Hidup Tidak Akan Selalu Lancar

Menjalani kehidupan setiap pagi, setiap hari, di ibu kota yang kesesakan jalanraya bukan sesuatu yang asing, adakalanya memenatkan minda. Bila tiba waktunya deretan kereta yang panjang seakan tidak bergerak, dan tiba-tiba jam terasa seperti terlalu cepat berlalu, seakan-akan memberitahu bahawa aku berisiko untuk lewat tiba di pejabat. Yang mana kelewatan itu nanti akan menjadi isu dalam jabatan.

Namun ada waktunya terasa sangat bahagia apabila memandu dipagi hari dengan keadaan jalanraya yang tidak sesak dan perjalanan ke tempat kerja terasa lebih lancar. Hari dimulakan dengan emosi dan minda yang lapang. Jarang-jarang merasai hal yang sedemikian jika melibatkan jalanraya. Ada sahaja ragam manusia yang masing-masing meluncur dengan kenderaan.

Aku kira, hidup kita juga begitu; tidak selalu lancar. Pasti ada sahaja cabaran tersendiri. Ada waktunya kita terhenti di ‘simpang’ atau ‘tepi’ jalan yang kita tidak suka. Ada masanya dalam hidup, kita terasa jauh tertinggal di belakang. Tetapi, lancar atau tidak perjalanan kita, bukankah setiap perjalanan tetap akan membawa kita sampai kepada tujuan walaupun mungkin perlahan?

Kawan, kadang-kadang kesesakan itu sendiri adalah guru. Mengajar kita tentang sabar. Yang memaksa kita berhenti seketika, lalu menyedari hal-hal kecil yang selalunya kita abaikan.

Aku jadi belajar bahawa hidup tidak selalu tentang cepat sampai. Ada waktunya, hidup adalah tentang bagaimana kita memilih untuk merasai perjalanan. Meskipun jalan itu sesak, sempit, dan melelahkan.

Kerana akhirnya, setiap jalan, walau sesak; tetap membawa kita ke tempat tujuan.

Bila Hujan Datang Menenangkan

Semalam, hujan turun tanpa membagi salam.

Langit yang kelihatan terik dan jiwa yang mengharapkan redup sejuk pada hari cuti, akhirnya terjawab oleh hujan yang membasahi bumi walaupun tidak begitu lama. Entahkan jiwa mengharap sejuknya hujan, atau sekadar ingin merasa sejuk dan ringannya beban kehidupan.

Daun-daun dari pokok di luar tingkap aku yang berada di bawah sana menunduk, seolah-olah sedang menanggung beban yang tumpah dari langit. Bau tanah basah itu – ah, aku selalu percaya ia adalah wangi yang paling jujur di dunia! Wangian semasa dan selepas hujan yang bercampur dengan alam, adalah sangat menenangkan jiwa dengan tenang paling dalam.

Aku duduk di sambil tangan menyelak langsir melihat curahan hujan. Bunyi titisan hujan yang sesekali melempar di tingkap bilik terasa seperti irama yang tidak pernah gagal menenangkan. Ada sesuatu tentang hujan yang membuatkan kita lebih perlahan – lebih jujur dengan diri sendiri. Mungkin kerana hujan selalu mengingatkan manusia bahawa, tidak semua yang jatuh itu menyedihkan.

Ada waktu, yang jatuh juga membawa hidup. Rumput kembali hijau, hati kembali reda. Aku terfikir, kadang-kadang manusia pun sama halnya. Ada masanya kita itu perlu “jatuh” dalam hidup agar ada ruang untuk tumbuh semula. Tidak semua yang jatuh itu adalah kemusnahan.

Dan kamu.. Apa yang kamu selalu terfikir bila hujan turun?