwa yang cukup lapang untuk menyambut seribu satu pertanyaan yang terjadi dalam kehidupan kita. Mungkin juga kerana jiwa kita lemah dalam melihat halangan-halangan kecil dalam hidup yang membuat kita merasa tidak nampak jalan-jalan menuju keinginan dan cita-cita kita.

Boleh jadi, kita tidak nampak cara untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam kehidupan kita sebenarnya. Jauh sekali untuk kita boleh memujuk jiwa mencapai kata ‘redha’ dalam diri kita.

Tidak perlu untuk kita faham setiap inci yang berlaku dalam kehidupan kita. Tidak harus untuk kita memikirkan pertanyaan ‘KENAPA?’ terhadap hal-hal yang bukan dalam kekuasaan kita, keupayaan dan pengetahuan kita. Ada banyak perkara yang tidak terjangkau oleh pemikiran kita. Baik itu tentang masa depan yang kita ragukan, kehidupan semasa kita, hubungan dengan manusia lain dan juga mengenai perasaan sendiri yang banyak waktu memanglah kita tidak memahaminya.

Bolehkah jika kita menjalani hidup ini seadanya? Boleh. Tapi pastilah itu tidak mudah dan perlu perjuangan. Jika kita pernah melihat kehidupan manusia yang lain sentiasa baik-baik saja, percayalah itu hanyalah yang terzahir yang kita dapat lihat semata-mata. Namun disebaliknya, siapa tahu ujian dan badai apa yang pernah dan sedang dilaluinya. Kesakitan apa yang pernah dialaminya dan banyak mana air mata yang tumpah oleh tangisannya. Adakah kerana dirinya tidak mengingat Tuhan? Tidak. Tapi kerana dia tahu bahawa hidup ini bukanlah kemanisan semata-mata. Dan apabila sampai waktu menghadapi kepahitan, dia berjuang untuk sentiasa berada dalam landasan yang Allah redha dan sentiasa bersangka baik dengan segala hal yang membuatnya tertanya-tanya dan keliru sendiri.

Kita ini, masing-masing ada jalan cerita kehidupan sendiri. Tidaklah sama jalan kehidupan kita dengan orang lain. Tidaklah sama perasaan kita dengan orang lain. Jangan terlalu melihat nikmat-nikmat dalam kehidupan orang lain jika itu hanya menambah perasaan dalam kurang bersyukur terhadap apa yang ada pada dirimu. Sedangkan dirimu, terlalu banyak nikmat yang pernah dirasai sehingga ada orang lain pula pernah menginginkan nikmat-nikmat yang sama yang kau pernah dapatkan.

Jalani hidupmu seadanya. Terbangkan doamu sentiasa.