Seseorang yang bahagia itu selalunya akan jelas kelihatan pada raut wajahnya. Banyak waktu wajahnya seakan-akan bercahaya, senyumannya mekar sederhana. Dan lebih indah jika bahagia itu adalah kerana baiknya hubungannya dengan Allah.
Selalunya kita ini apabila dalam keadaan hubungan dengan Allah SWT baik, solat terjaga, amal ibadah tidak ditinggalkan serta iman dalam kondisi yang berbunga, sangat mudah bagi kita untuk mengucapkan puji-pujian kepada Allah. Allah itu Maha Pengasih, Allah Maha Penyayang, Maha Memahami, Maha Mengampuni. Semuanya betul. Allah Maha Baik dalam segala hal. Itu fakta selamanya.
Tapi lain pula halnya jika kita sedang berada dalam fasa ‘down’ dalam hidup. Hati yang terluka, minda yang letih, jasad yang sudah penat dengan segala hal yang berlaku dalam hidup, boleh jadi membuatkan kita tidak mudah untuk berkata sesuatu tentang memuji Allah. Dalam fasa begini, perasaan kita bercampur baur. Kadang-kadang mungkin terselit rasa rajuk kita terhadap Allah. Pun begitu kita masih yakin yang Allah memegang kehidupan kita dan sesekali tidak akan membiarkan kita selagi kita masih bersama-sama Dia, tetap sahaja dalam keadaan hidup dan jiwa kita diasak dengan pelbagai ujian kita adakalanya berat untuk kita memuji Allah dengan setelusnya. Hakikatnya, kita ini manusia biasa.
Tetapi adakah sifat Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Memahami, Maha Mengampuni itu sama seperti kondisi kita? Yang apabila iman kita sedang jatuh merudum, adakah Allah jua akan sebaliknya?
Ya, sudah tentulah tidak. Yang sedang berubah-ubah itu adalah kondisi diri dan jiwa kita. Dan Allah SWT akan tetap Dia yang menyayangi kita sekalian hamba-Nya. Adakah puji-pujian kepada Allah akan berkurang jika kita tidak memuji Dia? Sudah tentulah tidak! Allah tidak memerlukan pujian, doa dan munajat dari hamba-hambaNya. Tetapi kita ini sebagai manusia yang fitrahnya perlu berTuhanlah, yang menjadikan kita perlu untuk bergantung kepada Dia.
Mari kita lihat dari sisi lainnya. Kamu sedia, ya?
Boleh jadi, Allah sedang mahu mengajarkan kepada kita tentang banyak hal sebenarnya. Tentang hal-hal yang kita selalu terlepas pandang dan kurang endah. Tentang hal-hal yang mengejutkan iman dan keyakinan kita, dan biar dengan cara itu kita lebih mengerti bahawa keyakinan itu bukanlah hanya dimaknai oleh sekadar lafaz dari bibir. Boleh jadi juga Allah itu sebenarnya mahu mengajarkan tentang hal kebergantungan manusia itu di mana tempat yang selayaknya.
Ujian itu adalah salah satu tanda bahawa Allah sayang, kawan. Tatkala iman teruji, mungkin saja Allah sedang membuka jalan untuk seseorang itu agar imannya dinaiktaraf ke satu tahap di sisi Allah. Dan apabila kita itu diuji tentang sifat tawakkal atau kebergantungan kita dalam apapun situasi dalam hidup, mungkin saja Allah sedang memberi tunjuk ajar bahawa hati itu adalah tempat teragung dimana keyakinan dan kebergantungan kepada Allah ialah seratus peratus. Damaikanlah hatimu.. Allah sedang membuat kerja-Nya. Allah menginginkan kebaikan kepada kita. Allah menyayangi kita lebih daripada ibu kandung kita menyayangi kita. Nah! Bukankah itu sepatutnya adalah jaminan supaya hati lebih tenang dan kuat? Bertambah keyakinan bahawa Allah adalah yang terbaik!
Sengaja saya bangkitkan topik ini, biar kita sama-sama berfikir. Saya maklum, kondisi iman kita semua berbeza-beza. Malah tidak sama tingkatan iman diantara kita. Bahkan darjat sesama manusia di sisi Allah jua berbeza.
Untuk sesiapa yang sedang diuji, semoga cekal dan tabah. Pasakkan keyakinan diri kepada Allah ‘Azza Wa Jalla. Ujian dalam hidup, tidak akan lama. Akan bersilih ganti dengan bahagia, dan begitu juga sebaliknya. Nikmati sahaja kehidupan ini.
Allah sungguh mengetahui dirimu dan diriku.